Pelayar Web Terbaik Untuk Memainkan Netflix
Teknologi Digital Rights Management (DRM) sedikit sebanyak membantu kebanyakan servis penstriman seperti Netflix melindungi kandungan mereka dari dicetak rompak.
Walaupun masih ada aplikasi yang dapat melakukannya, tetapi proses menjadi lebih sukar, tambahan pula aplikasi seperti dalam artikel ini adalah versi berbayar.
Lanun cetak rompak kan suka barang percuma?
Lain pelayar, maka lainlah teknologi DRM digunakan. Untuk Chrome dan Firefox, keduanya menggunakan DRM berasaskan perisian iaitu Widevine. Ini diimplementasi dalam usaha untuk mengelakkan kandungan dari dirakam menerusi skrin.
Untuk mengelakkan kandungan dicetak rompak dalam resolusi 4K, Netflix mengehadkan pula main semula pada pelayar dengan resolusi 720p sahaja. Pelayar yang terlibat ialah Chrome dan Firefox, di platform desktop utama iaitu Windows, Mac, dan Linux.
Pada Chromebook, ada sedikit kelebihan di mana ia dapat memainkan resolusi berdefinisi tinggi penuh 1080p (1920 x 1080) menggunakan Chrome.
Kedua-dua Apple dan Microsoft menggunakan sistem DRM berasaskan perkakasan, yang lebih sukar untuk dilangkau berbanding hanya menggunakan Widevine.
Atas sebab itu, Netflix membolehkan pengguna pelayar web Microsoft Edge dan Apple Safari menikmati kualiti video yang jauh lebih baik.
Setakat ini, tiada tandingan lagi. Microsoft Edge ialah pelayar terbaik untuk menikmati kandungan video di Netflix. Pengguna dapat memainkan video pada resolusi sehingga 4K.
Tidak lupa juga aplikasi Netflix yang boleh dimuat turun di Windows Store juga mempunyai kebolehan memainkan video beresolusi 4K.
Cuma, untuk mendapatkan resolusi setinggi itu, peranti haruslah:
1. Mempunyai paparan beresolusi 4K.
2. Pemproses Intel generasi ke 7 atau lebih baru.
3. Windows 10 versi 1607 ke atas.
Untuk pengguna Mac, pelayar terbaik semestinya Safari, manakala sistem yang menyokong resolusi berdefinisi tinggi 1080p di Netflix pula ialah macOS Catalina (10.10 – 10.15).
Berita baiknya, macOS 11 iaitu Big Sur akan menyokong main semula resolusi 4K pada Safari.
Agak sedih apabila pengguna Linux tertinggal dalam hal ini. Maklum saja, tiada sebarang implementasi DRM pada Linux, dan mengharapkan pelayar Edge tiba untuk sistem Linux pula entah bilalah ia akan dilepaskan.
Sekurang-kurangnya walaupun masih gunakan perkakasan lama, ada harapan lagi untuk mainkan video sehingga resolusi 1080p dengan menggunakan pelayar Microsoft Edge, meskipun resolusi skrin laptop/komputer hanyalah 720p sahaja. Ya, itulah dia antara kelebihan Edge yang tiada pada pelayar lain, dan kerana itu saya sendiri gunakannya sebagai pelayar utama di Windows.
Via: What’s The Best Browser For Netflix? (Clue: It’s Not Google Chrome)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/pelayar-web-terbaik-untuk-memainkan-netflix/