Pemilihan Kerja Sendiri Berdasarkan Minat Ataupun Hobi
Kerja sendiri berdasarkan minat ataupun hobi.
Sebenarnya kalau difikirkan semula, konsep bekerja sendiri ini bukanlah satu konsep kerja yang baru, ataupun pelik. Apabila saya lihat sendiri dalam salasilah keluarga, saya dapati ada ramai ahli keluarga saya yang memilih untuk bekerja sendiri berbanding bekerja dengan mana-mana majikan.
Saya percaya, situasi yang lebih kurang sama, turut terdapat dalam kalangan ahli keluarga anda.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, mungkin tak biasa lihat orang yang bekerja sendiri. Sebaliknya, kalau di kawasan kampung, ataupun pedalaman, kerja sendiri adalah lebih popular.
Cuma bezanya, ditempat seperti ini, kerja sendiri lebih popular dengan nama “kerja kampung”.
Kali pertama saya dengar istilah kerja kampung, saya juga rasa agak keliru. Apa sebenarnya kerja yang dilakukan, yang boleh dikira sebagai kerja kampung?
Antara jawapan yang saya perolehi hasil daripada temubual, kerja kampung yang dimaksudkan ialah seperti…
Kerja pertukangan seperti baik pulih rumah
Kerja menjaga kebun dan tanaman
Mencari hasil laut atau sungai
Menternak lembu
Membersihkan kawasan rumah kediaman seperti memotong rumput
Mengutip dan memetik sayur yang tumbuh meliar dikawasan hutan
Apa-apa sahaja yang diperlukan oleh penduduk kampung
Matlamat penulisan kali ini adalah untuk membincangkan tentang beberapa idea yang boleh dikembangkan bagi membantu anda buat keputusan untuk memilih kerja apa yang sesuai untuk dilakukan berdasarkan kepada minat atau hobi di masa terluang anda.
Artikel ini adalah kesinambungan bagi artikel sebelum ini yang berjudul kerja sendiri atau makan gaji – mana satu yang menjadi pilihan hati?
Orang lain yang memang dah kaya raya tu, bolehlah layan hobi dan minat tanpa perlu memikirkan tentang berapa banyak wang yang bakal dihabiskan ataupun kos yang diperlukan untuk mempunyai hobi tersebut.
Tapi bagi orang biasa-biasa macam saya, kebanyakkan waktu saya perlu ambil kira soal kos untuk mempunyai hobi tertentu. Ada masanya, kita perlu jadi lebih kreatif dan fikirkan, bagaimana dengan hobi yang kita ada ini, kita boleh jana pendapatan.
Bukanlah niat mempunyai hobi itu semata-mata sebab nak buat duit, tapi kalau dapat duit sampingan dari hobi tersebut, apa salahnya, kan? Dalam konteks perbincangan kali ini, buat duit melalui hobi bukan matlamat utama, tetapi jika satu hari nanti hobi tersebut ada potensi untuk dikomersialkan lalu menjadi satu idea bisnes yang lebih besar, maka pada ketika itu tak salah untuk jadikan ia sebagai satu bisnes.
Bagi pembaca dan pelawat sekalian yang masih belum ada idea, nak mulakan buat kerja apa dimasa terluang, dekat sini saya nak berikan anda beberapa idea berdasarkan kepada minat yang anda boleh aplikasikan dalam kehidupan anda.
Jangan risau tentang beban kerja, sebabnya apabila anda buat sesuatu perkara kerana anda betul-betul minat kerja tersebut, ianya tak akan terasa seperti sedang bekerja langsung!
Tanpa buang masa, ini dia senarai kerja sendiri berdasarkan minat yang perlu anda teliti.
(1) Bercucuk tanam
Susah ke nak cari pembeli yang minat nak dapatkan sayur-sayuran segar yang ditanam tanpa menggunakan racun kimia? Bukan itu sahaja, malahan pembeli boleh melihat kaedah penanaman yang digunakan kalau mereka mahu.
Caranya adalah dengan datang sendiri ke kebun milik anda. Ataupun sekarang ini, dizaman media sosial, anda boleh buat live untuk tunjuk kepada bakal pembeli bagaimana kebun sayur anda diuruskan.
Saya percaya, anda boleh dapatkan pembeli walaupun pada waktu itu, tanaman anda masih belum lagi sedia untuk dituai.
(2) Main game
Main game pun boleh buat duit.
Baca juga
i. Cara main game sambil buat duit online
ii. Cara buat duit dengan bina apps game
Sebelum nak pandang serong orang yang masanya dihabiskan dengan main game, anda mungkin patut tahu yang sekarang ini dah ramai orang yang mampu untuk buat duit dengan game.
Sama ada dia jual panduan main game, ajar tutorial, cipta game dan sebagainya.
Tapi kalau masanya dihabiskan semata-mata untuk berseronok hingga dia abaikan tanggungjawab dia sebagai manusia, orang macam ini memang kita patut tegur dan kalau tak berkesan juga, memang patut kena marah.
Apa tidaknya, leka dengan game sampai terabai urusan lain yang lagi penting.
(3) Memandu
Siapa dekat sini yang rasa seronok dan tenang bila sedang memandu? Waktu ini, minda rasa tenang dan macam-macam idea muncul untuk menyelesaikan apa jenis masalah.
Minat terhadap memandu ini juga boleh dijadikan sebagai kaedah untuk buat duit. Contoh paling mudah adalah dengan menjadi pemandu grab.
Ataupun kalau anda mahu, boleh terokai peluang untuk jadi pemandu bas sekolah, pemandu bas persiaran dan sebagainya.
Memandu ini juga, tak semestinya kita hadkan kepada memandu kereta semata-mata. Luaskan lagi dengan memandu jentera lain seperti bot, kapal terbang ringan, helikopter dan macam-macam lagi.
(4) Melukis
Boleh buat potret, melukis karikatur, dan macam-macam lagi!
Kalau nak jadi kartunis dan hasilkan komik sendiri juga tak ada masalah. Apa yang penting kena ada minat. Tak ada bakat? Tak ada masalah, sebab skil melukis ini boleh dipelajari dan asalkan kita selalu praktis, boleh juga hasilkan karya yang hebat.
(5) Menulis
Bidang penulisan ini sangat luas sebenarnya.
Baca juga
i. Buat duit dengan menulis – Bagaimana caranya?
Saya sendiri memilih untuk bekerja sendiri sebagai seorang penulis. Skop atau bidang kerja yang saya pilih adalah dalam penulisan di media sosial dan blog.
Sebelum ini, saya juga pernah menulis dan menerbitkan ebook saya sendiri. Dari situ baru saya tahu, rupa-rupanya permintaan terhadap ebook juga boleh tahan bagus!
Kalau nak dapatkan jualan sebanyak 1,000 unit ebook dalam masa setahun bukanlah satu perkara yang mustahil, lebih-lebih lagi apabila anda mempunyai sistem jualan yang baik. Jualan untuk ebook yang saya pernah hasilkan sebelum ini, terhasil melalui pemasaran emel dan juga pemasaran affiliate.
Saya pernah mempunyai lebih daripada 5,000 senarai emel yang responsif dan sentiasa bersedia untuk membeli produk yang saya promosikan.
Selain itu, oleh kerana saya mempunyai blog, saya juga dapat hasilkan jualan melalui blog yang saya tulis.
(6) Coding/ pengaturcara komputer/ programming
Saya tak mempunyai kemahiran ini. Tapi saya selalu rasa cemburu dengan mereka yang ada skil programming.
Saya berpendapat, mereka yang ada skil ini boleh hasilkan macam-macam jenis apps dan juga software untuk buat duit. Cuma itulah, terpulang pada diri mereka sama ada nak buat ataupun tidak.
(7) Membina channel Youtube
Ini sesuai untuk mereka yang minat dalam bidang penyiaran. Tak ada masalah atau rasa kekok apabila beraksi dihadapan kamera. Boleh pertimbangkan untuk mewujudkan channel Youtube anda sendiri.
Anggap macam anda mempunyai siaran TV anda sendiri. Bila dah popular, bolehlah terima job dan bekerja seperti seorang social media influencer.
(8) Katering
Memasak. Ada yang minat memasak? Sudah tentu ada.
Minat pada bidang masakan ini sebenarnya boleh dikomersialkan menjadi satu bisnes katering. Pada peringkat permulaan, tak perlulah target untuk hidang makanan untuk ribuan orang. Mulakan dulu untuk majlis yang bersaiz kecil dan sederhana yang mana tetamu jemputan sekitar 10 – 50 orang sahaja.
(9) Menghasilkan T-shirt
Individu yang kreatif dan mampu untuk hasilkan design yang memukau, boleh pertimbangkan untuk hasilkan t-shirt sendiri dan jual.
Tak tau macam mana nak hasilkan t-shirt? Boleh belajar dari laman web ini.
Untuk produk atau hasil T-shirt yang dah siap, boleh jual melalui online ataupun offline. Kalau nak jual melalui laman web ecommerce popular seperti Shopee dan juga Lazada pun tak ada masalah.
(10) Kerja kayu dan pertukangan
Pandai buat ukiran kreatif? Ada kemahiran untuk hasilkan perabot custom made ataupun apa-apa binaan menggunakan kayu?
Kerja ini memang sesuai untuk anda terokai.
(11) Memancing dan aktiviti berkaitan
Memancing ini juga ada macam-macam kategori. Memancing di laut dalam, memancing ikan sungai, memancing sotong, udang dan sebagainya.
Saya tak berapa minat memancing, dan saya rasa masa yang digunakan berjam-jam lamanya untuk memancing itu lebih baik saya gunakan untuk buat benda lain.
Tapi saya faham, untuk mereka yang gemar memancing, itu adalah seperti satu terapi bagi dirinya. Ok terpulanglah pada pilihan masing-masing.
Minat memancing ini boleh diketengahkan lagi bagi tujuan menghasilkan pendapatan. Misalnya dengan cara menjual hasil tangkapan, ataupun anda jadi pembekal peralatan memancing bagi mereka yang tak tahu kat mana nak beli peralatan memancing yang bagus dan berkualiti baik.
(12) Bermain peralatan muzik
Ideanya dekat sini ialah anda membuat persembahan di majlis-majlis keramaian. Kalau anda boleh tubuhkan sebuah band itu lagi baik, dan boleh buat persembahan di banyak tempat.
Ataupun kalau anda ada keyakinan, boleh buat busking.
(13) Fitness Instructor
Anda mempunyai bentuk badan yang menarik? Kalau jawapan anda adalah Ya, ketahuilah bahawa orang lain pun mengidam-idamkan bentuk badan yang menarik juga.
Daripada anda berikan nasihat berkaitan dengan kecergasan dan penjagaan badan secara percuma, lebih baik anda jadikan ia sebagai satu kerjaya untuk jadi personal coach kepada mereka yang serius mahukan nasihat dari anda.
Atau setidak-tidaknya mereka yang mahu dapat hasil yang sama seperti anda.
(14) Bercuti dan mengembara
Hobi dan minat dalam bidang percutian ini juga sebenarnya boleh dijadikan sebagai peluang untuk buat duit. Apabila ada masa terluang dan juga modal, saya juga suka pergi bercuti.
Namun saya akan pastikan, aktiviti percutian yang saya lalui tidak akan berlalu dengan sia-sia. Saya akan menulis tentang pengalaman percutian yang saya lalui, dan jika sesuai, saya juga akan mempromosikan produk-produk berkaitan dengan percutian.
Sama ada perkhidmatan kereta sewa, pakej aktiviti seperti aktiviti island hopping ke Manukan dan pulau Sapi, homestay, bilik hotel dan lain-lain lagi.
Banyak benda sebenarnya yang boleh dipromosi dan dijual yang berkaitan dengan percutian.
Baca lagi disini: Idea untuk memulakan perniagaan dalam industri pelancongan dan percutian
(15) Membuat kek dan produk bakeri
Atau anda mungkin tergolong dalam golongan yang mampu untuk hasilkan kek yang sedap?
Jangan sia-siakan bakat dan minat yang ada. Sesekali bolehlah buka tempahan untuk rakan-rakan dan kenalan anda menempah kek dari anda.
Kalau nak jadikan ia sebagai bisnes tapi anda tak berapa tahu macam mana caranya, bolehlah belajar dari laman web ini.
(16) Baby sitting
Sesuai untuk mereka yang sukakan kanak-kanak. Matlamat kerja ini bukanlah nak jadi full time baby sitter, sebaliknya hanya jaga kanak-kanak untuk beberapa jam sahaja.
Contohnya hanya ketika hujung minggu, dan kerjanya mungkin cuma 5 – 6 jam sahaja. Jadi pada waktu ini, mak ayah kepada kanak-kanak tersebut bolehlah keluar dating berdua ataupun shopping tanpa sebarang gangguan daripada anak kecil.
Ataupun kalau hari biasa, anda boleh tolong jaga untuk dua atau tiga jam sahaja, bagi memberi peluang kepada mak ayah anak tersebut untuk keluar makan malam bersama.
Adakah kerja ini susah? Ia bergantung kepada kanak-kanak tersebut. Besar kemungkinan dalam masa 2 atau 3 jam itu nanti, kanak-kanak tersebut akan tidur sahaja. Kalau bangun pun sekadar nak minum susu kemudian sambung tidur.
Lainlah kalau pada waktu tersebut, kanak-kanak tersebut tak sihat. Tapi agak jarang untuk berlaku, dimana ada mak ayah yang anaknya tak sihat, masih lagi memikirkan untuk keluar dating bersama. Biasanya dalam keadaan ini prioriti adalah kepada anak yang tak sihat itu.
(17) Pet sitting
Jaga haiwan kesayangan pastinya lebih mudah berbanding jaga orang. Kalau jaga haiwan kesayangan, apa yang perlu disediakan adalah
Makanan
Minuman
Pasir untuk haiwan tersebut buang air besar dan kencing
Tukar pasir yang telah kotor
Well… itu sahaja. Setiap kali saya nak keluar travel, saya selalu susah hati nak tinggalkan kucing-kucing saya tanpa ada orang yang jaga.
Kalau nak hantar boarding, kosnya sangat mahal, especially kalau kucing yang kita ada agak banyak. Saya harap ada seseorang yang boleh dipercayai, yang boleh datang ke rumah dan tolong tambahkan makanan, minuman, dan tukar pasir untuk kucing-kucing saya.
Macam mana cara anda nak buat pet sitting ini, semuanya terpulang kepada anda. Apa yang saya nak sampaikan, jika anda sukakan binatang, ini peluang untuk anda jadikan ia sebagai peluang jana pendapatan.
(18) Menghias rumah
Home decorating.
Kalau ada dalam kawasan kejiranan yang buat bisnes homestay tapi dari segi susun atur dan dekorasi nampak buruk atau biasa-biasa, ini adalah peluang untuk anda tawarkan khidmat anda. Jika caj yang anda kenakan berpatutan dan anda mampu untuk berikan hasil kerja yang sangat baik, saya kira pasti berbaloi untuk dapatkan perkhidmatan anda.
(19) Mencuci rumah kediaman
Semua orang sukakan suasana yang bersih. Tapi berapa ramai yang suka buat kerja-kerja pembersihan dan mengemas rumah? Ya, tak ramai.
Kerja pembersihan seperti ini ada banyak jenis. Sama ada cuci dan mengemas rumah secara keseluruhan, sekadar memotong rumput, atau membersihkan kebun.
Masih ada lagi ke orang yang perlukan khidmat mengemas rumah? Sudah tentulah ada. Salah satu contohnya adalah mereka yang menjalankan bisnes rumah penginapan atau bisnes homestay. Salah satu cabaran bisnes homestay ini adalah untuk mengemas rumah.
Kalau anda boleh tawarkan khidmat mengemas, anda boleh meminta bayaran sekitar RM30 – RM70 untuk membuat kerja-kerja pembersihan dan mengemas rumah setiap kali tetamu mendaftar keluar. Kerjanya cuma 3 atau 4 jam, tapi bayarannya boleh tahan lumayan juga.
(20) Review produk
Sekiranya anda suka shopping, beli macam-macam produk, sama ada gadget, pakaian, suka makan ditempat-tempat yang jarang orang pergi, ini adalah satu jenis pekerjaan yang anda boleh lakukan.
Rakamlah video anda membuka kotak (unboxing item) setelah anda beli produk tersebut. Anda cerita tentang apa yang anda suka, apa yang kurang tentang sesuatu produk dan sebagainya.
Bakal pembeli sangat sukakan video jenis review, lebih-lebih lagi kalau review yang diberikan adalah review jujur dan bukannya sebab nak jual barang.
In future, anda juga berpeluang untuk dapat job review, dan boleh juga dapat banyak barang-barang yang hebat secara percuma sahaja, dengan syarat anda akan tulis review mengenai barangan tersebut.
Review tersebut boleh diterbitkan dalam bentuk video dan disiarkan dalam Youtube, facebook ataupun dalam blog.
(21) Fotografi
Bidang fotografi ini juga merupakan salah satu bidang yang memang boleh buat duit! Contoh biasa untuk buat duit dalam bidang ini adalah dengan menjadi jurugambar bagi majlis perkahwinan.
Baca juga: Kaya Sebagai Fotografi Perkahwinan
Andai kata anda minat nak terokai lebih mendalam tentang peluang buat duit sebagai jurufoto, perbincangan yang lebih mendalam ada dalam pautan ini.
(22) Menyunting gambar (photo editing)
Ini satu lagi kaedah buat duit yang berkaitan dengan bidang fotografi. Cuma kali ini, kerja anda bermula setelah gambar-gambar telah ditangkap.
Orang yang ada skil dalam penggunaan software seperti Adobe Photoshop, Illustrator, dan sebagainya mampu untuk menukarkan gambar yang kualitinya biasa-biasa kepada luar biasa.
(23) Menghasilkan website
Buat website pun boleh buat duit ke? Eh mestilah boleh. Sama ada anda nak hasilkan website bagi kegunaan sendiri, ataupun untuk dijual kepada orang lain, kedua-dua kaedah ini boleh menghasilkan duit.
Walaupun proses untuk hasilkan website sendiri sangatlah mudah, yang mana anda boleh gunakan perisian seperti wordpress, blogspot, wix dan lain-lain lagi, hakikatnya masih ramai lagi yang tak tau macam mana nak buat website sendiri.
Kalau anda ada kemahiran ini, bolehlah jadikan ia sebagai khidmat yang anda tawarkan. Cuma kalau anda rancang nak buat ini sebagai kerja fulltime, ianya agak mencabar, kerana diluar sana terdapat ramai juga individu dan freelancer yang tawarkan servis seumpama ini.
(24) Tour guide
Anda suka jalan-jalan dan menerokai tempat-tempat yang agak jarang dikunjungi? Apa kata anda jadikan ia sebagai satu kaedah untuk buat duit tambahan dengan menjadi tour guide.
Sudah menjadi lumrah, pengunjung dari luar hanya akan pergi ke tempat-tempat yang popular dan viral sahaja. Untuk pergi ke tempat lain yang agak terpencil, mereka mungkin tak berani. Takut sesat, bimbangkan keselamatan dan sebagainya.
Tapi kalau ada orang seperti anda yang boleh jadi pemandu pelancong, tak mustahil untuk mereka dapatkan khidmat anda, asalkan harga yang anda letakkan munasabah.
Lihat contoh dibawah ini. Saya ambil dari laman web Airbnb, dan tawaran menjadi local guide seumpama ini makin hari makin bertambah.
Mungkin anda juga boleh pertimbangkan untuk tawarkan khidmat yang sama.
(25) Mengumpul pelbagai jenis barang
Ada orang memang jenis suka mengumpul barang. Sama ada barang-barang antik, duit lama, setem, koleksi komik, koleksi Action Figure, kumpul poskad dan macam-macam lagi.
Kalau anda minat untuk kumpul barangan tertentu, ketahuilah bahawa dekat luar sana, ada juga individu lain yang mempunyai minat yang sama. Apa yang ada dalam koleksi anda, mungkin tiada dalam koleksi orang lain.
Sekiranya anda tahu, dimana nak dapatkan koleksi tertentu, anda boleh jadi orang tengah untuk bantu individu lain yang belum ada koleksi tersebut. Jadi orang tengah, bolehlah kenakan sedikit caj perkhidmatan untuk khidmat yang anda tawarkan.
Lagipun untuk jadi orang tengah ini, anda perlu gunakan masa dan tenaga anda juga.
Ataupun, cara lain adalah anda jual barangan yang termasuk dalam kategori collectibles atau boleh dijadikan koleksi. Sekarang ini kalau nak mudah, jual sahaja secara online melalui laman web Lazada atau Shopee.
(26) Ubah suai kereta
Saya membayangkan movie Fast & Furious apabila menulis point ini. Beberapa kenalan yang menjadi ahli kelab kereta, mereka memang mempunyai minat yang sama, iaitu ubahsuai kereta.
Ada juga antara ahli yang menjadi pembekal spare part yang agak rare dan sukar diperolehi.
Dalam banyak-banyak contoh yang saya bincangkan dalam artikel ini, tak akan tak ada satu pun yang relevan dan sepadan dengan minat yang anda ada?
Ya saya tahu, perbincangan disini mungkin tak begitu menyeluruh dan saya sendiri telah mencuba untuk menulis seringkas yang mungkin agar ia lebih mudah untuk difahami. In Shaa Allah dilain kesempatan, saya akan kongsikan dengan lebih details.
Seronoknya kerja sendiri!
Satu perkara yang saya rasa seronok dengan kerja sendiri ini ialah, ianya boleh dimulakan pada hari ini juga, tanpa anda perlu tunggu untuk dapatkan kebenaran mahupun kelulusan dari mana-mana pihak.
Ya, anda boleh mula sekarang juga.
Mulakan ketika anda masih belum terdesak nak perlukan duit. Pada masa ini, anda boleh bekerja sebab anda minat. Anda suka buat kerja-kerja tersebut, dan sedikit pun anda tak rasa seperti sedang bekerja.
Justeru, sementara masih ada waktu, mulakanlah langkah pertama anda, dan In Shaa Allah, satu hari nanti, kerja yang anda lakukan atas sebab hobi, sebab minat, atau sebab saja suka-suka berpotensi untuk jadi pendapatan utama anda.
Ataupun setidak-tidaknya, jika pekerjaan utama anda bermasalah, seperti kehilangan kerja, anda tidak akan terputus pendapatan secara tiba-tiba.
Baiklah, terima kasih kerana sudi luangkan masa untuk baca dan semoga ada manfaat untuk anda semua.
The post Pemilihan kerja sendiri berdasarkan minat ataupun hobi. appeared first on Sabree Hussin Dot Biz.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sabreehussin.biz/kerja-sendiri-sebab-minat-hobi/