Pas Pbs Ada Titik Temu Di Hujung Sana
PAS, PBS. Singkatan nama bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Hanya dibezakan dengan huruf A dan B sahaja. Jika dicantumkan jadi A, B. Dua huruf awal dalam abjad Rumi. Tidak lengkap sebutan rumi jika tiada dua huruf ini. Ibarat dua teman yang rapat dan tidak boleh dipisahkan. Sungguhpun berbeza tapi saling melengkapi.
Bukan sesuatu yang dirancang tetapi inilah ketentuan dari Allah Tuhan Yang Maha Esa.
Mengapa dua nama ini kini mewarnai politik tanahair khasnya bumi bertuah Negeri di Bawah Bayu, Sabah Darul Saadah Pasca PRN ke 16 apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya menubuhkan kerajaan baharu?
Tentunya faktor parti-parti dalam GRS termasuk PAS, atas semangat gabungan rakyat mahu sama membina negeri ini ke landasan yang betul.
Masih subur dalam ingatan saya, ketika PRK Parlimen 186 Sandakan pada 27 April 2019 hingga 11 Mei 2019 berikutan kematian penyandangnya Datuk Stephen Wong dari DAP, bagi mengelak pertembungan sesama sendiri parti-parti pembangkang memberi laluan kepada PBS bertanding di PRK ini untuk berdepan dengan DAP.
Atas semangat kesatuan dan perpaduan, PAS dan rakan parti lain sedia tarik ‘hand break‘ untuk memberi laluan kepada PBS dan bergabung tenaga bagi menghadapi PRK ini.
Kebetulan juga, saya yang diamanahkan oleh Pimpinan PAS Sabah bagi mengetuai Jentera Pilihan Raya PAS untuk membantu PBS adalah suatu tanggungjawab berat dan pengalaman baharu bagi saya dan seluruh pimpinan PAS.
Saya kira inilah sejarah baharu bagi PAS dan juga PBS apabila buat julung kalinya dapat bergabung tenaga demi masa depan rakyat dan negara tercinta.
Saya yakin, bukan sahaja PAS malah PBS turut teruja dan tidak menyangka bagaimana dua parti yang berbeza ideologi dan tidak pernah bersua dalam konteks politik negeri ini tiba-tiba sahaja dapat duduk semeja bagi menghadapi PRK Sandakan.
Memang luar biasa! Bagai mimpi di dalam mimpi!
Segala kebimbangan, prejudis, syak wasangka keduanya dibenamkan dengan nilai keikhlasan yang tinggi dalam diri demi keharmonian rakyat.
Maka atas semangat perpaduan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya inilah, PAS mengerahkan jenteranya dari seluruh Sabah termasuk beberapa pimpinan PAS Pusat dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) turut sama beradu tenaga membantu Jentera PBS.
Malah seluruh pimpinan utama PAS Sabah, yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling beserta jentera silih berganti berkampung di bumi Sandakan.
PAS menjadi benteng diatas salah tanggap, tohmahan dan provokasi dalam pelbagai isu yang cuba dimainkan oleh sesetengah pengundi muslim dan bukan Islam kepada PBS dan calonnya.
Saya masih ingat, ketika suatu masa, Datuk Johny Masitun Naib Presiden PBS, menghulurkan ‘sampul’ untuk kegunaan petugas-petugas PAS, namun saya dengan rendah hati menolaknya.
“Terima kasih banyak Datuk, kami datang membantu dengan hati yang ikhlas. Datuk jangan risau soal ini.”
Sehinggalah pada minggu terakhir berkempen, serentak dengan datangnya bulan Ramadan yang mulia, Datuk Johny dan beberapa pimpinan PBS berhasrat untuk bertemu dengan pimpinan PAS dan para petugas dalam majlis berbuka puasa.
Merasai keikhlasan di hatinya, kali ini saya sudah tiada upaya untuk menolak pemberian ‘sampul’ yang dihulurkan olehnya. Katanya ini untuk majlis berbuka bersama nanti.
Saya betul-betul masih ingat, wajah penat dan letih Datuk Johny namun terpancar keceriaan diwajahnya ketika bersama-sama berbuka puasa di Pejabat PAS Sandakan yang turut dihadiri oleh pimpinan PAS dan pimpinan PBS yang lain.
Dalam hati kecil saya, betapa indahnya keharmonian ini, walaupun berbeza ideologi politik namun di hujungnya ada titik persamaan kerana mahu membina negara dan keharmonian rakyat tanpa mengira latar belakng agama, bangsa dan budaya.
PAS yang terasnya adalah Melayu Muslim. Di dalamnya ada ahli bukan Islam. Yang disebut sebagai DHPP. Siapa sahaja yang bukan Islam boleh menyertai PAS melalui Dewan ini. Hak-hak mereka terjamin di bawa PAS.
Bahkan di Sabah Pengerusi DHPPnya adalah berbangsa Dusun, beragama Kristian. Begitulah juga PBS, keanggotaannya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat KDM dan yang beragama kristian sebagai terasnya tetapi terbuka keahliannya juga kepada masyarakat Islam.
Saya mencoretkan sedikit pengalaman ini sebagai muhasabah kepada kita semua. Ia menjadi sejarah luar biasa dari yang biasa.
Kecilkan perbezaan raihkan persamaan. Di sana ada titik temu antara kita demi sebuah keharmonian, kesaksamaan dan pembangunan negeri dan negara tercinta.
SAHAR ABDUL MAJID
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah
merangkap Yang Dipertua PAS Sandakan
#Sumber : Harakahdaily
MR : PAS-PBS, tak seteruk PAS dengan UMNO sebelum ini
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2020/10/pas-pbs-ada-titik-temu-di-hujung-sana.html