Pas Tak Perlu Pandangan Dap Tentukan Pimpinan Kata Ajk Ulama
Kali terakhir Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man dicabar pada pemilihan 2015.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menegaskan parti itu tidak perlu pandangan DAP dan ‘individu mesra dengannya’ dalam menentukan barisan kepimpinan pada pemilihan tahun ini.
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama, Mokhtar Senik, berkata sebagai parti Islam, PAS masih memerlukan gandingan Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang menduduki kerusi presiden serta timbalan sejak 2015.
Katanya, selain mempunyai kefaqihan dalam agama, kedua-duanya mempunyai akhlak soleh yang menepati ciri-ciri kepimpinan dikehendaki Islam.
Mokhtar Senik.“Jadi kepada sesiapa pun tak perlu bermazhabkan DAP dalam menentukan kepimpinan parti ini.
“Walaupun dasar parti tidak menghalang pertandingan di mana-mana posisi namun kedudukan presiden dan timbalan presiden masih memerlukan dua tokoh tersebut,” katanya di Facebook.
Mokhtar tidak menjelaskan secara lanjut kenyataannya mengaitkan dengan DAP pada pemilihan itu.
Sebelum ini, tiada pemimpin DAP menyuarakan pendapat atau cadangan berkait pemilihan PAS dijangka pada muktamarnya ke-70 di Kedah, September depan.
Baru-baru ini, FMT melaporkan penganalisis Syaza Shukri berpendapat ada keperluan bagi PAS mempertandingkan kerusi timbalan presiden untuk menyediakan pelapis kepimpinan atau calon perdana menteri menjelang PRU16.
Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar antara disebut-sebut berpotensi mengisi kedudukan itu jika ada pertandingan dan seterusnya diangkat calon perdana menteri daripada PAS.
Bulan lalu, sebuah portal berita menyiarkan komen penganalisis yang Hadi mungkin tidak lagi sesuai mengetuai PAS, termasuk berdepan cabaran besar terutama menghadapi PRU16 kerana keadaan kesihatan Ahli Parlimen Marang itu.
Namun, ramai menjangkakan kedudukan Hadi sebagai presiden PAS sejak 2002 tidak akan dicabar pada pemilihan nanti.
Kali terakhir jawatan presiden dan timbalan dipertandingkan pada 10 tahun lalu.
Untuk rekod, pemilihan terakhir parti itu bagi sesi 2023-2025 berlangsung dua tahun lalu turut menyaksikan tiada pertandingan jawatan naib presiden yang dimenangi Idris Ahmad, Samsuri dan Mohd Amar Abdullah. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/a_485.html