Panduan Menaiki Sleeper Bus Hanoi Ke Sapa
Panduan Menaiki “Sleeper Bus” Hanoi ke Sapa
Hanoi dan Sapa adalah antara destinasi popular di Vietnam. Biasanya, pengunjung akan pergi ke Hanoi terlebih dahulu kemudian meneruskan penerokaan ke Sapa untuk menikmati keindahan alam semula jadi Vietnam Utara.
Perjalanan dari Hanoi ke Sapa boleh dilakukan dengan menaiki keretapi atau bas yang lebih dikenali sebagai sleeper bus.
Jika anda berminat untuk mencuba perjalanan ke Sapa dari Hanoi dengan menaiki sleeper bus, ini panduan untuk anda.
BACA JUGA: 15 Tempat Menarik di Hanoi & Cadangan Aktiviti Menarik
Kenapa Pilih Naik “Sleeper Bus” dari Hanoi ke Sapa?
1. Keselesaan yang optimum
Sleeper bus menawarkan keselesaan yang diperlukan untuk perjalanan jarak jauh. Anda akan dapat berehat dengan selesa sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 5 hingga 6 jam.
Bas ini juga biasanya dilengkapi dengan katil yang selesa membolehkan anda berbaring sepenuhnya dan tidur dengan nyenyak lagi lagi apabila anda menempah sleeper bas yang premium.
Sumber: Agoda
Dimensi kabin yang luas, biasanya sekitar 180 cm x 110 cm, memberikan ruang yang mencukupi untuk penumpang bergerak.
Selain itu, sleeper bus juga biasanya turut dilengkapi dengan kemudahan moden seperti penghawa dingin, selimut, bantal, tempat mengecas, tandas, dan sebagainya menjadikan perjalanan anda seumpama berada di hotel bergerak.
2. Jimat masa dan wang
Perjalanan bas dari Hanoi ke Sapa biasanya bermula pada waktu malam, sekitar jam 10 malam, dan tiba di Sapa awal pagi, kira-kira jam 4 pagi.
Ini membolehkan anda memanfaatkan masa siang untuk aktiviti lain di Hanoi sebelum bertolak dan pada masa yang sama, anda boleh tiba di Sapa tepat pada waktunya untuk menikmati pemandangan matahari terbit yang menakjubkan.
Dari segi kos pula, sleeper bus merupakan pilihan yang sangat berbaloi. Dengan harga sekitar 250,000 VND (kira-kira RM50) untuk bas tidur premium, ia merupakan pilihan yang lebih ekonomik berbanding mod pengangkutan lain seperti kereta api atau penerbangan, yang pastinya tidak mengorbankan keselesaan anda.
3. Pengalaman perjalanan yang unik
Menaiki bas adalah merupakan sebahagian daripada pengalaman percutian yang unik. Anda akan dapat menikmati pemandangan indah Vietnam Utara sepanjang perjalanan, terutamanya apabila bas melalui jalan berbukit yang berliku menuju Sapa.
Beberapa syarikat bas juga menyediakan perkhidmatan tambahan untuk menjadikan perjalanan anda lebih menyeronokkan seperti Wi-Fi percuma, skrin LCD peribadi, dan sistem hiburan dalam bas.
4. Fleksibiliti dan kemudahan
Syarikat-syarikat bas menawarkan pelbagai pilihan untuk memenuhi keperluan pelancong yang berbeza. Anda boleh memilih antara katil bujang, kabin pasangan, atau katil pasangan bergantung pada keutamaan anda.
Sumber: Go Explore Vietnam
Selain itu, kebanyakan syarikat bas menawarkan pelbagai titik penjemputan di Hanoi, termasuk kawasan Old Quarter dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai. Di Sapa pula, bas biasanya berhenti di pusat bandar atau menawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke penginapan.
5. Keselamatan
Dari segi keselamatan, kebanyakan syarikat-syarikat bas mempunyai rekod keselamatan yang baik dan dikendalikan oleh pemandu yang berpengalaman dan profesional.
Tambahan pula, jadual perlepasan yang tetap dan perkhidmatan yang boleh dipercayai membolehkan anda merancang perjalanan anda dengan lebih baik.
Perjalanan Menaiki Sleeper Bas Hanoi ke Sapa
Perjalanan sleeper bus Hanoi ke Sapa biasanya bermula di beberapa lokasi utama di Hanoi, termasuk kawasan Old Quarter dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai. Perjalanan ke Sapa dari Hanoi akan mengambil masa sekitar 5 hingga 6 jam, merentasi jarak kira-kira 376 kilometer.
Bas akan melalui lebuh raya CT05 yang lurus sehingga ke Lao Cai, sebelum meneruskan perjalanan melalui jalan berbukit yang berliku-liku menuju Sapa.
Di Sapa, bas biasanya berhenti di stesen bas utama atau di pusat bandar. Ini akan memudahkan anda untuk mengakses hotel atau penginapan yang sudah ditempah. Beberapa syarikat bas juga menawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke penginapan. Anda boleh bincang terus dengan pihak bas.
Sumbe: VinWonders
Antara pilihan sleeper bas yang popular ialah Interbus Line, G8 Sapa Open Tour, King Express, Sao Viet, Chapa Express dan sebagainya.
Anda boleh membeli tiket sleeper bus melalui platform online seperti KLOOK. Taip, sleeper bus hanoi to sapa di dalam kotak carian di bawah dan klik Search.
Klook.com
Apa yang Menarik Di Sapa?
Sapa merupakan destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti dan tempat menarik untuk diterokai. Berikut adalah beberapa perkara menarik yang boleh anda lakukan di Sapa:
1. Naik Kereta Gantung ke Gunung Fansipan
Gunung Fansipan, yang dikenali sebagai “Atap Indochina” adalah puncak tertinggi di Vietnam dengan ketinggian 3,143 meter.
Sumber: Google Review
Salah satu cara paling mudah untuk mencapai puncaknya adalah dengan menaiki kereta gantung. Perjalanan ini akan mengambil masa hanya sekitar 15 minit dan menawarkan pemandangan yang memang menakjubkan!
Di puncak, anda dapat menikmati keindahan alam yang luar biasa serta melihat patung Buddha besar setinggi 21 meter.
2. Menikmati Keindahan Air Terjun Love dan Silver
Air terjun Love terletak sekitar 14 km dari pusat Sapa dan mempunyai ketinggian 100 meter. Di sini, anda boleh meluangkan masa untuk berenang bagi menyegarkan diri terutamanya pada hari yang panas.
Sumber: Pelago
Sementara itu, Air Terjun Silver, yang lebih dekat dengan jalan utama, juga menawarkan keindahan alam yang serupa dan merupakan lokasi yang popular untuk fotografi.
3. Bersantai di Danau Sapa
Danau Sapa adalah tempat yang ideal untuk bersantai sambil menikmati pemandangan indah. Di sekitar danau terdapat kafe dan restoran di mana anda boleh mencuba hidangan tempatan sambil menikmati suasana tenang.
Sumber: iStock
Pada waktu malam, lampu-lampu bandar akan memantulkan keindahan di permukaan air danau, menciptakan suasana romantik.
4. Mengunjungi Desa Cat Cat
Desa Cat Cat adalah salah satu destinasi terbaik untuk merasai kehidupan masyarakat tempatan, khususnya suku H’mong. Di sini, anda dapat melihat tradisi mereka dalam menenun dan membuat kraf dengan tangan.
Sumber: Google Review
Anda juga boleh menyewa kostum tradisional untuk mengambil gambar sambil menjelajahi desa ini. Sekiranya berpeluang, anda boleh menginap di homestay untuk mendapatkan pengalaman unik untuk berinteraksi dengan penduduk setempat..
5. Pasar Bac Ha
Sumber: iStock
Pasar Bac Ha adalah pasar mingguan yang berlangsung setiap hari Ahad, di mana pelbagai suku etnik berkumpul untuk menjual produk mereka. Anda akan menemui pakaian tradisional berwarna-warni serta pelbagai cenderamata unik yang boleh dibeli sebagai ole-ole.
6. Lembah Muong Hoa
Sumber: Google Review
Lembah ini dipenuhi teres padi yang hijau subur, perkampungan etnik minoriti seperti Hmong dan Dao, serta sungai yang mengalir tenang. Anda boleh mengikuti lawatan berpandu untuk menerokai budaya tempatan sambil menikmati keindahan alam.
Penutup
Perjalanan menaiki sleeper bas dari Hanoi ke Sapa adalah pengalaman yang menarik dan inshaAllah berbaloi untuk dicuba terutamanya bagi mereka yang ingin mengembara dengan selesa sambil menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan.
Dengan pelbagai pilihan syarikat dan perkhidmatan bas, perjalanan ini pasti akan menjadi kenangan manis untuk anda. Pastikan anda menempah tiket lebih awal, terutamanya semasa musim cuti untuk mengelakkan kesulitan.
Selamat mengembara!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/sleeper-bus-dari-hanoi-ke-sapa/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=sleeper-bus-dari-hanoi-ke-sapa