Pasar Lebih 50 Tahun Diberi Keutamaan Pembangunan Semula
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (tengah) bersalaman dengan guru ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ayer Tawar hari ini. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Pasar awam berusia lebih 50 tahun diberikan keutamaan untuk melaksanakan pembangunan semula, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Nga berkata, langkah itu mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan memandangkan kebanyakan pasar awam di negara ini berada dalam keadaan usang dengan masalah bumbung bocor dan banjir.
“Mana-mana pasar berusia 50 tahun ke atas, saya akan beri keutamaan sama seperti balai bomba sama ada dinaik taraf atau bina semula.
Ads by Kiosked“Ini kerana setiap bangunan ada hayatnya dan had umur (akan usang), samalah dengan pasar jadi adalah perlu untuk kita beri keutamaan dan pertimbangan sewajarnya,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke Pasar Awam Ayer Tawar dekat Beruas, Perak.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, antara pasar lama yang menerima pembangunan semula di Perak adalah Pasar Awam Pasir Pinji yang berusia 62 tahun menerusi peruntukan RM12 juta.
Selain itu katanya, kementerian juga menaik taraf Pasar Taiping iaitu premis pasar tertua di Malaysia yang dibina sekitar tahun 1880-an sebagai Pasar Warisan Negara.
“Pasar ini (Pasar Taiping) sedang dalam pembinaan dan saya dah sarankan supaya siap menjelang tahun hadapan bersempena sambutan ulang tahun 150 bandar Warisan Taiping,” katanya.
Dalam lawatan itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut meluluskan peruntukan RM5.48 juta kepada Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Kampung Baru Cina meliputi 24 projek menaik taraf dan penyelenggaraan.
Ads by KioskedJumlah itu termasuk peruntukan RM3.5 juta bagi kerja meruntuh dan membina semula Pasar Awam Ayer Tawar yang beroperasi sejak 1973.
Nga berkata, pembangunan pasar awam berkenaan mengambil kira Indeks Bangunan Hijau dan penggunaan tenaga solar yang lebih moden dan selesa. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2023/06/aa_63.html