Panduan Solat Dalam Kenderaan Darat
Bagaimanakah cara solat dalam kenderaan darat seperti kereta api?
Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat dalam kenderaan darat secara lengkap, mudah, dan boleh difahami oleh semua orang.
Apa yang istimewa:
Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai.
Isi Kandungan:
Pengenalan
Kaedah berwuduk
Penentuan kiblat
Pergerakan kenderaan
Kaedah solat dalam kenderaan darat
Rujukan
Pengenalan
Kaedah ini sesuai untuk orang yang menaiki kenderaan seperti bas dan kereta api.
Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika solat dilakukan di atas tanah atau di tempat solat yang disediakan seperti di stesen atau perhentian RnR.
Sekiranya tidak dapat dilakukan kerana kesuntukan masa dan risau ditinggalkan kenderaan tersebut, maka solat boleh dilaksanakan semasa kenderaan bergerak.
Kaedah Berwuduk Di Dalam Kenderaan Darat
Di dalam kenderaan, air mutlak adalah sangat terhad atau tiada sama sekali.
Maka boleh berwuduk dengan bekalan air yang sedikit atau secara tayamum.
Satu perkara yang biasa dilihat di dalam kereta api adalah penumpang mengambil wuduk dengan air singki di dalam tandas kereta api.
Saya tidak mengesyorkan anda mengambil air tersebut kerana tandas kereta api adalah sangat sempit dan kotor.
Kemungkinan besar, anggota badan dan pakaian penumpang akan dikotori najis yang tidak kelihatan ketika dia mengambil wuduk.
Dalam situasi ini, dibolehkan untuk berwuduk dengan air mineral, bertayamum atau solat menghormati waktu (tanpa wuduk).
Penentuan Arah Kiblat Di Dalam Kenderaan Darat
Memandangkan arah kiblat sukar ditentukan kerana pergerakan kenderaan, penumpang hendaklah menentukan arah kiblat dan yakin dengan arah tersebut.
Dia hendaklah sekurang-kurangnya mengadap ke arah kiblat ketika takbiratul ihram.
Sekiranya usaha telah dilakukan dan masih tidak menemui arah kiblat sama ada ketika berada di dalam kenderaan seperti kapal terbang dan kereta api, maka dalam situasi ini perlu dianggarkan arah kiblat yang tepat.
Hal ini merujuk kepada maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam ash-Syaukani di dalam kitab Nail al-Authar.
Daripada Jabir bin Abdullah RA yang bermaksud:
Kami pernah solat pada satu malam yang mendung dan tidak mengetahui arah kiblat. Apabila kami solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah lalu Baginda bersabda, ‘Kamu telah melakukan yang terbaik’. Seterusnya Jabir berkata, ‘Dan Baginda tidak menyuruh kami mengulanginya’.”
— Riwayat Imam al-Baihaqi
Pergerakan Kenderaan
Solat di dalam kenderaan hendaklah dilakukan dalam keadaan yang selamat di mana tali pinggang hendaklah dipasangkan.
Penumpang lebih baik bersolat secara duduk kerana kenderaan bergerak menyebabkan keseimbangan terjejas dan dikhuatiri menimbulkan kemudaratan sekiranya kenderaan berhenti secara mengejut.
Kaedah Solat Dalam Kenderaan Darat
Berdiri dengan betul sekiranya berupaya dan ada tempat solat yang sesuai.
Jika tidak berupaya kerana uzur atau tiada ruang solat, laksanakan dengan duduk seperti duduk tahiyat awal atau duduk tahiyat akhir.
Jika tidak mampu juga, hendaklah duduk dengan apa cara duduk sekalipun seperti duduk di kusyen tempat duduk penumpang.
Ketika berniat dan takbiratul ihram, hendaklah mengadap ke arah kiblat.
Selepas itu, teruskan solat dalam keadaan berdiri atau duduk yang dapat dilakukan dalam kenderaan itu.
Jika tidak boleh, seperti dalam keadaan wajib memakai tali pinggang keselamatan, maka berniat dan bertakbirlah mengikut arah mana seseorang itu sedang duduk.
Dalam keadaan duduk, rukuk dilakukan dengan menurunkan anggota mulai kepala hingga pinggang, separuh daripada keadaan sujud. Sementara dua tapak tangan di atas bahagian lutut.
Sujud dilakukan seperti biasa jika boleh. Jika sujud tidak dapat dilakukan seperti biasa kerana tidak boleh bergerak daripada tempat duduk atau tiada ruang yang membolehkan sujud, maka turunkan anggota kepala hingga ke pinggang ke arah lantai di paras semaksima yang boleh, sementara dua tapak tangan diletakkan di mana-mana tempat yang boleh, sementara dua tapak tangan diletakkan di mana-mana tempat yang boleh.
Dalam keadaan kepala tidak dapat digerakkan, maka untuk rukuk, pejamkan mata pada kadar separuh pejam dan untuk sujud, pejamkan mata sepenuhnya.
Duduk tahiyat sama ada awal atau akhir, hendaklah duduk dengan apa cara yang boleh. Maknanya, solat wajib dikerjakan.
Rujukan & Penutup
Bersolatlah walau dimana sahaja.
Hatta dibelakang unta sekalipun.
Solat menjadi penghubung secara langsung antara manusia dengan Allah SWT.
Tidak ada ibadah lain yang lebih utama daripada solat dalam menghubungkan hamba dengan Tuhannya.
Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya
– Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah
Sumber rujukan saya untuk panduan ini adalah buku praktik solat waktu kritikal, yang ditulis Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.
Semoga dapat memberi manfaat kepada semua.
InsyaAllah.
The post Panduan Solat Dalam Kenderaan Darat (Kereta Api & Bas) appeared first on AKU ISLAM.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuislam.com/blog/ibadah/solat-dalam-kenderaan-darat/