Kerja Sendiri Atau Makan Gaji Mana Satu Pilihan Hati
Kerja sendiri atau makan gaji?
Jika diberikan pilihan, mana satu yang berkenan di hati anda? Sama ada anda nak pilih kerja makan gaji dengan majikan ataupun bekerja sendiri, semuanya terpulang kepada anda.
Setiap keputusan ada kebaikkan dan kekurangannya.
Anda bebas untuk pilih sama ada nak kerja dengan orang sahaja. Ataupun, boleh juga kalau nak pilih untuk kerja sendiri, dan pada masa yang sama, kalau anda ada kekuatan, why not buat kedua-duanya sekali?
Untuk kerja full time, anda pilih salah satu, sama ada kerja makan gaji atau kerja sendiri. Lazimnya pada peringkat permulaan orang akan pilih kerja makan gaji sebagai kerja utama.
Kemudian pada masa terluang ataupun ketika diluar waktu kerja, barulah buat kerja sampingan, iaitu kerja sendiri.
Situasi ini boleh juga diterbalikkan. Anda pilih untuk kerja sendiri secara full time. Kemudian bila ada masa lapang, barulah pergi buat kerja dengan majikan.
Apa yang penting, anda mampu untuk pastikan kualiti kerja yang diberikan berada dalam keadaan terbaik, dan tidak mengganggu masa kerja anda.
Mana satu yang lebih berpotensi?
Bila kita bekerja dengan orang dan pada masa yang sama, kita juga bekerja sendiri, sampai satu tahap kita sendiri boleh nampak mana satu yang menjanjikan masa depan yang lebih cerah.
Misalnya apabila kita kerja dengan majikan. Lama kelamaan kita akan lalui beberapa fasa, seperti fasa kenaikkan gaji, kenaikkan pangkat, dapat bonus (jika ada), menikmati pelbagai jenis insentif, elaun, latihan peningkatan diri, dan sebagainya.
Manakala dalam situasi kerja sendiri, kita mungkin tidak akan memperolehi semua yang diperolehi oleh mereka yang makan gaji, namun dengan perancangan yang betul, In Shaa Allah kita bakal memperolehi pendapatan yang cukup besar hinggakan mereka yang makan gaji tidak akan mampu untuk tandingi pendapatan yang kita bakal perolehi.
Kebiasaannya orang akan mula berhenti kerja dengan majikan apabila komitmen dan pendapatan yang diperolehi daripada hasil kerja sendiri makin bertambah.
Skop kerja apabila memilih untuk bekerja sendiri
Kerja sendiri ini sebenarnya kerja apa?
Pernahkah terlintas difikiran anda, apa sebenarnya yang dilakukan oleh individu yang bekerja sendiri dalam mencari pendapatan?
Orang yang bekerja sendiri ini lazimnya terlibat dalam aktiviti yang memerlukan dirinya untuk membuat jualan. Saya akan sentuh tentang aktiviti membuat jualan ini kemudian.
Bagaimana seseorang itu boleh terjebak dalam arena bekerja sendiri?
Orang yang bekerja sendiri ini sebenarnya individu yang luar biasa.
Dia mampu untuk melihat peluang, ketika orang lain ambil endah tak endah terhadap sesuatu perkara. Keputusan untuk bekerja sendiri boleh jadi muncul secara spontan ataupun secara terancang.
(1) Kerja sendiri sebab peluang muncul secara tiba-tiba
Satu hari kawan yang dah lama tak jumpa, tak berhubung tawarkan anda peluang untuk jalankan sebuah perniagaan. Kalau anda jadi yang terawal untuk jalankan bisnes tersebut, anda ada peluang yang cerah untuk berjaya.
Bunyi macam peluang untuk buat bisnes Multi Level Marketing, tapi kalau MLM sekali pun, apa masalahnya? Saya dapati ada banyak juga produk yang dipasarkan melalui kaedah pemasaran MLM yang sebenarnya sangat bagus dan diterima oleh masyarakat.
Apabila peluang seumpama ini muncul, jangan cepat sangat nak reject. Nilaikan dulu, dan kalau ianya memang betul-betul bagus, apa salahnya ambil peluang tersebut. Anda juga yang akan untung dikemudian hari.
(2) Kerja sendiri berdasarkan minat/hobi
Apabila kita buat sesuatu perkara itu berdasarkan kepada minat, kita tak akan rasa terbeban dan tak akan rasa seperti kita sedang bekerja.
Cuba anda lihat, apakah terdapat hobi mahupun minat yang anda miliki yang sebenarnya boleh dikomersialkan bagi menghasilkan pendapatan tambahan.
Mungkin ada. Misalnya, orang yang suka mengumpul model aksi, dan tahu dimana nak dapatkan model permainan tersebut dengan harga yang berpatutan boleh buat kerja sambilan dengan menjual permainan tersebut.
Orang yang minat memancing, atau mencandat sotong, boleh jadikan ia sebagai bisnes sampingan dengan menjual hasil tangkapan ataupun menjual peralatan memancing berdasarkan kepada pengalaman anda menggunakan peralatan dari jenama tertentu.
(3) Kerja sendiri sebab ada skil yang dipelajari
Ini sesuai untuk mereka yang sebelum ini pernah masuk kelas kemahiran atau memang belajar dalam sesuatu bidang hingga ke peringkat yang tinggi.
Tapi bila dah habis belajar, kerja yang diperolehi tak sama bidang pula dengan ilmu yang dipelajari. Jangan sia-siakan ilmu yang pernah dipelajari sebelum ini, sebaliknya ilmu yang ada itu digunakan untuk memulakan perusahaan sendiri.
Andai kata sebelum ini anda pernah belajar sampai ke peringkat degree dalam jurusan pengurusan kewangan. Tapi bila cari kerja, tak ada kerja yang sesuai. Ilmu pengetahuan yang anda ada itu boleh dimanfaatkan dengan membuat kerja sambilan sebagai ejen insurans, takaful, unit trust dan lain-lain instrumen kewangan.
(4) Kerja sendiri sebab mewarisi kerja dari orang lain
Ini saya merujuk kepada perniagaan keluarga (family business). Sesetengah orang memang sangat bertuah sebab lahir dalam keluarga yang memang ada bisnes sendiri.
Dalam situasi ini, tak perlu susah payah nak fikirkan nak jalanknan bisnes apa. Uruskan sahaja bisnes sedia ada, uruskan dengan lebih baik sehingga mampu jadi legasi yang boleh diturunkan ke generasi yang seterusnya.
(5) Kerja sendiri berdasarkan trend semasa yang berpotensi jana pendapatan
Apakah bisnes yang sedang trending, yang kita boleh tiru untuk sama-sama hasilkan pendapatan?
Ok. Mungkin anda nak cuba berniaga online menggunakan platform shopee.
Orang yang bekerja sendiri, perlu ada serba sedikit kemahiran untuk melakukan jualan.
Macam mana kalau tak berapa pandai dalam bab-bab menjual? Tak ada masalah. Sebenarnya kerja menjual dan melakukan pemasaran ini, anda boleh outsource kepada orang lain.
Anda fokus sahaja pada kerja yang memang anda mahir, manakala selebihnya anda outsource kepada orang lain. Sama ada anda ingin gunakan konsep perkongsian keuntungan ataupun mengupah orang, itu semua terpulang kepada anda.
Baiklah, ada banyak lagi yang saya ingin kupaskan, tapi untuk mengelakkan artikel ini jadi terlalu panjang, saya akan kongsikan di lain masa, In Shaa Allah.
The post Kerja sendiri atau makan gaji. Mana satu pilihan hati? appeared first on Sabree Hussin Dot Biz.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sabreehussin.biz/kerja-sendiri-atau-makan-gaji-mana-satu-pilihan-hati/