Pas Pahang Kecewa Mb Gunakan Permohonan Peruntukan Sebagai Senjata Raih Sokongan Politik
KUANTAN: PAS Pahang mengecam kenyataan Menteri Besar, Dato' Sri Hj Wan Rosdy Wan Ismail yang menggunakan permohonan peruntukan sebagai "senjata" untuk mendapatkan sokongan politik, dalam satu acara di Jerantut semalam.
Bendahari PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Abd Halim menyifatkan tindakan Wan Rosdy itu sebagai salah guna kuasa dan rasuah politik.
"...Menggunakan duit dan agensi kerajaan kemudian kempen rakyat supaya sokong Umno-BN.
"Sebenarnya sesiapa yang memerintah, menjadi tanggungjawabnya untuk mengurus kewangan kerajaan untuk membantu rakyat," katanya kepada Malaysiakini.
Shahril merujuk permohonan yang dibuat Razak Daud, ketua peneroka Felda Jengka 24 di Jerantut, dalam ucapannya pada majlis penyerahan kelulusan skim tanah rakyat dan surat hak milik kepada 1,888 penerima yang disampaikan oleh Wan Rosdy, semalam.
Permohonan itu membabitkan pembinaan jambatan baru, naik taraf tandas masjid, dewan terbuka, penukaran bumbung sekolah agama, padang bola dan penambahbaikan literasi.
Wan Rosdy dalam ucapannya di majlis sama berkata dia akan meluluskan permohonan itu, yang dianggarkan berjumlah RM1 juta, namun meminta penduduk Jerantut kembali menyokong BN.
"Saya boleh bagi, saya boleh lulus semua sekali tapi ada syarat...boleh tak Jerantut kembali menyokong kerajaan BN yang telah membantu kita daripada dulu sampai sekarang.
"Boleh berjanji dengan saya? saya lulus semua benda yang tok empat (Razak) minta tadi," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek.
Mengulas lanjut, Shahril menyifatkan ucapan Wan Rosdy itu menandakan BN masih kecewa atas kekalahan di kerusi Parlimen Jerantut dan tiga kerusi DUN di bawahnya pada PRU lalu.
Tiga kerusi DUN itu adalah Pulau Tawar, Damak dan Tahan.
Katanya, kekalahan 4-0 di Jerantut adalah isyarat jelas bahawa pengundi di sudah 'kenal' siapa sebenarnya UMNO-BN.
"BN secara terang-terang menyalahgunakan kuasa, rasuah politik, guna duit kerajaan, guna agensi kerajaan kemudian kempen rakyat supaya sokong UMNO dan BN yang membentuk kerajaan hari ini dengan DAP," dakwanya lagi. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.pahangdaily.net/2024/01/pas-pahang-kecewa-mb-gunakan-permohonan.html