Pelajar Miskin Teruja Terima Sumbangan
Oleh: Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 21 Mei - Dalam beberapa hari sahaja lagi umat Islam di seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, pastinya, mereka yang kurang bernasib baik terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim yang juga YDP PIBG SEBUDI bersama isteri Ustazah Paizah Ghazali turut meyantuni dan meyampaikan sumbangan kepada pelajar yang terpilih dalam program ini.
Seramai enam pelajar miskin dan anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri daripada guru-guru (SMK) Bukit Diman .
Bagi pelajar Tingkatan 5, Mashitah Marzuki, 17, sumbangan sempena Aidilfitri itu menggembirakan dia dan rakan-rakan lain yang senasib dengannya.
Dia juga bersyukur kerana pemberian itu dapat membantu meringankan beban ibunya yang hanya menjual kuih setelah kematian suami.
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dillaksanakan, ibu hilang punca pendapatan
"Adik- beradik saya enam orang dan salah seorang adik menghidapi masalah kegagalan buah pinggang yang merupakan anak kelima dalam keluarga. Persiapan kami menyambut Aidilfitri memerlukan perbelanjaan tambahan. Jadi sumbangan ini boleh tampung pendapatan ibu," katanya.
Raja Shamira Raja Sukri ,13, pula berkata, sumbangan tersebut bernilai buat dirinya untuk membeli keperluan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dia bersyukur kerana pemberian itu membantu meringankan beban bapanya yang hanya bekerja kampung dengan jumlah pendapatan tidak seberapa.
"Saya pun tidak pernah meminta ayah menyediakan kelengkapan raya kerana sedar ada perkara lebih penting untuk ayah gunakan wang, termasuk perbelanjaan harian kami," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Maliaman berkata sumbangan berkenaan membuktikan keprihatinan guru guru terhadap kebajikan pelajar selain memuliakan Ramadan dengan meraikan golongan yang memerlukan.
“Paling utama ialah kita berkongsi kegembiraan dengan mereka dan membantu menceriakan serta memeriahkan sambutan Aidilfitri pelajar berkenaan.
”Pelajar-pelajar ini perlu diberikan perhatian dan sumbangan agar mereka juga berpeluang merasai kemeriahan hari raya.
"Kita mahu mereka merasai yang pihak sekolah sentiasa mengambil berat perihal mereka dan keluarga. Meskipun sumbangan yang diberikan tidak sebesar mana, diharapkan penerima mampu merasai sedikit kelegaan," katanya.
Sumber: teganukita.net
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2020/05/pelajar-miskin-teruja-terima-sumbangan.html