Pemandu Mabuk Allahuakbar Kesian Anak Isteri Arwah
Suspek kejadian hampir langgar saksi sebelum sempat elakAthirah Huda Zalhe
BANGI, 3 Syawal 1441H, Selasa – “Kau memang mabuk, depan mata aku! Celaka betul, elok gantung sampai mati.”
Demikian luah saksi kejadian kemalangan maut membabitkan seorang kakitangan Alam Flora yang dipercayai dilanggar pemandu mabuk di jalan Kuantan By-Pass, kira-kira jam 9.40 malam tadi.
Saksi, Nik Muhammad Firdaus dalam hantaran di Facebooknya menceritakan kembali detik kejadian, apabila dia juga nyaris menjadi mangsa pemandu mabuk berkenaan yang dikatakan memandu secara merbahaya dan melawan arus.
“Nyaris nak langgar aku tadi sebelum aku nak masuk simpang Sungai Lembing dari Sungai Isap. Tapi sempat aku mengelak.
“Dah kau ‘wrong way’ bawa laju pula dari Semambu lagi aku rasa,” katanya.
Nik berkata, ketika kejadian, banyak kenderaan mengelak disebabkan suspek yang memandu secara melawan arus, dan dia bertindak mengekori lelaki terbabit kerana merasakan akan berlaku kemalangan membabitkan pemandu lain.
“Sampailah di Bukit Rangin dia dah langgar kereta Ford Fiesta hitam. Aku berhenti tepi turun, dah ada orang bawa keluar abang (mangsa) tu badan dah keadaan lembik masih bernafas.
“Beberapa minit kemudian abang tu dah tak ada. Ya Allah, tapi alhamdulillah sempat kami yang ada di situ bantu mengucap,” katanya.
Menurut Nik, suspek berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, dan ia menambahkan lagi kemarahannya serta saksi lain yang berada di tempat kejadian.
Nik berkata, dia sempat membuka beg duit mangsa dan bergegas ke rumah keluarganya di Sungai Isap.
“Allahuakbar, kesian anak seorang mungkin 7 tahun. Isteri dia baru dapat tahu polis ‘call’ suruh datang ke tempat kejadian.
“Anak isteri dia menangis tak henti-henti, anak dia panggil ayah. Isteri dia cakap, suami nak pergi kerja ke Gebeng,” katanya.
Nik berkata, dia hanya mampu membantu isteri mangsa setakat membawa ke tempat kejadian, dan lega terdapat saksi lain yang sempat merakam tindakan suspek berbangsa Cina berkenaan memandu secara lawan arus.
Dalam kejadian itu, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut ditempat kejadian selepas dilanggar pemandu berusia 42 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol serta memandu secara melawan arus.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, situasi itu telah mengakibatkan beberapa kenderaan lain mengalami kemalangan kerana mengelak daripada bertembung dengan kereta yang dipandu suspek.
Suspek telah ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2020/05/pemandu-mabuk-allahuakbar-kesian-anak.html