Peguam Pendakwah Selebriti Mahu Tindakan Pengadu Buat Laporan Palsu
Kumara Sabapatty                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Pendakwah  selebriti dibawa keluar oleh anggota polis selepas mendapat perintah  tahanan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan  dakwaan kes rogol di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. foto HAZROL  ZAINAL             PETALING JAYA – Polis diminta mengambil tindakan tegas ke  atas pengadu dalam kes rogol dan cabul melibatkan pendakwah selebriti  sekiranya wujud unsur laporan palsu.
Peguam kepada pendakwah muda berusia 25 tahun itu, Syed Amirul Syed  Edros berkata, polis perlu berlaku adil kepada kedua-dua pihak dalam  menyiasat dan mengadili sesebuah kes.
“Saya berharap polis bukan sahaja memberikan status tiada  tindakan lanjut (NFA) kepada dua laporan polis rogol dan cabul terhadap  anak guam saya.
“Saya juga harap sekiranya terdapat unsur laporan palsu dalam  kedua-dua laporan NFA, ambil tindakan kepada pengadu kerana kita juga  selain menegakkan hak hak mangsa sekiranya berlaku jenayah, kita juga  hendak menegak hak anak guam saya.
“Kita takut ada pihak yang sengaja membuat laporan untuk menambah  serta memburukkan lagi keadaan anak guam,” katanya ketika ditemui  pemberita di pekarangan Mahkamah Petaling Jaya selepas proses reman ke  atas suspek selesai hari ini.
Ujar Syed Amirul, tindakan itu penting kerana orang awam sentiasa  menganggap sekiranya laporan polis dibuat ia bermakna anak guamnya  bersalah.
Terdahulu, pendakwah selebriti itu dibawa ke mahkamah 10.30 pagi tadi  dengan keadaan tangan digari dan berpakaian lokap warna ungu sebelum di  bawa ke bilik reman.
Penolong Pendaftar, Siti Mazrah Mohamad membenarkan perintah reman  lima hari sehingga 11 Disember 2020 untuk polis menyiasat suspek di  bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Siasatan berkenaan bersabit laporan polis seorang guru sekolah  berusia 22 tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol suspek apabila  didakwa diajak menyambut hari jadinya di sebuah restoran di Shah Alam  sebelum dipujuk ke rumahnya di Damansara Perdana dan dirogol.
Mangsa membuat laporan polis pada 30 November lalu di Balai Polis  Damansara mengenai kejadian yang menimpa dirinya pada 22 Oktober lalu.
Setakat ini, lapan laporan polis diterima polis daripada lapan mangsa  berlainan manaka dua laporan polis rogol ke atas suspek berkenaan  berstatus NFA iaitu satu di IPD Shah Alam dan satu lagi di IPD Subang  Jaya.
Menurut Syed Amirul, anak guamya dilepaskan dengan jaminan polis  setelah direman selama 10 hari oleh Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Shah  Alam sebelum ditahan semula segera oleh pegawai dari IPD Petaling Jaya  berkait satu lapran polis berkaitan siasatan mengikut Seksyen 376 kanun  keseksaan dakwaan merogol.
Jadi, katanya, apabila sebelum habis 24 jam selepas ditahan semalam, anak guamnya dibawa ke mahkamah hari ini dan direman.
Beliau dalam masa yang sama turut mengulas mengenai komen orang awam mengenai kenyataan polis mengenai siasatan kes berkenaan.
“Saya cuma nak bantu pemahaman orang awam bahawa apa yang diberitahu  pihak polis termasuk maklumat berkaitan orang kena sabit kononnya  memberitahu mangsa dia pengamal perubatan Islam dan ada guna minyak  pengasih dan sebagainya serta mangsa pula dibawa ke rumah dan  ditingalkan Grab sebagainya belum dibuktikan di mahkamah.
“Orang awam perlu faham bahawa kenyataan spesifik sebegitu belum  menjadi fakta dibuktikan dan diuji di mahkamah sebelum menerima sebagai  keterangan untuk menyabitkan pendakwah dengan mana mana kesalahan.
“Untuk setiap laporan sudah tentulah ada pengadu membuat laporan dan  kita harap orang awam tak terima laporan-laporan ini sebagai bukti  bahawa anak guam saya bersalah.
“Dia direman hanya untuk membantu siasatan polis kerana polis setelah  menerima laporan perlu siasat kes sehingga selesai dan hasilnya barulah  dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk dituduh atau sebaliknya,”  tegasnya.-MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/peguam-pendakwah-selebriti-mahu.html