Pemimpin Tertentu Umno Perlu Jalani Pantang Pru15
Benarkah Umno sudah menemui formula untuk terus mengungguli politik Malaysia pasca PRU15?
Rata-rata rakan taulan dan juga para pemimpin Umno nampaknya selesa dengan keputusan majlis tertinggi parti itu menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika ia menang PRU15.
Malah ada pihak yang tidak dapat menyembunyikan rasa kagum keputusan itu dapat dicapai dan menganggapnya suatu “tahap solidariti luar biasa Umno”.
Luar biasa? Apakah selama ini Umno tidak mampu mencatat solidariti sebulat suara sebegini?
Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin, berkata keputusan itu menunjukkan kematangan Umno mengutamakan kesepakatan bagi memastikan Barisan Nasional dapat membentuk kerajaan yang stabil.
Presiden MCA, Wee Ka Siong, berkata keputusan itu menandakan parti komponen sebulat suara dengan hasil analisis kepimpinan (Ismail) sebagai suatu kepimpinan menyerlah. “Saya menyokong keputusan politik ini dan pada masa sama kerajaan dapat diperkukuhkan. Apa yang penting ia mengembalikan kegemilangan BN seperti sedia kala,” katanya.
Bagi kebanyakan pemimpin Umno menjadikan Ismail “poster boy” BN akan menjamin kejayaan yang diharapkan sekaligus menamatkan ketidaktentuan dalam rumah tangga Umno sendiri.
Sejak tewas PRU14, keadaan Umno agak porak peranda apabila struktur kepimpinannya menjadi agak kabur lantaran polemik pemimpin-pemimpin utamanya terbabit dalam kontroversi. Najib Razak terpaksa melepaskan jawatan presiden dan beliau bersama penggantinya, Zahid Hamidi, juga terpalit beberapa kes mahkamah.
Khalayak Umno jadi serba salah dan agak kelam kabut mahu memilih alur pimpinan yang perlu diakuri, sehingga apabila peluang terbuka untuk Umno mengisi jawatan perdana menteri hasil Langkah Sheraton, Umno terkapai mencari calon sesuai.
Namun untuk menghadapi PRU15, isu ini terbit lagi – siapa bakal memimpin Umno dan BN?
Yang pasti Umno tidak boleh bawa terlalu banyak bagasi masuk gelanggang. Apatah lagi jika ia membabitkan keluhuran imejnya sebagai sebuah parti tradisi politik untuk pengundi Melayu dan Islam.
Sekurang-kurangnya unsur kleptokrasi yang kini meliliti wibawanya wajib dirungkai dan disertu bak orang bertaubat yang menyesali keterlanjurannya dan dibaluti dengan azam tidak mahu mengulanginya lagi.
Langkah pertama proses “thaharah” perjuangan Umno ialah, ia harus “mensejukbekukan” hubungan langsung dengan semua peribadi dan watak yang dicemari “kerak” kleptokrasi ini. Ini memerlukan usaha dua pihak.
Pertama, pimpinan Umno sekarang perlu menonjolkan barisan pimpinan yang bersih; tiada kontroversi dan berani. Jika masih ada campurtangan dalam hal ini, pasti ada “cai” lama pilihan mereka. Jika ini berlaku, secara langsung ia menutup pintu Umno melaksanakan proses peremajaan parti yang menjadi faktor utama kemenangan besar dalam PRN Johor lalu.
Kedua, pihak ‘kluster mahkamah’ juga harus “berpantang” daripada aktiviti politik dalam fasa pilihan raya umum. Ibaratkan ini sebagai tempoh “berpantang” selepas Umno melahirkan strategi baru bahawa presiden bukan automatik menjadi perdana menteri pasca PRU.
Tentunya Umno baharu ini akan kelihatan lebih kukuh watak dan peribadinya. Kemudian, jika perlu kluster mahkamah ini boleh kembali selepas keadaan tenteram.
Sesungguhnya imej dan aura Umno masih besar. Ketidakhadiran beberapa watak atau tokoh Umno dalam PRU15 tidak akan banyak menjejaskan prestasi Umno. Malah sebaliknya mungkin boleh berlaku.
Ambil iktibar daripada PRN Melaka dan Johor. Secara rasminya pasukan pimpinan Umno dalam kedua-dua PRN itu dipimpin oleh “waris-waris” sah Umno jua dan Umno menang bergaya. Jika benar mereka sayangkan Umno, tokoh-tokoh kontroversi perlu menguruskan desakan “gian” mahu mencampuri urusan parti ketika parti mengharungi PRU15!
Jika beban bagasi ini dapat ditinggalkan di pinggir arena PRU15, peluang Umno merampas semula kuasa bersama kerabat Barisan Nasional adalah lebih besar.
Tanpa dibelenggui stigma kleptokrat, Umno akan lebih disenangi dan disegani sebagai entiti politik yang berjasa memerdeka dan membangun Malaysia. Demikian reputasi Umno. Manfaatkan dividen sejarah ini sepenuhnya.
Oleh itu inisiatif untuk “menenang” unsur yang mungkin boleh mencemar nama baik Umno itu adalah langkah wajar, wajib, dan munasabah.
Biar Ismail disebarkan sebagai “poster boy” dalam kempen PRU15. Sosoknya tidak seperti politikus rakus mahu menonjolkan diri. Pelantikannya sebagai perdana menteri pun bukan satu komplot parti.
Sikapnya tidak kasar. Perwatakannya dilihat merakyat. Dan, Ismail bersikap budiman. Kecenderungannya mencari jalan damai dalam kemelut politik juga berjaya memberikan wajah jujur pada Umno keseluruhannya.
Sikap kelunya dan tidak secara oportunis “membantai” personaliti yang dikaitkan dengan kleptokrasi Umno mempotretkan karakternya sebagai watak yang menghargai pemimpin yang mendahuluinya.
Beliau juga bertuah kerana menjadi jurucakap kerajaan ketika negara dilanda Covid-19. Walau kadangkala kelihatan tertekan tetapi kemunculan saban hari di kaca televisyen dan akhbar memudahkan personalitinya difahami rakyat.
Imej pemimpin kuat kerja Ismail berbeda dengan Muhyiddin Yassin yang cuak menghadapi sidang media ketika negara menghadapi musibah, banyak membantu Ismail mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin yang boleh dipercayai.
Suka tidak suka, Umno harus menganggap ia parti bertuah mempunyai calon perdana menteri yang tidak banyak kerenah.
Kini nasib baik Ismail ini nampaknya diperakui oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno sebagai calon selamat yang tidak berpotensi mengkocakkan rumah tangga parti. Namun persoalannya bolehkan pemimpin-pemimpin yang diminta berehat sementara ini mengekang diri daripada menggaru “kegatalan politik” ketika suasana hiruk pikuk pilihan raya?
Yang paling utama sekali ialah, adakah ‘perakuan’ atau “endorsement” terhadap pencalonan Ismail ini juga bererti tanggungjawab sepenuhnya “poster boy” ini juga diserahkan kepadanya?
Tandatangan siapakah yang akan “mengabsahkan” pencalonan setiap watikah calon Umno? Atau, masih ada lagi kira-kira lain yang akan ditokok tambah kemudian? - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/04/pemimpin-tertentu-umno-perlu-jalani.html