Pemimpin Dap Gesa Bn Bertindak Terhadap Semua Ahli Parlimen Sokong Muhyiddin
bharian.com.my
Oleh Ahmad Suhael Adnan
[email protected]- Februari 5, 2023 @ 2:04pm
Setiausaha Publisiti DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP menggesa, kepemimpinan Barisan Nasional (BN) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua Ahli Parlimennya yang sebelum ini menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Setiausaha Publisiti DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata siasatan dan tindakan disiplin perlu dikenakan terhadap mereka yang terbabit, sekiranya BN mahu menjaga kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak insiden Langkah Sheraton berulang.
Katanya, gesaan siasatan oleh BN itu juga selaras dengan langkah UMNO yang mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen parti itu yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Susulan tindakan disiplin terhadap Ahli Parlimen UMNO yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, badan disiplin BN juga perlu menyiasat Ahli Parlimen BN lain yang turut menyokong Muhyiddin bagi memastikan tiada pilih kasih (double standard).
"Mengapa hanya Ahli Parlimen UMNO dihukum kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tapi Ahli Parlimen BN lain terlepas? Adakah semua Ahli Parlimen BN setaraf atau ada yang lebih tinggi berbanding yang lain?
"Saya tidak berniat masuk campur dalam urusan dalaman BN, tetapi semua usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan kestabilan kerajaan perpaduan dan mengelak Langkah Sheraton 2.0 bagi menggulingkan kerajaan berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, mendedahkan identiti 10 Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15, yang dibuat tanpa kebenaran parti.
Mereka terdiri daripada enam Ahli Parlimen UMNO, dua Ahli Parlimen MCA, seorang Ahli Parlimen MIC dan seorang Ahli Parlimen Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Beberapa media melaporkan mereka adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Datuk Seri Jalaludin Alias (Jelebu), Datuk Isam Isa (Tampin), Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) dan Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan).
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari lalu memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utamanya, termasuk Hishammuddin yang digantung keahlian selama enam tahun.
Selain itu, Hasni digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
SD itu ditandatangani ketika Parlimen tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.
Susulan itu, Istana Negara meminta SD daripada semua Ahli Parlimen bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong menentukan wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, sekali gus membentuk kerajaan.
Ketika itu, dilaporkan 10 Ahli Parlimen BN bertindak menandatangani SD menyokong Muhyiddin, namun mereka menarik balik SD berkenaan, sebelum Istana Negara mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Mengulas lanjut, Zhemin berpandangan siasatan penuh terhadap semua Ahli Parlimen BN yang menandatangani SD serta kandungannya, perlu dilihat sebagai perkara paling penting.
"Dalam Akta Akuan Berkanun 1960, mana-mana pihak yang membuat SD palsu akan dituduh dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun serta denda," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/02/pemimpin-dap-gesa-bn-bertindak-terhadap.html