Pembedahan Potong Usus Kelebihan Risiko Kos Pembedahan
Sejak kebelakangan ini, pembedahan potong usus atau pembedahan bariatrik makin mendapat perhatian ramai kerana terdapat segelintir orang ternama atau artis menggunakan kaedah ini untuk menurunkan berat badan secara drastik.
Namun, agak menjelikkan sekiranya seseorang itu menjalani pembedahan potong usus ini untuk kurus namun bermatian-matian mempromosikan “ubat kurus” kepada orang ramai dengan dakwaan kononnnya ia sangat berkesan.
Pembedahan ini dilihat sebagai jalan pintas untuk mencapai berat badan ideal dan meningkatkan kualiti hidup.
Walau bagaimanapun, di sebalik janji-janji manis tentang penurunan berat badan yang drastik, tersembunyi pelbagai kesan buruk pembedahan bariatrik yang perlu difahami sepenuhnya sebelum membuat keputusan.
Memahami risiko dan implikasi jangka panjang adalah langkah penting untuk memastikan anda bersedia secara fizikal dan mental.
Apa Itu “Pembedahan Potong Usus”?

Pembedahan potong usus adalah satu bentuk pembedahan bariatrik yang melibatkan pemotongan dan penyusunan semula sistem penghadaman, termasuk pemotongan sebahagian usus kecil dan perut. Antara jenis pembedahan yang sering dilakukan ialah:
Gastric bypass (Roux-en-Y)
Sleeve gastrectomy
Biliopancreatic diversion
Adjustable gastric banding
Prosedur ini bertujuan mengehadkan jumlah makanan yang boleh dimakan serta mengurangkan penyerapan kalori.
Walaupun ia terbukti berkesan untuk menurunkan berat badan, kesannya ke atas kesihatan jangka panjang masih menjadi isu yang dibincangkan pakar perubatan.
Artikel berkaitan: 10 Cara Hilangkan Stretch Mark dengan Berkesan
Kelebihan “Pembedahan Potong Usus”

Kajian menunjukkan pembedahan bariatrik atau pembedahan potong usus ini menawarkan pelbagai manfaat kesihatan yang signifikan, termasuk:
Rawatan yang lebih berkesan: Pembedahan bariatrik terbukti lebih berkesan dalam mengawal berat badan dan diabetes berbanding rawatan lain seperti ubat-ubatan atau suplemen.
Penurunan berat badan: Kira-kira 60% daripada berat badan berlebihan berjaya diturunkan.
Peningkatan kesihatan metabolik: Kesihatan pesakit diabetes dan darah tinggi bertambah baik. Kandungan lipid dalam darah pesakit obesiti juga dapat dikurangkan sebanyak 60% hingga 80%.
Pengurangan risiko penyakit: Risiko penyakit kardiovaskular dapat dikurangkan sebanyak 82%. Masalah lain seperti asma, sleep apnea, migrain, dan depresi juga boleh diperbaiki sehingga 50%.
Peningkatan kadar kelangsungan hidup: Kadar kematian pesakit obesiti yang menjalani pembedahan ini didapati lebih rendah dalam jangka masa panjang berbanding mereka yang tidak.
Kredit: Majalah Sains
Siapa yang layak menjalani pembedahan bariatrik?

Anda layak untuk menjalani pembedahan bariatrik atau pembedahan potong usus ini sekiranya memenuhi salah satu daripada kriteria berikut:
Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35, atau
BMI melebihi 30 dengan penyakit metabolik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, atau kolesterol tinggi, atau
Masalah kesihatan yang berkaitan dengan obesiti, seperti obstructive sleep apnea (OSA), sindrom ovari polisistik (PCOS), sakit lutut, dan masalah infertiliti, atau
Telah mencuba pelbagai kaedah penurunan berat badan seperti diet, senaman, dan ubat-ubatan tetapi masih gagal mencapai berat badan ideal.
Antara jenis pembedahan bariatrik yang biasa dilakukan termasuklah:
Laparoscopic sleeve gastrectomy
Gastric bypass
Mini gastric bypass
Sleeve plus
Jenis pembedahan yang paling sesuai akan ditentukan oleh doktor bedah berdasarkan perbincangan dengan pesakit. Ini termasuk mempertimbangkan tahap kesihatan dan sasaran berat badan yang ingin dicapai.
Kredit: Hospital USM
Kos pembedahan bariatrik
Kos bagi pembedahan potong usus ini juga berbeza-beza mengikut jenis pembedahan dan hospital yang melakukan prosedur ini.
Di Hospital USM, pembedahan bariatrik ini biasanya menelan kos kira-kira RM7,200 bagi pembedahan ‘laparoscopic sleeve gastrectomy’ dan RM8,500 bagi pembedahan ‘gastric bypass’.
Namun, sekiranya pesakit mempunyai surat jaminan (Guarantee Letter- GL), mereka boleh menggunakan GL untuk menanggung kos pembedahan ini.
Individu yang berminat untuk melakukan pembedahan bariatrik disyorkan untuk mendapatkan janji temu bersama pakar untuk sesi kaunseling secara menyeluruh dari segi faedah, jenis pembedahan, komplikasi, kebaikan dan kos yang perlu ditanggung.
Risiko pembedahan potong usus

Pembedahan bariatrik atau pembedahan potong usus adalah inisiatif yang baik untuk mengatasi masalah obesiti.
Walau bagaimanapun, anda perlu mempertimbangkan risiko yang mungkin dihadapi selepas pembedahan, kerana setiap prosedur mempunyai risikonya yang tersendiri.
Antara risiko yang boleh berlaku termasuk:
Pendarahan dan jangkitan pada luka pembedahan.
Penyakit batu hempedu, di mana 38% hingga 52% pesakit dilaporkan mengalaminya dalam tempoh setahun selepas pembedahan.
Kekurangan nutrisi seperti zat besi, vitamin B12, vitamin D dan kalsium, yang perlu diberi perhatian untuk memastikan kesihatan optimum.
Oleh itu, adalah penting untuk mengambil langkah berjaga-jaga semasa pembedahan dan mengamalkan diet sihat selepas pembedahan untuk mengekalkan kesihatan jangka panjang.
Membuat keputusan untuk menjalani pembedahan ini bukanlah semudah memilih kaedah diet. Ia adalah komitmen seumur hidup terhadap kesihatan fizikal dan mental.
Maka, dapatkan nasihat pakar sebelum mengambil sebarang langkah drastik.
Bagi individu yang telah menjalani pembedahan bariatrik ini atau individu yang masih mempertimbangkan untuk menjalani rawatan potong usus ini, sila sertai Facebook Group Bariatric and Metabolic Surgery Support Group of Malaysia untuk membaca pengalaman individu-indvidu yang telah menjalani pembedahan ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/pembedahan-potong-usus-bariatrik/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=pembedahan-potong-usus-bariatrik