Pengurusan Kes Rasuah Guan Eng Isteri 18 Dis
MALAYSIAKINI 
Mahkamah  Sesyen Butterworth menetapkan 18 Disember ini bagi pengurusan kes  rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Ketua  Menteri  Pulau Pinang Lim Guan Eng, isteri Betty Chew Gek Cheng dan ahli  perniagaan Phang Li Koon.
Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid  menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan  Pendakwa Raya  dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) S.  Selvaranjini serta peguam RSN Rayer masing-masing memohon tarikh baharu  pada prosiding sebutan kes itu hari ini. 
Selvaranjini turut  memaklumkan mahkamah pihaknya memerlukan sedikit lagi masa kerana masih  terdapat beberapa dokumen yang belum dibekalkan kepada pihak pembelaan  di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Rayer berkata pihaknya juga memohon sedikit masa  untuk meneliti dokumen yang telah diserahkan oleh pasukan pendakwaan.
Pada prosiding hari ini ketiga-tiga tertuduh tidak hadir  ke mahkamah  kerana mendapat pengecualian kehadiran.
Pada  11 Ogos lalu, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu  Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi  Lembaga Tawaran Perbadanan  Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk  suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Chew melalui  syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Lim  dituduh melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan  memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn  Bhd  ditawarkan Jemputan  Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai  Tengah dan Sebahagian Lot  282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai  Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak  langsung  mempunyai kepentingan.
Ahli Parlimen Bagan itu dituduh  melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di  pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town,  Pulau Pinang.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta  SPRM 2009 yang boleh  dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang  membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan  denda   tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang  menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau  berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika   sabit kesalahan.
Phang pula didakwa telah bersubahat dalam  pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan  tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.
Sementara  itu Chew dituduh atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan  wang haram  dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah  syarikat ke akaun bank miliknya.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan,  wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram,  dengan menerima  wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan  RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada   syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah  dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.
Beliau  dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013  dan 4 Ogos 2014; 3 Sept 2014 dan 11  Ogos 2015  serta 4 Sept 2015 dan 3  Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.
Pertuduhan  dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang  Haram dan Pencegahan Pembiayaan  Keganasan  2001 yang boleh dihukum di  bawah Seksyen 4(1) akta  sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi  RM5 juta  atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika  sabit kesalahan.
Lim, 60, Chew, 56, dan  Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dihadapi mereka.- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/pengurusan-kes-rasuah-guan-eng-isteri.html