Peguam Petik Surat Bersihkan Musa Untuk Cabar Pertuduhan
Alyaa Alhadjri 

    Pasukan peguam bela kepada Musa Aman berkata mereka akan mencabar  pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan bekas ketua  menteri Sabah itu.
Peguam, Ng Aik Guan mempersoalkan kandungan dua  sijil yang dikemukakan pegawai diplomatik Malaysia di Hong Kong dan  Singapura kepada pihak pendakwa, berhubung kait tuduhan melakukan  kesalahan di kedua-dua negara berkenaan.
"Setakat ini dari segi keaslian, tandatangan pegawai, tidak ada pertikaian.
"Tetapi  dari segi kesesuaian kandungannya, itu ada perselisihan," kata Ng yang  menyatakan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayub bahawa  permohonan rasmi akan dibuat untuk mencabar kandungan sijil berkenaan.
"Kami  mendapati pelik apabila pegawai diplomatik kami di Hong Kong dan  Singapura juga mengeluarkan pensijilan di bawah Seksyen 82 (2) Amla  untuk 16 pertuduhan ini," katanya merujuk pendakwaan terbaru terhadap  Musa yang didengar hari ini.
Terdahulu, Musa menghadapi 16 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,  Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001  berjumlah kira-kira AS$37.8 juta.
Ng bagaimanapun berhujah pihak  berkuasa di Hong Kong - di mana kesalahan itu didakwa - pada Disember  2011 telah secara rasmi memaklumkan kepada anak guamnya bahawa mereka  telah menyelesaikan siasatan dan kes itu diklasifikasikan sebagai Tiada  Tindakan Lanjut.
Ng mengulangi kenyataan menteri undang-undang,  Nazri Aziz pada tahun 2012 yang membersihkan Musa daripada tuduhan itu,  walaupun Anggota Parlimen Padang Rengas itu sendiri menafikannya.
Musa memetik nama Nazri pada November lepas selepas dia meminta dibicarakan atas 35 pertuduhan menerima rasuah sebanyak AS$ 63 juta sebagai pertukaran untuk kontrak pembalakan.
Menjawab  dakwaan Ng, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran berkata,  sijil itu hanya dikeluarkan untuk memberikan bidang kuasa kepada  mahkamah Malaysia mendengar kes di mana kesalahan itu dilakukan di luar  negara.
"Isu Tanpa Tindakan Selanjutnya oleh pihak berkuasa asing tidak timbul," katanya.
Hakim  Rozina memberi tempoh selama sebulan kepada kedua-dua belah pihak  suntuk memfailkan permohonan yang relevan dan mengosongkan tarikh antara  15 Julai dan 26 Julai sebagai tarikh perbicaraan. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/peguam-petik-surat-bersihkan-musa-untuk.html