Pantun Melayu Dan Perlambangan Dari Alam
Pantun ialah Puisi Melayu Tradisi (PMT) atau Puisi Warisan yang digemari hingga ke hari ini. Pantun diterima sebagai warisan asli bangsa Melayu berbanding dengan puisi puisi lain seperti Syair, Gurindam, Nazam yang dikatakan berasal daripada kesusasteraan Arab, Parsi dan India.
Pantun bukan hanya terkenal di alam Melayu, malah diiktiraf di dunia sebagai hasil sastera yang tinggi nilainya. Oleh kerana itu masyarakat Melayu sepatutnya memelihara Pantun sebagai pusaka yang berharga.
Di antara sekian banyak puisi warisan, boleh dikatakan Pantun adalah bentuk yang paling popular dan hidup subur pada masa ini. Pantun tersebar luas melalui pelbagai media seperti lirik lagu, majlis perkahwinan, majlis rasmi dan pelbagai acara kemasyarakatan. Sering juga diadakan pertandingan berbalas pantun baik di peringkat sekolah hingga ke peringkat kebangsaan, contohnya, Pesta Pantun Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama pihak swasta. Pantun bukan sahaja disiarkan dalam majalah ilmiah dan budaya seperti Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Pelita Bahasa malah dalam majalah-majalah jenaka dan komik seperti Ujang dan Din Lawak. Pengiklan juga menggunakan pantun untuk melariskan jualan, misalnya pantun di bawah:
Kek lapis dan kuih bahulu,
Menjadi juadah di Hari raya;
Kalau puan-puan ingin tahu,
Semua perkakasan ada di IKEA.
(Utusan Malaysia 13 Oktober 2006 dalam iklan IKEA )
Pantun juga berkembang di internet. melalui beberapa laman web khas. Di samping itu pantun turut disebar luas melalui sms misalnya sempena hari raya atau peristiwa-peristiwa tertentu. Pantun sms ini biasanya bernada jenaka dan bertujuan untuk menyampaikan komen-komen yang nakal. Dari sini kita melihat teknologi moden mengembalikan unsur-unsur sastera rakyat yang tersebar tanpa diketahui pengarang asalnya.
Melihat kepada keadaan ini, kita tidak bimbang tentang survivalpantun. Ia bukan hanya hidup tetapi berkembang mekar. Walau bagaimanapun hal yang membimbangkan ialah tentang penghayatan pantun. Masyarakat mengucapkan pantun tetapi kurang menghayati maksud dan kata-kata yang digunakan menyebabkan nilai, maksud dan falsafah yang tinggi itu tidak dikenali oleh masyarakat.
Setiap Puisi Melayu Tradisi berbeza daripada segi ciri dan fungsi masing-masing. Yang membezakan Pantun dari jenis puisi yang lain ialah adanya Pembayang. Dengan itu pantun mudah dibezakan daripada Syair, Gurindam atau Nazam.
NILAI ESTETIKA PANTUN.
Seperti yang disebut, pantun ialah hasil seni yang tinggi nilainya. Antara ciri estetika pantun ialah:
• Berima abab, tidak hanya rima akhir yang tepat tetapi juga rima tengah dan rima awal.
• Pantun yang indah menggunakan alam sebagai pembayang dan perlambangan.
• Menggunakan perkataan Melayu yang asal /lama
• Menggambarkan budaya tempatan
Perkataan perkataan yang digunakan dalam baris awal pantun (Pembayang) tidak hanya berfungsi untuk menerbitkan rima semata-mata tetapi turut berperanan membangkitkan makna dan suasana. Setiap perkataan yang digunakan dalam pantun seperti juga dalam puisi lain, adalah besar peranannya. Misalnya kita tentu tidak menyebut seseorang makan strawberry,kebab atau keju jika hendak menunjukkan
Pantun menjadi indah dengan gambaran suasana alam tempatan serta imej dan budaya Melayu. Justeru itu seharusnya menggunakan perkataan Melayu yang asli dan asal. Pemantun menggunakan bunga seperti tanjung, melur atau teratai dan tidak bunga turlip misalnya.
Seringkali pantun menggambarkan keadaan alam seperti sungai, laut, gunung, tumbuh tumbuhan dan haiwan (flora dan fauna) Objek alam biasanya berada pada bahagian Pembayang. Namun begitu terdapat objek alam yang digunakan pada bahagian Maksud. Objek alam ini digunakan bagi menggambarkan kehidupan dan perilaku manusia, di samping menyampaikan pemikiran, memberi nasihat dan pedoman hidup. Hal ini biasanya terdapat di dalam pantun yang dikenali sebagai pantun kiasan dan pantun peribahasa. Tulisan ini seterusnya akan membincang penciptaan pantun dan penggunaan unsur alam sebagai perlembangan. Ini akan dibahagikan di bawah beberapa elemen alam yang lumrah didapati iaitu laut dan lautan, gunung ganang, sungai, namun begitu setiap pantun kadang-kadang tidak menggunakan imej saja, Misalnya ada pantun yang
Untuk tulisan ini istilah perlambangan digunakan dengan pengertian yang luas. Perlaembangan dikira telah terjadi bilamana terdapat unsur-unsur seperti di bawah:
· Penggunaan satu perkataan bagi maksud sesuatu yang lain
· Menyamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain
· Membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain
· Mengasosiasi, mengaitkan dan menghubungkan sesuatu dengan yang lain.
ALAM LAUT DAN LAUTAN
Laut, lautan atau samudera merupakan alam yang sering hadir di dalam pantun. Laut meliputi lebih daripada tujuh puluh peratus muka bumi. Laut juga dilihat berada dalam keadaan yang tidak berubah di tempatnya berbanding dengan perubahan dan pembangunan yang berlaku di daratan. Keadaan laut yang masih sama seperti dahulu dijadikan perlambangan untuk memperkatakan tentang keadaan yang teguh dan lebih kekal .
Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun. Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.
V.I.Braginsky telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun. V.I.Braginsky (1994) mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut.
Simbol laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17. Hamzah menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat. Ini terdapat di dalam syair ’Perahu’.
Secara keseluruhannya laut digunakan di dalam pantun untuk menggambarkan perjalanan hidup manusia. Menempuh hidup disamakan dengan mendayung perahu atau melayari bahtera di lautan. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa, suka dan duka, bahagia dan sengsara umpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran. Cabaran dan dugaan yang dilalui digambarkan sebagai ombak, gelombang, badai dan batu karang yang mengganggu perjalanan. Setiap orang perlu berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pelaut mesti berhati-hati di tengah lautan. Kehidupan yang hancur disamakan dengan kapal yang karam.
Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun ini:
Rumah kecil tiang seribu
Rumah besar tiang sbatang
Kecil2 ditimang ibu
sudah besar ditimang gelombang
Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu lagu rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang orang tua menyediakan minda anak2 untuk menempuh alam kedewasaan . Ia menyedarkan bahawa dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibu bapa dan orang lain. Pantun ini jugamengingatkan adalah tanggungjawab ibu menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar sesukupnya kepada anak-anak ketika ia masih kecil. Bila meningkat dewasa anak mesti dilepaskan untuk pergi mencari penghidupannya sendiri. Tibalah waktunya untuk brdikari. Keluar membina kehidupan biasanya melibatkan perjalanan menyeberang lautan . segala susah payah akan dialami baaikan menempuh gelombang di tengah lautan.
Pantun ini terkenal di kalangan masyarakat kerana sering diselitkan di dalam lagu-lagu rakyat dan nyanyian kanak-kanak.
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah masa kecil dan masa sudah membesar. Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support).Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil.Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya..
Seperti kebanyakan pantun, pantun ini menunjukkan keakraban manusia dengan alam. Di sini laut digunakan sebagai lambang perjalanan hidup manusia menempuh kedewasaan. Seorang yang telah dewasa mesti melakukan perjalanan menempuh laut mungkin menyeberang lautan secara harfiah mahupun lautan secara simbolisnya iaitu segala pengalaman yang akan ditempuhi. Manusia akan menempuh pelbagai peristiwa , suka dan duka , bahagia atau sengsara seumpama pelbagai perkara yang ditemui di dalam pelayaran seperti gelombang, badai dan batu karang yang mengganggu perjalanan.
Melalui pantun ini orang tua-tua menyediakan minda generasi muda bagi menempuh alam kedewasaan. Ia menyedarkan bahawa di dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada orang lain. Pantun ini juga menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab seorang ibu untuk menimang atau memberi kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada anak-anak ketika mereka masih kecil. Bila anak telah meningkat dewasa, ibu harus melepaskannya untuk pergi mencari penghidupannya sendiri. Tibalah waktu untuk berdikari. Di sini juga terdapat pesanan agar setiap orang berhati-hati di dalam hidupnya sepertimana seorang pendayung perlu tahu mengawal perahunya atau seorang pelayar perlu berwaspada dan bijak melayari bahteranya.
Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa kedewasaan adalah umpama berada di lautan dan di”timang gelombang”. Ini bermakna laut dan gelombang adalah lambang cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan “Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu ‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk menempuh pelbagai cabaran hidup.
rangkap pantun di bawah juga menggunakan unsur laut.
Kalau mengail di lubuk dangkal
Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
Jangan lautan hendak diduga
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 129)
Pantun ini menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan. Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Terdapat peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”. Objek “kail panjang sejengkal” menandakan suatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan di samping mencabar seseorang menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan, di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.
Pohon beringin daunnya hijau
Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
Biduk ada pengayuh tidak.
(Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 179)
Pantun ini menyatakan bahawa setiap orang mempunyai cita-cita dan impian. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”. Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang mencukupi. Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal dan mental.
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah perlambangan bagi ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh kehidupan. Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang berjaya menjaga kehidupannya dan terpilih untuk menerima rahmat Allah.
Jika dilurut padi masak
Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
Jangan berumah di tepi pantai.
Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak. Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang perlu mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai
Hidup Mesti Berimbang
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas adalah lambang kepada perjalanan manusia. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Kapal akan tenggelam di tengah lautan jika muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan melalui pantun:
Angin barat gelombang barat
Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan sarat
Akibat laut tempat berkubur
Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’. Angin barat sedang bergelombang dan angin timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan yang tidak tenteram dan mencemaskan.
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup tetapi tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.
Ombak adalah lambang cabaran hidup. Kejadian ombak yang sentiasa menghempas pantai dijadikan perlambangan kepada cabaran hidup yang sentiasa menghempas
Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak.
Pantun ini mengandungi nasihat kepada guru supaya bersabar dalam mengajar dan mendidik kerana pekerjaan itu bukanlah mudah. Cubaan dan dugaan akan terus dihadapi seperti ombak yang tidak berhenti-henti menghempas ke pantai.
Biduk adalah alat pengangkutan untuk menyeberang lautan. Oleh itu ia dijadikan perlambangan untuk prasarana bagi mencapai sesuatu yang diidamkan di dalam kehidupan. Untuk berjaya sampai ke destinasi,seseorang memerlukan biduk yang teguh Tidak memiliki biduk yang baik menggambarkan kemiskinan dan kedaifan Pantun di bawah menggambarkan kemiskinan seseorang. Dia dikatakan mempunyai biduk yang tiris dan menanti karam. Dalam keadaan daif itu dia tidak dapat membantu orang lain.
Orang Padang ke Sukabumi
Berangkat dari Pulau Karam
Jangan ditumpang biduk kami
Biduk tiris menanti karam
FALSAFAH KEPIMPINAN.
Pelayaran di laut dijadikan perlambangan bagi menempuh kehidupan. Ombak , gelombang dan badai adalah cabaran yang dilalui. Dalam konteks ini nakhoda kapal menjadi lambang kepada ketua atau pemimpin yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan anak-anak kapal. Sebuah negara memerlukan pemimpin yang jujur dan berkebolehan sebagaimana sebuah pelayaran memerlukan nakhoda yang cekap. Antara pantun Melayu yang memperkatakan tentang ini ialah:
Lancang kuning belayar malam
Haluan menuju ke laut dalam
Kalau nakhoda kurang faham
Alamat kapal akan tenggelam.
Dalam konteks ini sebuah negara akan menjadi kacau bilau jika ditadbir oleh dua orang apatah lagi yang bercanggah pendapat..
SINI.
Duduk berbual di remang senja
Angin taufan bertiup kencang
Kalau kapal dua nakhoda
Alamat karam dipukul gelombang.
UNSUR WAKTU DAN CUACA.
Pucuk pauh berulam pauh
Petang-petang kacau inti
Sayang saya berkasih jauh
Petang-petang hancur hati
Pantun di atas dipetik dari Kumpulan Pantun Melayu (DBP 1984).susunan Zainal Abidin Bakar. Pantun yang dikategorikan sebagai pantun percintaan ini mempunyai maksud dan kisah yang jelas mengenai seseorang yang merindui kekasihnya pada waktu petang. Kisah percintaan, perpisahan dan rindu-rinduan seperti ini memang banyak terdapat di dalam pantun Melayu. Tetapi soalnya mengapa perasaan rindu itu semakin hebat dirasai pada hari petang hingga ke tahap “petang-petang hancur hati”.
Pantun ini memperlihatkan hubungan waktu atau peralihan hari dengan emosi manusia. Mengapakah emosi seseorang terusik pada waktu petang? Ini mungkin akibat dari dua faktor. Pertama, pada waktu petang lazimnya orang akan duduk berehat setelah penat bekerja di sebelah pagi.
Di dalam keadaan sibuk bekerja biasanya kita melupakan hal lain atau sebarang masalah yang mungkin dihadapi. Tetapi apabila tidak membuat apa-apa, pelbagai perkara mula memenuhi ruang fikiran. Di sinilah datangnya kenangan dan rasa rindu kepada orang yang dikasihi.
Kedua pada waktu petang matahari tidak lagi terang benderang. Mata hari yang cerah dianggap sebagai ‘keadaan cuaca yang baik’ dan diasosiasikan dengan suasana ceria. Kecerahan atau keceriaan ini menghilang pada waktu petang. Hari semakin redup dikaitkan dengan kemuraman dan kesedihan. Dalam hubungan yang sama kita melihat bagaimana teknik penataan cahaya digunakan di dalam pementasan teater untuk membina suasana gembira atau sedih. Oleh itu tidak hairanlah jika orang yang berjauhan dengan kekasih merasa amat rindu apabila hari petang.
Pencipta pantun sering menggunakan peralihan hari bagi menggambarkan perasaan selain petang, waktu pagi, tengah hari, senja dan malam juga digunakan bagi membawa pengertian tertentu. Berkait rapat dengan waktu atau peralihan hari ialah keadaan cuaca dan pertukaran musim. Hal ini dapat dilihat di dalam beberapa buah pantun yang dipetik dari buku Kumpulan Pantun Melayu.
Pantun Melayu amat banyak menggunakan unsur alam, contohnya, laut. Selain melambangkan cabaran hidup, laut juga membawa rasa sayu kerana laut yang luas adalah pemisah di antara insan. Laut yang terbentang membawa rasa sayu. Kesayuan ini semakin meningkat apabila hari petang. Ini digambarkan oleh pantun di bawah:
Kalau nak tahu rumpun padi
Lihatlah rumput di permatang
Kalau nak tahu untung kami
Lihatlah laut petang-petang
Seperti yang disebut di atas, selain faktor waktu, faktor ‘cuaca’ juga mempengaruhi emosi. Ini termasuklah cuaca terang, panas terik, redup, mendung, berawan, hujan, ribut dan sebagainya.
HUJAN
Fenomena cuaca yang sering digambarkan di dalam pantun ialah hujan. Hujan menjadi perlambangan yang amat ketara di dalam puisi Melayu baik puisi tradisi atau puisi moden.
Perkara ini terjadi kerana hujan menyekat perjalanan atau aktiviti manusia lalu di dalam hujan terpaksa menghentikan aktiviti dan mengurung diri di dalam rumah. Sekali lagi, di dalam keadaan tidak bekerja mula mengenang sesuatu yang mungkin dapat dilupakan semasa bekerja. Keadaan semakin samar dan kabur dan dikaitkan dengan rasa tidak menentu. Hujan yang menitis juga menyerupai air mata yang mengalir. Lalu terciptalah pantun di bawah ini:
Dari ladang pergi ke gurun
Buluh duri melingkar kota
Hari petang hujan pun turun
Dagang berurai air mata
Pantun-pantun di atas mengungkap gangguan emosi yang sering berlaku pada waktu petang. Gangguan ini menjadi lebih hebat pada waktu malam ketika suasana lebih senyap dan sunyi. Hal ini dapat dilihat di dalam dua pantun berikut:
Riuh rendah di tepi telok
Lihat orang duduk bertenun
Tengah malam ayam berkokok
Serasa tuan datang membangun
Terang bulan di Pulau Pinang
Anak Belanda turun ke kapal
Tengah malam bangkit terkenang
Air mata turun ke bantal.
Matahari yang cerah dikaitkan dengan suasana yang ceria. Kehilangan matahari membawa suasana muram. Awan dan mendung juga mempengaruhi perasaan dan digunakan oleh pencipta pantun bagi membina suasana sedih dan sayu. Ini terlihat di dalam pantun di bawah:
Singkorak kotanya tinggi
Buah pauh dari seberang
Awan berarak tangisi
Badan jauh di rantau orang
Suasana cerah melambangkan kebahagiaan manakala mendung dan hujan dikaitkan dengan sesuatu yang menyedihkan. Dengan keadaan ini seseorang yang cuba menyembunyikan perasaan sedihnya di sebalik senyuman digambarkan sebagai ‘panas yang mengandung hujan’. Keadaan ini dijelaskan oleh pantun:
Meninjau berpadi masak
Batang kapas bertimpal jalan
Hati risau dibawa gelak
Bagai panas mengandung hujan
Seperti yang disebut di atas, di dalam pantun Melayu, sinar matahari melambangkan keceriaan dan kebahagiaan. Sinar matahari juga dikaitkan dengan sesuatu yang membawa harapan di dalam hidup seseorang. Oleh itu kebahagiaan yang tidak kekal lama dianggap sebagai ‘hujan di tengah hari’. Hujan yang turun diumpamakan sesuatu yang datang untuk menggangu kebahagiaan seseorang. Inilah yang dimaksudkan oleh pantun di bawah:
Panjanglah rumput di permatang
Disabit orang Inderagiri
Disangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari.
Walau bagaimanapun hujan di dalam pantun bukanlah semestinya menjadi perlambangan kepada keadaan yang tidak menyenangkan, seperti gangguan kepada kebahagiaan. Hujan juga digunakan bagi membawa pengertian rahmat dan rezeki sesuai dengan sifatnya sebagai sumber air untuk meneruskan kehidupan manusia. Hujan menyuburkan tanaman lalu ia menjadi perlambangan sesuatu yang membawa harapan baru atau membawa sinar kebahagian.
Sehubungan dengan itu seseorang yang sedang menunggu dan mengharapkan kebahagiaan diumpamakan sebagai sedang menunggu hujan turun. Apabila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan, maka keadaan itu diibaratkan sebagai “hujan tak jadi”.
Di dalam peribahasa Melayu, ungkapan “hujan tak jadi” membawa pengertian impian yang tidak kesampaian khasnya pertunangan yang putus di tengah jalan dan perkahwinan tidak berlangsung seperti yang diheboh-hebohkan. Situasi ini tergambar di dalam pantun di bawah. Pantun ini dinyanyikan di dalam sebuah lagu yang dipetik dari filem keluaran Cathay Keris,Puteri Gunung Ledang, arahan S.Romai Noor.
Pergi ke hutan memotong nibung
Parangnya tumpul tidak diasah
Petir berdentum kilat bersabung
Hujan tak jadi bajuku basah
Oleh kerana itu orang tua sering menasihatkan supaya jangan terlalu yakin dan terlalu mengharapkan sesuatu. Sikap terlalu mengharap atau terlalu yakin dianggap sebagai mengharapkan hujan di langit. Lebih buruk lagi jika kita membuang sesuatu yang kita telah miliki kerana mengharapkan sesuatu yang belum tentu. Ini digambarkan di dalam pantun:
Harapkan si untung menggamit
Kain di badan didedahkan
Harapkan guruh di langit
Air tempayan dicurahkan
Tumbuh-Tumbuhan Dalam Pantun
Selain laut, objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di dalam pantun sebagai perlambangan.Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok, misalnya lalang, padi, langsat, senduduk, yang menyampaikan makna pantun mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang berkaitan.
Terdapat pantun yang memperkatakan tentang benih dan percambahan benih menjadi pokok yang baru. Kejadian ini mengandungi makna tersirat, iaitu permulaan sesuatu kejadian. Di dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.
Terbitlah fajar menjelang subuh
Murai berkicau terang cuaca
Kalau tanaman sudi tumbuh
Masakan bumi tidak terima.
Pantun di atas terdapat di dalam senikata lagu Serampang Lapan, rakaman tahun 50han, nyanyian Abdullah Chik dan Nona Asiah. Di sini percambahan benih dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas. Kegembiraan dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang iaitu fajar yang terbit dan hari baru menjelang. Ini diikuti dengan murai berkicau yang membawa kesan bunyi yang riang. Cuaca terang menandakan satu harapan baharu. Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud iaitu jika orang sudi menanam kasih sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih sayang .
Penggunaan simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthalatau misal perbandingan bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah terhadap hambaNya, seperti yang terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Pemikir-pemikir Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).
Menjaga Nama Baik
Benih yang baik menjadi simbol sesuatu yang berasal dari sumber yang baik khasnya bagi menyatakan bahawa anak-anak yang lahir daripada keluarga yang baik-baik dan mendapat didikan yang baik akan lebih selamat walau di mana mereka berada. Hal ini menjadi maksud pantun di bawah:
Buat bangsal di Pulau Daik
Menahan taut sambil mengilau
Kalau asal benih yang baik
Jatuh ke laut menjadi pulau.
Sebatang pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia tumbuh membesar dan seterusnya menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang ke bumi. Daun-daun akan gugur bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada tiupan melambangkan kehidupan manusia yang juga terdedah kepada segala kemungkinan. Sebuah pantun yang menggunakan lambang daun atau pelepah yang gugur ialah:
Orang Jawa menanam kapas
Orang Eropah menanam anggur
Jangan ketawa pelepah di atas
Melihat pelepah bawah yang gugur
(Zainal Abidin Bakar,1984:181)NASIHAT
Pelepah kelapa yang jatuh adalah kejadian yang memandu kita menyedari hakikat bahawa segala yang berada di alam fana adalah bersifat sementara. Pelepah kelapa yang mudah digugurkan itu adalah representasi manusia sebagai makhluk Allah yang lemah, manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa amaran adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat bahawa mereka berada di bawah kuasa Allah SWT.
Oleh yang demikian setiap manusia mestilah berhati-hati dan tidak merasa sombong atau riak dengan kekayaan dan kesenangan yang dikurniakan oleh Allah. Pangkat yang tinggi diumpamakan sebagai pelepah yang berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan berlaku kejatuhan seperti gugurnya pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan nikmat yang dirasai tidaklah terjamin buat selama-lamanya.
Selain benih dan daun, terdapat juga perlambangan dari dahan dan ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh. Justeru itu manusia mencari dahan untuk berteduh atau menjamin keselamatan diri. Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan sesuatu yang dihajati, oleh itu disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dengan sistematis. Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting terlebih dahulu.
Anak rusa lari ke pekan
Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap dahan
Menangkap ranting cuba dahulu
(pantun senikata lagu Serampang Lapan)
Pantun ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak rusa yang secara tabii berada di hutan telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu telah berlaku tragedi iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian boleh diambil iktibar dan dijadikan pengajaran.
BUNGA
Terdapat banyak pantun Melayu yang menggunakan bunga sebagai perbandingan terhadap kehidupan dan perlakuan manusia. Sebagai contoh, pekerjaan yang tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh, atau ilmu yang dangkal, tidak akan mendatangkah hasil yang memuaskan. Keadaan ini diumpamakan sebagai “bunga kembang tak jadi.” Pandangan dan pemikiran ini terdapat dalam sebuah pantun:
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagaikan bunga kembang tak jadi. PERIBAHASA
Pantun di atas menyentuh peri pentingnya menuntut ilmu. Hendaklah menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang mengatakan bahawa menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan wanita. Pantun lain yang memperkatakan tentang ilmu ialah:
Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah
(Zainal Abidin Bakar, 1984:160)
Pantun ini memberi penekanan kepada kemuliaan ilmu dan kepentingan untuk berusaha bagi mendapatkan, mengamal dan menyebarkannya. Hal ini merupakan satu aspek dakwah kerana selaras dengan ajaran Islam yang memuliakan ilmu. Ilmu merupakan asas untuk menentukan darjat seseorang. Islam mengakui adanya perbezaan di antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Allah berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat” (Surah Al-Mujadalah, ayat 58). Melalui Surah al-Alaq, Allah menegaskan bahawa Allah mengajar manusia dengan tinta (dakwat) dan pena. Islam menyatakan dengan jelas bahawa, “menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas umat Islam baik lelaki ataupun wanita” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Orang-orang yang menyebar ilmu adalah dimuliakan, malah diberi jaminan bahawa, “setelah mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan doa dari anak yang soleh, sedekah jariah yang pernah dikeluarkan, dan ilmu yang disebar dan dimanfaatkan” (Ehsanul Karim, 2006:139).
KESIMPULAN:
Kesusasteraan Melayu telah menjalankan peranan untuk mendidik masyarakat khasnya melalui Pantun Nasihat. Pantun Nasihat menyalurkan pedoman untuk menjalani kehidupan agar selamat di dunia dan di akhirat. Pantun Nasihat mengandungi pemikiran dan falsafah yang mencerminkan pandangan dan pegangan hidup orang Melayu. Segala nasihat disampaikan menerusi bahasa yang diperindah dengan penggunaan kias ibarat dan perlambangan yang diambil dari unsur-unsur alam. Semua ini membuktikan bahawa orang-orang Melayu adalah pemerhati alam yang tekun. Imej laut lebih banyak digunakan untuk pantun-pantun yang berisi falsafah dan pemikiran manakala objek alam yang berupa tumbuh-tumbuhan lebih banyak digunakan untuk menyatakan perihal kasih sayang di antara manusia dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambaNya.
Rujukan:
Abdul Qadir al Jailani(terj. Qodirun Nur), 2004.(cetakan ketujuh), Al-Fath ar- Rabbani Kuala Lumpur: Thinkers Library
Hashim Awang, 2002. “Teori Pengkaedahan Melayu dan Prinsip Penerapannya”. Kertaskerja Bengkel Kajian Teori Sastera Melayu anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 28- 29 Jun di Riviera Bay Resort, Melaka
Muhammad Haji Salleh Puitika Sastera Melayu, 2000, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sheikh Abdullah Basmeih, 1980. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran, Kuala Lumpur: Darulfikir
Zainal Abidin Bakar, 1984, Kumpulan Pantun Melayu Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
.
Zurinah Hassan, Unsur Alam dalam Puisi Melayu , 2010 . Penerbit UKM.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://zurinahhassan.blogspot.com/2021/04/pantun-melayu-dan-perlambangan-dari-alam.html