Pelan Digital Perlis 2025 Jadi Jambatan Penghubung Kerajaan Rakyat Dan Swasta
UMNO ONLINE

KANGAR– Kerajaan negeri Perlis yang tidak mahu ketinggalan dalam arus  pembangunan digital mutakhir, mengambil inisiatif memperkenalkan pelan  Digital Perlis 2025, sebagai langkah awal menghubungkan kerajaan, rakyat  dan swasta menerusi platform digital.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof berkata, pelan  tersebut adalah cetusan cadangan pada pembentangan belanjawan negeri  tahun lepas, bagi menambah baik perkhidmatan kerajaan negeri dengan  meneroka bidang baharu iaitu teknologi digital.
“Tiga fokus utama pelan Digital Perlis 2025 adalah membabitkan tiga  eleman utama iaitu kerajaan, rakyat dan pihak swasta, yang bersifat  lebih holistik di mana pelan ini bersifat menyeluruh dan tidak hanya  memberi tumpuan kepada satu pihak sahaja,” katanya kepada Bernama  baru-baru ini.
Azman berkata pelan yang akan dilancarkan secara rasmi pada Nov nanti  itu mempunyai tujuh kluster tumpuan iaitu kluster kerajaan, keselamatan,  infrastruktur, masyarakat, ekonomi, pelancongan dan pertanian dengan  kluster keselamatan antara kluster terpenting dalam pelan tersebut.
“Keselamatan digital penting apabila semua urusan dilakukan secara  digital, sama ada ia membabitkan orang ramai, kerajaan mahupun pihak  swasta, langkah awal memperkasakan elemen ini penting dalam memastikan  tidak berlaku ancaman siber dari pihak luar,” katanya.
Selain itu Azman berkata, oleh kerana Perlis adalah sebuah negeri  berasaskan pertanian, kerajaan negeri ingin melihat berlaku perubahan  dalam sektor ini pada masa akan datang, apabila aplikasi digital  digunakan dalam mengawal hasil pertanian seperti penggunaan dron dalam  mengumpul data pengurusan kawalan air di tanah pertanian.
Beliau berkata pelan ini dibina secara khusus untuk negeri Perlis,  mengikut acuan sendiri berdasarkan pelan induk pelan tindakan Jalinan  Digital Negara (JENDELA) yang akan menjadi platform penambahbaikan  komunikasi digital negara, di bawah Rancangan Malaysia ke-12  (2021–2025).
“Kita perlu bina pelan sendiri kerana keadaan di Perlis berbeza  dengan negeri lain, sebagai contoh infrastruktur jalur lebar di Lembah  Klang adalah lebih maju daripada di sini,” katanya.
Katanya untuk langkah awal dalam pelan jangka pendek selama lima  tahun pelan Digital Perlis 2025, kerajaan negeri akan memberi tumpuan  kepada program ‘pembudayaan digital’ iaitu memberi kefahaman terhadap  masyarakat tentang budaya digital, dengan mewujudkan platform Kerajaan  Digital dalam usaha ke arah kerajaan pintar menerusi pelan jangka  sederhana dan panjang.
Azman berkata antara inisiatif yang telah dibuat oleh kerajaan negeri  ketika ini adalah seperti promosi ‘Cashless Perlis’ iaitu kaedah  pembayaran tanpa tunai, pengembaraan maya di Perlis Digital Geopark,  Masjid Digital dan banyak lagi.
Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Maimunah Ismail, 64 berkata  teknologi digital merupakan satu keperluan hari ini apabila hampir semua  urusan harian seperti membayar bil utiliti, membeli barang dan  transaksi bank dilakukan secara atas talian.
“Pada mulanya agak kekok juga bayar bil utiliti secara atas talian,  namun disebabkan malas beratur panjang di kaunter menyebabkan saya  belajar guna telefon bimbit untuk bayar bil daripada anak saudara,” kata  bekas guru itu yang menyambut baik usaha kerajaan negeri itu.
Turut berkongsi pendapat Nur Ris’lah Muzaim, 23, yang menyatakan bagi  beliau teknologi digital ada baik dan buruknya kerana bukan semua  golongan masyakat bersedia untuk menjadikannya sebagai budaya hidup.
“Namun ia mungkin menjadi satu beban bagi warga emas, kerana mereka  tidak mempunyai ‘akses’ untuk melakukannya dan lebih selesa dengan  sistem lama,” katanya. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/pelan-digital-perlis-2025-jadi-jambatan.html