Pakar Ekonomi Benarkah Wawasan Kemakmuran Bersama Untuk Semua
Zikri Kamarulzaman
Putrajaya hari ini memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Wawasan 2030 (WKB2030), yang menyasarkan untuk memastikan pertumbuhan yang saksama merentasi garis etnik pada masa sama mengutamakan bumiputera.
Bagaimanapun pakar ekonomi Terence Gomez membangkitkan beberapa persoalan mengenai dasar tersebut, berdasarkan laporan ringkasan yang dibacanya.
Bercakap kepada Malaysiakini, persoalan pertama dibangkitkan Gomez adalah seberapa inklusif perbincangan yang diadakan sebelum pelan dasar itu dirangka Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
"Adakah ia (rundingan itu) termasuk rundingan dengan orang-orang dari sektor swasta?
"Adakah mereka (kerajaan) juga berunding di peringkat antara kementerian? Adakah kementerian Kewangan atau Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa terlibat dalam perbincangan ini?" soalnya.
Gomez juga bertanya sama ada semua komponen Pakatan Harapan terlibat dalam perbincangan untuk merumuskan laporan dasar utama yang pertama.
Antara yang hadir berucap pada pelancaran WKB2030 hari ini ialah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dari Bersatu, serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dari PKR.
Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu turut hadir, selain Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR.
Sementara itu, Gomez juga mempersoalkan mengapa WKB2030, tidak menangani kegagalan Dasar Ekonomi Baru, terutamanya dalam meningkatkan ekonomi bumiputera.
"Terdapat banyak penekanan terhadap bagaimana (ekonomi) kaum bumiputera tidak baik ... tapi kenapa DEB tidak memenuhi matlamatnya selepas begitu banyak penekanan?
"Mereka mengatakan ia disebabkan oleh rasuah, tetapi saya ingin membangkitkan isu sokongan di bawah DEB ... Mengapa dasar ini gagal walaupun sokongan dibuat secara selektif?" katanya.
Gomez berkata walaupun penekanan diberikan kepada bumiputera dalam WKB2030, bukan bumiputera juga menurutnya tidak banyak berubah sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata pemilikan ekuiti bukan bumiputera meningkat dari tahun 1970-an hingga akhir tahun 1990-an, namun kini telah kembali ke tahap yang sama seperti tahun 1970-an.
"Bukan bumiputera pun jauh tertinggal di belakang," katanya.
Satu lagi persoalan dibangkitkan Gomez adalah kenapa kerajaan, melalui Khazanah, melupuskan asetnya kepada pemilikan asing, sedangkan penekanan WKB2030 terhadap peningkatan ekuiti tempatan.
Beliau memetik penjualan 16 peratus saham Khazanah dalam IHH Healthcare kepada Mitsui Co & Ltd Jepun tahun lepas, dan juga perbincangan sebelum ini untuk menggabungkan Axiata dengan Digi, yang dimiliki oleh Telenor Group Norway.
"Mengapa pentadbiran menjual ekuiti milik awam kepada orang asing?" katanya.
Terdahulu, menurut Azmin, sehingga 2015, ekuiti asing berada pada 45.3 peratus, bumiputera (16.2 peratus) dan bukan bumpitera (30.7 peratus).
Akhir sekali, Gomez bertanya sama ada angka yang disebut dalam WKB2030 hanya merujuk kepada pemilikan ekuiti persendirian.
"Bagaimana pula dengan ekuiti yang dimiliki oleh kerajaan melalui GLC? Bolehkah mereka menyatakan sama ada ini juga disenaraikan sebagai sebahagian daripada angka pemilikan ekuiti?" soalnya.
Gomez berkata sebagai dasar yang bertujuan untuk kemakmuran bersama semua kumpulan etnik, banyak yang akan dibincangkan mengenai WKB2030 dan sama ada ia benar untuk semua rakyat Malaysia, dan bagaimana untuk membetulkan isu-isu penting.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/pakar-ekonomi-benarkah-wawasan.html