Pegawai Pemerintah Dipecat Gara Gara Ceraikan Isteri Shella Saukia Tampil Hulur Bantuan

ACEH – Nama Shella Saukia kembali jadi sebutan di media sosial selepas tindakannya membantu seorang wanita asal Aceh, Imelda Safitri, yang tular kerana diceraikan suami sebaik sahaja lulus pemilihan Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK).
Di sebalik kisah duka itu, Shella hadir membawa sinar baharu buat Imelda, bukan sekadar menghulurkan bantuan, tetapi juga menyuntik semangat agar wanita tersebut dapat bangkit dan berdikari semula.
Hulur Bantuan dan Harapan
Menerusi perkongsian di Instagram rasmi @shellasaukiaofficial, Shella dilihat duduk di lantai bersama Imelda sambil menyerahkan sejumlah wang tunai serta sebuah telefon pintar sebagai modal permulaan perniagaan.
“Alhamdulillah, insya-Allah selepas ini darjat Kak Melda akan diangkat oleh Allah SWT. Semangat, ya,” tulis Shella dalam kapsyen video yang dimuat naik pada Jumaat (24 Oktober 2025).
Menurutnya, bantuan tersebut bukan sekadar simpati, sebaliknya dorongan untuk Imelda memulakan hidup baharu selepas berdepan ujian rumah tangga.
“Ini rezeki kakak, guna untuk buka perniagaan… Kalau kakak nak ke Jakarta, boleh. Saya ada tempat di sana,” katanya lagi.
Siapa Sebenarnya Shella Saukia?
Tindakan Shella itu pantas mencuri perhatian warganet yang ingin tahu lebih lanjut mengenai wanita yang kini menjadi inspirasi ramai ini.
Dilahirkan di Aceh pada 4 Ogos 1990, Shella kini berusia 34 tahun dan dikenali sebagai seorang usahawan muda berjaya dengan empayar perniagaan meliputi pelbagai bidang, daripada kecantikan, fesyen sehinggalah pelancongan haji dan umrah.
Antara jenama di bawah naungannya termasuk SSSKIN, Level Up Beaute, SSTravel, X-Fitz, serta Shella Saukia Collection.
Melalui SSSKIN, Shella berjaya memasarkan rangkaian produk penjagaan kulit seperti serum, toner dan pelembap yang mendapat sambutan hebat di pasaran. Dalam masa sama, jenama fesyennya menawarkan rekaan busana wanita moden dan elegan yang digemari ramai.
Selain itu, SSTravel miliknya turut dikenali sebagai agensi pelancongan haji dan umrah yang menawarkan harga berpatutan dan perkhidmatan selesa untuk jemaah.
Bukan Sekadar Kaya, Tapi Penuh Empati
Dengan lebih 3.1 juta pengikut di Instagram, Shella bukan sahaja menggunakan media sosial untuk tujuan promosi, tetapi juga sebagai medium inspirasi kepada wanita muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan.
Namun di sebalik kejayaan dan kemewahan yang dikecapi, Shella tetap dikenali sebagai individu berhati mulia.
Aksinya membantu Imelda Safitri menjadi bukti nyata bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada harta, tetapi juga sejauh mana seseorang sanggup berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
“Semoga dengan bantuan ini, Kak Melda dapat semangat baharu dan rezeki yang lebih baik,” tulis Shella dalam hantaran tersebut.
Langkah Shella ini bukan sekadar mencerminkan kejayaannya sebagai usahawan berjaya, tetapi juga sisi kemanusiaan seorang wanita yang tidak pernah lupa daratan.
Pegawai Pemerintah Dipecat Lepas Kisah Rumah Tangga Tular
Sementara itu, memetik laporan Insiden24, seorang pegawai pemerintah yang baru dilantik pada 17 Ogos lalu telah dipecat daripada jawatan selepas kisah peribadinya yang menceraikan isteri tular di media sosial.
Menurut Ketua Daerah (Bupati) Aceh Utara, Ayah Wa, siasatan mendapati pegawai berkenaan terbukti bersikap curang dan meninggalkan isteri serta dua anaknya.
Tambahnya, keputusan pemecatan itu dibuat selepas pihak berkuasa menyemak kesahihan video tular berhubung kejadian tersebut di media sosial. Dalam kenyataannya, Ayah Wa menegaskan bahawa tindakan pegawai itu melanggar kod etika dan tidak mencerminkan nilai yang dijunjung oleh kerajaan wilayah.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku yang menjatuhkan maruah serta etika pegawai kerajaan,” tegasnya.
Sebelum itu, media sosial Indonesia turut dihebohkan dengan pengakuan isteri pegawai berkenaan, dikenali sebagai Imelda Safitri, yang mendedahkan dirinya diceraikan pada 15 Ogos lalu, dua hari sebelum suaminya dilantik secara rasmi sebagai pegawai pemerintah Unit Polis Perbandaran Aceh Singkil.
Imelda menjelaskan, punca perceraian berpunca daripada isu kecil, tidak memasak selepas suaminya pulang bekerja.
“Bagaimana saya mahu memasak kalau tiada bahan di rumah? Dia tak pernah beri nafkah untuk beli barang dapur, jadi apa yang saya boleh masak?” katanya.
Selepas pertengkaran itu, suaminya dikatakan terus mengemas pakaian dan menceraikan saya sekelip mata, ujarnya lagi. – The Malaysian Update
The post Pegawai Pemerintah Dipecat Gara-Gara Ceraikan Isteri, Shella Saukia Tampil Hulur Bantuan appeared first on The Malaysian Update.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2025/10/24/pegawai-pemerintah-dipecat-gara-gara-ceraikan-isteri-shella-saukia-tampil-hulur-bantuan/