Pas Yakin Potensi Tawan Pahang Pada Pru15
ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Setidaknya jadi pemegang syer paling besar bentuk kerajaan negeri
BANGI, 18 Muharam 1444H, Selasa – Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari yakin bahawa parti itu berpotensi menawan negeri Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dengan mengambil kira senario perkembangan sokongan terhadap pilihan raya pada 2018, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, perkara itu dapat dicapai sekiranya usaha dilakukan dengan menggunakan kaedah yang betul.
Beliau berkata, PAS ketika ini menang lapan kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU14, manakala 25 kerusi adalah Barisan Nasional (BN) dan sembilan lagi Pakatan Harapan (PH).
“Dalam PRU yang akan datang jika penyokong-penyokong PH dapat berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan negeri Pahang, Insya-Allah PAS ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan Pahang.
“Ambil contoh DUN Pulau Tawar di mana PAS hanya kalah dengan majoriti 587 undi sahaja di tangan UMNO, sedangkan undi yang diperolehi oleh PKR ialah 1,973,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengundi PKR dan PH di kerusi Pulau Tawar perlu berfikir akan betapa ruginya undi dibazirkan begitu sahaja dengan memberikan kemenangan kepada UMNO-BN.
Katanya, jika pengundi memberikan undi kepada PAS, maka parti itu boleh memenangi DUN Pulau Tawar.
“Senario itu sebagai contoh sahaja, dan ia berlaku juga di beberapa DUN yang lain, misalnya DUN Tioman di mana calon PAS mendapat undi sebanyak 5,382 dan tewas dengan majoriti 1,280 di tangan calon UMNO-BN, sedangkan calon PKR di DUN tersebut mendapat 3,029 undi.
“Alangkah baiknya jika pengundi-pengundi PKR-PH dalam pilihan raya yang lepas dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada PAS pada pilihan raya kali ini demi merubah kepimpinan kerajaan negeri Pahang.
“Insya-Allah, selepas himpunan 20K penghujung Julai yang lepas, jentera PAS Pahang kelihatan semakin bertambah aktif dari barisan Pemuda, Muslimat, Ulama dan seluruh lapisan jentera bekerja keras demi memastikan PAS berjaya merampas Pahang,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2022/08/pas-yakin-potensi-tawan-pahang-pada.html