Penambahbaikan Dasar Produk Kwsp Pada 2026
Penambahbaikan Dasar & Produk KWSP Pada 2026
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar dan produk yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 (hari ini).
Dalam satu kenyataan, KWSP memaklumkan hal ini bertujuan untuk memperkukuh kecukupan persaraan, memperluas liputan perlindungan sosial serta menambah baik pengalaman ahli secara keseluruhan.
Menurut KWSP, inisiatif tersebut sejajar dengan langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober 2025.
Pada masa yang sama, ia turut memperkukuh komitmen KWSP dalam memenuhi keperluan ahli yang sentiasa berubah, selain menyokong daya tahan kewangan jangka panjang serta persaraan yang lebih terjamin.
Tambah KWSP, antara inisiatif utama yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 ialah:
1. Peningkatan had amaun Pengeluaran Haji kepada RM10,000
Amaun Pengeluaran Haji yang boleh dikeluarkan daripada Akaun Sejahtera akan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 bagi membantu ahli yang telah menerima tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji untuk menampung kos menunaikan ibadah haji, seiring dengan keperluan kewangan semasa.
Selain itu, keperluan untuk mengesahkan baki dalam akaun simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran akan dimansuhkan, sekali gus mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli membuat perancangan haji dengan lebih baik.
2. Pengenalan i-Saraan Plus dan peluasan kelayakan i-Suri sehingga umur 60 tahun
KWSP akan memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela yang disediakan khusus untuk pemandu e-hailing dan p-hailing bagi memperkukuh simpanan persaraan mereka.
Berlandaskan program i-Saraan sedia ada, i-Saraan Plus menawarkan insentif padanan kerajaan yang lebih tinggi sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup sebanyak RM6,000.
Pemandu e-hailing dan p-hailing yang layak akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform yang mengambil bahagian, yang juga akan membantu melaksanakan potongan caruman pada kadar yang ditentukan sendiri oleh pemandu e-hailing dan p-hailing.
Selain itu, umur kelayakan program i-Suri akan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara.
Insentif padanan kerajaan bagi i-Suri juga akan diteruskan pada tahun 2026 pada kadar 50% daripada jumlah caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.
3. Penyelarasan Pengeluaran Melebihi RM1 Juta dan Skim Pelaburan Ahli dengan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan
Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy, RIA) akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dengan tiga tahap simpanan iaitu Simpanan Asas (RM390,000), Simpanan Mencukupi (RM650,000) dan Simpanan Dipertingkatkan (RM1.3 juta), sebagai panduan kepada ahli dalam merancang persaraan yang lebih selesa dan bermakna.
Selaras dengan tahap Simpanan Dipertingkatkan, KWSP akan menambah baik dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta bagi membolehkan ahli berumur di bawah 55 tahun menikmati fleksibiliti dalam mengurus lebihan simpanan, setelah keperluan persaraan dipenuhi.
Bagi memastikan peralihan yang teratur, peningkatan had lebihan simpanan yang boleh dikeluarkan oleh ahli di bawah pengeluaran ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kenaikan sebanyak RM100,000 setiap tahun di sepanjang tempoh tiga tahun, bermula dengan RM1.1 juta pada tahun 2026 untuk memberi masa kepada ahli merancang kewangan mereka sewajarnya.
Dalam masa yang sama, KWSP turut menyelaras penentuan kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) selaras dengan tahap Simpanan Asas.
Kuantum simpanan minimum bagi kelayakan SPA akan dikemas kini secara berperingkat bagi memastikan lebihan simpanan yang digunakan untuk pelaburan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan ahli.
Langkah ini mencerminkan komitmen KWSP untuk menggalakkan perancangan persaraan yang lebih mampan, seimbang dan berdaya tahan dalam jangka panjang.
Secara keseluruhan, pelarasan ini merupakan langkah pelaksanaan Rangka Kerja RIA yang diumumkan pada tahun 2024, mencerminkan komitmen KWSP untuk mengimbangi akses fleksibel dengan perlindungan jangka panjang terhadap simpanan ahli, selari dengan kos sara hidup semasa.
Pengenalan i-Simpan dan i-Topup, nama baharu untuk menggalakkan simpanan sukarela
Selain penambahbaikan dasar dan produk, KWSP juga telah memperbaharui nama kemudahan caruman sukarelanya dengan memperkenalkan i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri, dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun (Voluntary Excess).
Kedua-dua i-Simpan dan i-Topup melengkapi rangkaian kemudahan caruman sukarela KWSP yang lebih luas, termasuk i-Saraan, i-Sayang, i-Suri, dan Penambahan Simpanan Akaun Persaraan, yang direka untuk mempercepat pertumbuhan simpanan persaraan serta memenuhi keperluan pelbagai segmen ahli.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif ini, ahli boleh merujuk kepada soalan lazim berkaitan yang disediakan bagi setiap inisiatif di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.
BACA: Akta Pekerja Gig 2025 Diwartakan Hari Ini – KESUMA
Sumber: KWSP
The post Penambahbaikan Dasar & Produk KWSP Pada 2026 appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2026/01/01/penambahbaikan-dasar-produk-kwsp-pada-2026/