Pelik Di Dunia Di Syurga Dia Anak Paling Sempurna Luah Ibu Kanak Kanak Autisme
Siti Nadirah Hafidzin berkata ciri ‘pelik’ pada Hasya Nur Dhuha membuatkannya bersama suami nekad merujuk anak mereka kepada pakar kanak-kanak.KLANG: Dua tahun pertama tumbesaran Hasya Nur Dhuha Hafidzul Hilmi, 5, tidak banyak berbeza seperti kanak-kanak lain, berjalan seawal usia 11 bulan, bermain dengan rakan sebaya dan mula mengeluarkan beberapa perkataan.
Namun, sikap ceria dan periang anak kedua itu perlahan-lahan berubah menjadi seorang pendiam dan suka menyendiri. Malah, perkataan mula diungkapkan seperti “ma” (mama) dan “di” (daddy) hilang sedikit demi sedikit menjadikan Hasya kini dikategorikan sebagai “nonverbal kid”.
Ibunya, Siti Nadirah Hafidzin berkata ciri “pelik” pada Hasya membuatkannya bersama suami nekad merujuk anak mereka kepada pakar kanak-kanak.
Tonton video di sini.
“Dari segi fizikal dan tumbesaran, dia sama macam kanak-kanak lain, tetapi naluri seorang ibu dapat rasakan anak kita ini lain. Ada sesuatu perlu diperiksa,” katanya kepada FMT ketika ditemui di kediamannya di sini.
Kata hati seorang ibu tepat apabila Hasya, didiagnosis Autisme tahap pertengahan ketika berusia tiga tahun selepas beberapa siri pertemuan dengan doktor pakar dan juruterapi.
Menurut Siti Nadirah Hafidzin, beliau bersama suami tidak henti memberikan sokongan kepada Hasya, malah rutin kehidupan mereka berubah bagi memastikan tumbesaran anak mereka selari kanak-kanak normal lain.“Mulanya, sebagai ibu bapa memang sedih tetapi perasaan itu perlahan-lahan reda kerana ada lagi ibu bapa mempunyai anak istimewa menerima ujian lebih teruk. Mereka diuji bukan hanya seorang tetapi dua, tiga anak Autisme. Dari situ saya dan suami cakap, Allah hanya beri kita seorang saja anak syurga.
“Hasya mungkin tak sempurna di sini (dunia) tetapi di syurga nanti dia anak saya yang paling sempurna,” katanya sebak.
Selepas disahkan tahap ciri Autisme pada Hasya, Nadirah bersama suami tidak henti memberikan sokongan, malah rutin kehidupan mereka berubah bagi memastikan tumbesaran anak mereka selari kanak-kanak normal lain.
Seusia lima tahun, kanak-kanak sepertinya sudah petah bercakap dan galak bermain, namun bagi Hasya, semua itu seperti sangat asing dalam rutin hariannya yang lebih gemar bermain sendiri.
Turut merunsingkan Nadirah apabila hubungan Hasya dan kakaknya, Hana Nur Dhia, 8, tidak begitu mesra dan rapat.
“Faktor usia dan kekurangan adiknya yang tidak boleh bertutur dengan jelas menyebabkan ada ‘tembok’ antara mereka. Dari segi rakan sebaya, dia tiada kawan lagi. Kalau ada pun saudara mara namun mereka masih susah nak sesuaikan diri,” kata Nadirah yang meninggalkan bidang kewartawanan sejak dua tahun lalu bagi menumpukkan sepenuh perhatian kepada Hasya.
Tidak boleh tidur awal
Seperti kanak-kanak Autisme lain, Hasya turut mempunyai ciri ketara seperti tidak boleh tidur awal dan hanya berbuat demikian pada 4 atau 5 pagi setiap hari.
Berkongsi detik tidak boleh dilupakan sehingga kini, Nadirah berkata, seawal usia dua hingga tiga tahun Hasya gemar berjalan sendirian tanpa hala tuju.
“(Hasya suka) keluar dari rumah tanpa arah dan dia tak tahu bahaya. Pernah beberapa kali dia terlepas keluar (dari rumah)… jiran datang hantar. Masa tu umur dia dua tahun,” katanya memaklumkan keadaan Hasya kini semakin baik selepas melakukan beberapa siri terapi.
Siti Nadirah Hafidzin.Nadirah berkata, setiap bulan dia dan suami memperuntukkan hampir RM1,500 untuk kos terapi dan makanan Hasya.
“Hasya sangat memilih makan dan setiap hari dia hanya akan makan piza dan donut. Saya pernah cuba buat sendiri tetapi Hasya menolak dan tetap mahu donut atau piza dia biasa makan,” katanya.
“Hanya ada jenama tertentu saja dia makan. Jadi ia memerlukan belanja besar dan kami akan peruntukan sejumlah wang untuk beli makanan dia saja, manakala satu-satunya buah yang dia boleh terima adalah epal,” katanya.
Bagaimanapun, Nadirah yang kini mengandung anak ketiga bersyukur Allah masih melapangkan rezeki mereka sekeluarga untuk membesarkan anak syurga itu.
Apa diharapkan, Hasya mampu menguruskan diri sendiri dan hidup berdikari dibantu kakaknya, Hana.
“Saya dan suami memang tak mengharapkan dia dari segi akademik, kami terima sebab tahu dia macam mana. Saya bersyukur sebab kami ada seorang lagi anak perempuan, sebab itu dari sekarang kami dah terapkan pada kakaknya, yang dia kena jaga Hasya sampai bila-bila,” katanya.
Berkongsi pengalaman dan kisah hidup anak istimewanya itu, Nadirah mahu ibu bapa lain tidak bersikap “in denial” terhadap ciri mencurigakan pada anak masing-masing.
“Sebaiknya bawa jumpa pakar atau individu bertauliah untuk tengok apa masalah anak kita. Kalau pun Autisme, itu bukan pengakhiran, sepatutnya itu permulaan untuk kita membesarkan dia dengan sebaiknya dan (pada) jalan betul,” katanya tidak mahu anak istimewa itu dipandang serong masyarakat kerana sikap “luar jangka” yang ada pada mereka.
Nadirah berkata, Hasya kini mengikuti Program Intervensi Awal (EIP) di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Teluk Pulai, Klang. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2022/04/pelik-di-dunia-di-syurga-dia-anak.html