Penganjur Jangka Lebih 1 000 Orang Sertai Perhimpunan Keluar Dan Lawan
Hakimie Amrie Hisamudin
Penganjur perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ menjangkakan kehadiran lebih 1,000 peserta dalam bantahan di Dataran Merdeka esok.PETALING JAYA: Gangguan berterusan diterima beberapa aktivis daripada pihak berkuasa menjadikan bantahan “Keluar dan #Lawan” esok ( SABTU ) sebagai satu perhimpunan yang penting untuk disertai lebih ramai orang, kata penganjur.
Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, yang menjadi sebahagian daripada penganjur perhimpunan, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkata, bantahan itu adalah “jalan terakhir” untuk seluruh rakyat Malaysia menyuarakan kebimbangan dan tuntutan mereka terhadap kerajaan.
“Saya merasakan rakyat Malaysia tidak ada lagi jalan lain untuk menyuarakan kebimbangan mereka kecuali turun ke jalanan mengadakan bantahan.
“Kita sudah mengadakan kempen dalam talian, tanda pagar di media sosial dan banyak lagi tetapi nyata ahli politik tidak mendengar suara ini apatah lagi memberi perhatian terhadapnya,” katanya kepada FMT.
Qyira berkata sejak SSR mengadakan bantahan secara fizikal, lebih ramai peserta dan aktivis yang menyokongnya menerima gangguan daripada pihak berkuasa.
“Anda melihat ramai aktivis muda diganggu dan ditakutkan oleh pihak berkuasa. Saya rasa ini jelas menunjukkan kerajaan berasa tidak selamat dengan kedudukannya dan cuba menghalang orang ramai bersuara.”
SSR mengadakan beberapa bantahan kecil sebelum ini termasuk bantahan “Bendera Hitam” di Dataran Merdeka pada 17 Julai dan konvoi kenderaan pada 24 Julai sebelum perhimpunan “Keluar dan #Lawan” esok.
Susulan bantahan itu, penganjur dan peserta dipanggil polis kerana melanggar Perkara 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 iaitu larangan berhimpun.
Penganjur terbabit, Tharma Pillai, Afiq Adib dan Muhammad Alshatri turut dipanggil untuk disoal siasat polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan gerakan #Lawan adalah antara individu terbaru dipanggil pihak polis.
Pengasas kumpulan belia dikenali sebagai Misi Solidariti, Sarah Irdina Mohamad Ariff dibebaskan daripada tahanan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas disoal siasat selama 10 jam atas dakwaan menghasut dan penggunaan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
Ditanya sama ada bantahan itu diadakan tepat pada masanya susulan kekecohan di Parlimen mengenai pembatalan Ordinan Darurat, Qyira berkata ia nampak berkaitan.
“Secara jujurnya, saya rasa kekecohan yang berlaku Parlimen ini memang menunggu masa untuk berlaku. Ini adalah satu manisfestasi terhadap kegagalan kerajaan dan bagaimana ia membiarkan isu dalaman memberi kesan terhadap pentadbiran.
“Saya merasakan orang ramai perlu menolak kegagalan ini dan mendesak supaya wakil rakyat kedua-dua belah pihak bersikap lebih bertanggungjawab.”
Selain itu katanya, SSR menjangkakan perhimpunan itu akan disertai lebih 1,000 orang daripada pelbagai latar belakang.
“Saya jangkakan antara cabaran yang akan dihadapi adalah untuk memastikan semua peserta dalam keadaan selamat ketika mengadakan bantahan. Jadi, kami menekankan supaya semua yang hadir supaya mengikuti arahan daripada marshal dan dapatkan bantuan mereka untuk sokongan.”
Seorang peserta yang enggan dikenali berkata, dia menyertai bantahan itu untuk menuntut supaya demokrasi dikembalikan dan mereka yang gagal perlu meletakkan jawatan.
“Ia bukan satu gerakan kepartian berpihak kepada mana-mana parti tetapi penegasan terhadap hak dan kuasa rakyat. Tidak kiralah siapa yang menjadi Perdana Menteri selepas ini, mereka perlu tahu bahawa mereka boleh diberi tekanan untuk berundur sekiranya mengecewakan rakyat sekali lagi.”
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/07/penganjur-jangka-lebih-1000-orang.html