Pengampunan Diraja Atau Tidak Najib Perlu Masuk Penjara Dahulu
SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh memfailkan permohonan semakan dan permohonan untuk pengampunan diraja, namun beliau perlu terlebih dahulu menjalani hukuman penjara dan denda setelah gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd pada Selasa.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, soal mengenai permohonan semakan dan juga permohonan pengampunan diraja adalah proses berasingan daripada proses rayuan bicara dan rayuan kehakiman kesalahan jenayah, di mana bekas Perdana Menteri itu perlu mempersiapkan segala dokumen melalui peguamnya untuk difailkan bagi semakan di bawah Kaedah 137 serta membuat permohonan di mahkamah.
"Tetapi selagi permohonan itu belum ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah, Najib kekal dipenjara sehinggalah permohonan itu ditetapkan pendengaran.
"Kalau permohonan ditolak, Najib masuk balik penjara dan kalau dibenarkan baharu bebas tetapi tahap halangan yang ada untuk semakan terlampau tinggi, ini bukan rayuan.
"Mahkamah akan menilai sama ada Mahkamah Persekutuan betul atau tidak... Sekiranya Najib mengatakan ada perkara yang betul-betul salah contohnya bukan lima orang (hakim) yang buat keputusan tetapi cuma dua orang atau kalau mereka nak mengatakan tiga orang daripada hakim tersebut mempunyai kepentingan macam Nazlan (Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali) yang mana mereka perlu buktikan barulah melangkaui tahap yang perlu untuk semakan," katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Beliau berkata, sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.
Tambah Mohamed Haniff, rakyat perlu faham bahawa proses semakan bukan bermaksud rayuan di mahkamah.
"Kita kena faham semakan ini bukan rayuan. Tidak langsung berbentuk rayuan dan hendak sampai ke tahap semakan adalah menyamai 0.0001 peratus kes yang akan didengar dengan jayanya untuk semakan.
"Saya sendiri sudah buat beberapa semakan dan sampai hari ini tiada satu semakan yang dibenarkan meskipun ramai peguam. "Melainkan di mana ada perkara yang melanggar peruntukan Perlembagaan contohnya benda yang tiada kena mengena dengan fakta atau kes, itu pun kena buat permohonan, di mana sementara dia berada dalam penjara," katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai pengampunan diraja pula, Mohamed Haniff menjelaskan bahawa perkara itu merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
"Proses pengampunan diraja pula adalah budi bicara mutlak Agong, pihak Najib perlu menyediakan petisyen untuk pengampunan dan menunjuk kepada lembaga pengampunan. Lembaga pengampunan yang akan buat keputusan bukannya mahkamah.
"Dan mahkamah tiada kena mengena memberikan apa-apa penggantungan atau penangguhan hukuman sehingga selesai kedua-dua proses ini sama ada semakan atau pengampuna," katanya ~ Sinar Premium
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2022/08/pengampunan-diraja-atau-tidak-najib.html