Pas Dan Umno Politik Dan Empati
Ada satu isu penting dalam hubungan tiga parti Melayu, Umno, PAS, dan PPBM yang memerlukan pengamatan dan muhasabah yang lebih jujur dan mendalam, iaitu hal melibatkan sentimen yang paling asas dalam hubungan Umno dengan PPBM
Dalam hal ini, PAS nampaknya amat kurang berupaya untuk berempati dalam menyikapi perasaan Umno dengan PPBM, yang boleh dikatakan isu paling utama melibatkan kejatuhan kerajaan yang ditunjangi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018
PAS sentiasa sedar dan tegas dengan Parti Amanah, PAN, yang dianggap sebagai pengkhianat kerana berkomplot dan dipergunakan oleh DAP, pendirian yang agak sukar dipertikaikan dan sering kali ditunjukkan sendiri oleh pemimpin-pemimpin PAN melalui sikap selektif mereka
Walau bagaimanapun, PAS mengambil mudah sentimen Umno terhadap PPBM, dan beberapa kali bertindak dengan cara yang menampakkan kecondongannya yang berlebihan pada parti yang memegang jawatan perdana menteri itu, pada masa Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kemudian masa Tan Sri Muhyiddin Yassin
Persepsi mudah yang dipegang ramai pemerhati ialah, PAS berpaut pada pihak yang dilihat paling berkuasa dan mampu memberi pulangan kepada PAS dalam kerjasama politik sekarang dan akan datang
Lebih menguatkan persepsi ini ialah kesediaan pihak PAS untuk mengeluarkan kenyataan untuk menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepada perdana menteri - yang ketujuh dan kelapan - malah secara terbuka menyebelahi PPBM dalam pertembungan dengan Umno
Hal ini berterusan hingga pada satu tahap, PAS kelihatan mengulang-ulang hujah mewarnakan Umno dengan amat negatif, seperti mula lupa diri dan gila kuasa, tanpa melihat dan meneliti perincian setiap satu kes
Dalam hal ini, PAS jelas kelihatan amat sukar melihat dengan empati keadaan yang melanda Umno pada masa ini, dan kesukaran yang dihadapi
Parti Islamis ini kelihatan cenderung memanjangkan dan mengukuhkan stereotaip yang dipegang mengenai Umno, yang sering kali kelihatan seperti sekadar hujah defensif yang berakar daripada kebiasaan berzaman bersaing dalam politik dengan Umno
Ini tidak menafikan beberapa isu melibatkan Umno dan hubungan PAS dengan Umno, termasuk pragmatisme yang berpotensi menjejaskan hubungan pada masa depan, dan ketiadaan kesatuan pemikiran dan tindakan dalam Umno, paling utama melibatkan dua kumpulan besar yang berbeza pendapat tentang cara mengemudi jalan ke arah meraih semula kuasa dalam kerajaan, dan arus liberal yang kuat dalam parti Melayu itu
Rekod yang tidak konsisten dalam perjuangan Melayu dan Islam, korupsi, pragmatisme hingga menggadaikan prinsip - yang ada masanya hanya wujud pada kadar amat minima - dan pelbagai lagi penyakit organisasi besar yang telah kukuh dan menyeluruh kuasa dan peranan politiknya, mudah dijadikan hujah yang Umno tidak dapat diyakini dan bukan rakan politik yang membawa faedah
Walau bagaimanapun, keadaan ini bukan sesuatu yang tetap dan pasti pada Umno, melainkan keadaan yang boleh sahaja melanda mana-mana parti atau organisasi yang memperolehi kuasa dan peranan besar seperti yang dialami oleh Umno
Lebih utama daripada faktor ini, keadaan dan struktur politik negara ini meletakkan Umno pada satu posisi yang penting dan tidak dapat dielakkan melibatkan kuasa dan kepentingan orang Melayu
Hal inilah yang perlu lebih diambil kira oleh PAS, selain pertimbangan segera melibatkan kuasa dan PPBM yang kini berkuasa dalam kerajaan Perikatan Nasional, selepas melompat dari kerajaan Pakatan Harapan
PAS sendiri perlu sedar peranannya sepanjang bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat yang telah menyucikan DAP yang hanya ditolak sepenuhnya parti Islam itu menjelang muktamar dan pemilihan kepimpinan parti pada 2015
Selama bertahun dengan BA dan PR, PAS secara efektif menjadi benteng kepada DAP (dan juga PKR) termasuk dalam isu-isu kritikal melibatkan agama, seperti kritikan pihak lain, terutama Umno, pertubuhan Isma, dan kelompok akademik tempatan berkenaan elemen liberal dalam perjuangan parti-parti komponen PR
Sepanjang tempoh itu, sebarang kritikan Umno melibatkan isu berkaitan liberalisme dalam PR ditolak dengan sinis oleh PAS sendiri, dan di peringkat tertentu dalam parti, wacana mengulas liberalisme ini (termasuk tajuk seperti pluralisme agama) dianggap sebagai wacana bawaan Umno untuk memecahkan PR
Perjuangan PAS dan Umno tetap mengikut formula politik kepartian, dan kuat dipengaruhi kepentingan berkaitan, walaupun diakui idealisme bangsa dan agama ini kekal sebagai bahagian penting perjuangan dua parti ini, walaupun banyak turun naiknya
Kepentingan yang lebih utama, seperti yang dikemukakan sendiri berkali-kali oleh parti-parti Melayu terbesar ini ialah bangsa dan agama, yang merentasi dan sering tidak tertakluk kepada garis pemisah parti
Isu empati ini boleh dikatakan satu isu yang tenggelam dalam perbincangan PAS dengan Umno ini, hingga menyuburkan satu bentuk hubungan yang tegang, dan membuka jalan kepada rasa curiga dan kemungkinan, perpecahan dan keadaan permusuhan yang jauh lebih buruk berbanding sebelum ini
Haris Zalkapli
MR : Adakah UMNO perlukan PAS untuk menyucikan diri?
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2020/10/pas-dan-umno-politik-dan-empati.html