Pada Badrul Afzan Hadir Susuk Berbeza Mahu Gemilangkan Skuad Hitam Putih
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
RAMAI yang sudah terbiasa dengan kelibat seorang jurulatih berwajah ketat di kawasan teknikal di tepi padang setiap kali Terengganu FC (TFC) turun beraksi. Kini mereka beransur-ansur biasa dengan perwatakan berbeza daripada seorang yang melakukan sujud syukur setiap kali pasukan mengutip mata di penghujung perlawanan.
Di antara Tomislav Steinbruckner atau Tomi dan Badrul Afzan Razali, bahasa tubuh mereka ketara tidak sama – seorang dilihat perengus dalam menyatakan rasa tidak puas hatinya sambil seorang lagi nampak lebih sabar dengan tumpuan menaikkan semangat pemain-pemain sekalipun aksi mereka di tengah padang tidak memenuhi apa yang diharapkannya.
Tomi yang diberi tanggungjawab ketua jurulatih pada 1 Disember 2022, terlerai ikatannya dengan Sang Penyu pada 1 Oktober lalu hasil persetujuan bersama yang dicapai dengan majikannya.
BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC
BACA LAGI: Mutu pengadilan disebut punca Perak berputih mata di Temerloh, kempunan muncul semifinalis Piala Malaysia
Prestasi pasukan yang terumbang-ambing dalam liga dan Piala Shopee – mereka tewas 2-3 di tangan kelab Kemboja, Svay Rieng FC (21 Ogos) dan seri 2-2 dengan kelab Vietnam, Thanh Hoa FC (25 September) untuk menduduki tangga kelima dalam kumpulannya – dikatakan antara punca penggantian jurulatih dilakukan.
Tiga perlawanan terakhir dalam aksi domestik ketika itu – tewas 1-4 kepada Selangor FC (3 Ogos – A) dalam Piala FA, dituruti seri 1-1 dengan Sabah FC (15 September – A) dan tewas 0-1 kepada Selangor FC (28 September – H) dalam liga – mendorong pihak pengurusan menerima cadangan penyokong yang mahu menyaksikan jurulatih dari Croatia itu meninggalkan pasukan.
Pengumuman bahawa Badrul Afzan dilantik ketua jurulatin interim bermula 2 Oktober lalu pada awalnya tidak memberikan Terengganu FC kebangkitan serta-merta hingga timbul komen nakal di media sosial supaya Tomi diberi tanggungjawabnya semula.
Memimpin pasukan buat kali pertama, jurulatih berusia 48 tahun kelahiran Kuala Kemaman itu menyaksikan kesebelasan pilihannya seri 1-1 dengan PDRM FC di hadapan penyokong sendiri pada 4 Oktober.
Tewas 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 19 Oktober, skuad Hitam Putih itu memerlukan sepakan penalti Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim pada saat-saat terakhir perlawanan berkesudahan seri 2-2 dengan Perak FC untuk mampu membawa pulang satu mata dari Stadium Manjung.
Aksi Liga Super menentang Perak FC menyaksikan TFC memperolehi keputusan seri 2-2 pada 26 Oktober lepas. — Facebook/TFC
Genap sebulan selepas memegang teraju barulah Badrul Afzan dapat mengecap kemenangan pertama di bawah kendaliannya apabila jaringan pemain muda berusia 21 tahun, Ubaidullah Shamsul Fazili, menyumbang kepada keputusan 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 1 November.
“Memang ada rasa tekanan ke atas diri sendiri selepas empat perlawanan pertama saya jadi ketua jurulatih interim. Hampir-hampir nak menang tapi tak menang-menang,” kata Badrul Afzan, yang menerapkan formasi 4-3-3 dengan penekanan menyerang, kepada Bola Pegun.
Namun, kemenangan pertama itu juga menjadi titik peralihan kepadanya apabila Terengganu FC meraih empat lagi kemenangan termasuk di peringkat pusingan 16 dan suku akhir Piala Malaysia untuk jurulatih itu meraih rekod M5 S3 K1 sepanjang sembilan perlawanan di bawah kendaliannya.
“Nak kata puas hati belum lagilah. Kena tunggu kalau dapat top 4 atau top 5 penghujung musim nanti. Tapi Alhamdulillah penerimaan penyokong (terhadap kejurulatihannya) baik-baik saja. Memang ada komen negatif tapi itu biasa, tak boleh nak puaskan hati semua orang.
“Tetapi kami perlu terus menangi hati mereka,” tambah Badrul Afzan, yang akan berhadapan perlawanan terbesarnya apabila turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir Piala Malaysia pada 17 Januari dan 1 Februari diselangi satu aksi liga dengan barisan Harimau Selatan itu pada 25 Januari di Kuala Terengganu.
Badrul Afzan dilantik ketua jurulatin interim bermula 2 Oktober lalu. — Facebook/TFC
Ia mengembalikan ingatan kepada separuh akhir Piala Malaysia 2018 apabila Terengganu – ketika itu di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim — yang menang perlawanan pertama 1-0 di halaman sendiri pada 6 Oktober, bangkit untuk mengikat JDT 2-2 hasil dua gol Tchetche Kipre di Stadium Larkin pada 20 Oktober untuk menempah tempatnya dalam final dengan agregat 3-2.
Seperti 2018, Terengganu FC kali ini akan bermain di tempat sendiri dahulu pada 17 Januari nanti dengan aksi timbal balik pada 1 Februari dan tentunya Badrul Afzan mengharapkan kesudahan serupa.
Musim lalu pula, Terengganu FC yang bangkit mengikat JDT 1-1 selepas 28 minit di halaman sendiri apabila gol Sony Norde memadamkan pendahuluan Fernando Forestieri, kesudahannya berputih mata 1-3. Ini selepas pengadil melayangkan kad merah kepada Argzim Redzovic kerana kesalahan kad kuning kedua dan kemudian kepada Ivan Mamut yang dilihat mengasari Feroz Baharudin.
“Pengadil macam liga kampung, kontroversi 2 kad merah bantu JDT tewaskan TFC,” kata tajuk berita sebuah portal sukan mewakili pendapat ramai yang percaya JDT selalu mendapat perlindungan dan ‘bantuan’ pengadil setiap kali turun beraksi.
“Kita hormati JDT tapi tak boleh terlalu menghormati mereka,” ulangi Badrul Afzan di sebalik ramai mungkin tidak sedar dia sebenarnya sudah memiliki lesen Pro Diploma A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diperolehnya bersama jurulatih lain termasuk Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Wan Rohaimi Wan Ismail (kedua-duanya dengan Penang FC), Victor Andrag (KDA FC) dan K. Nanthakumar (Negeri Sembilan FC) pada awal tahun ini.
Kursus dijalaninya ketika itu termasuk membawa mereka untuk sandaran ke kelab NK Osijek di Croatia seperti kumpulan calon jurulatih lesen A pada masa lalu yang membawa mereka ke pelbagai negara.
Terengganu kini berada di tangga keempat Liga Super. — Facebook/TFC
Bekas pemain Terengganu dari 1996-1999 itu bagaimanapun perlu meneruskan perjuangan tanpa dua pemain import, Matthew Steenvoorden dan Marin Pilj, yang masing-masing memilih untuk meninggalkan pasukan pada Oktober dan November lalu.
Di samping itu, Terengganu FC juga dikhabarkan mahu membuat permohonan kepada JDT supaya membenarkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid – berstatus pemain pinjaman daripada JDT – dibenarkan beraksi dalam separuh akhir kelak.
“Itu saya setuju untuk diusahakan. Harap-harap dapatlah persetujuan JDT untuk perlawanan jadi lebih menarik,” katanya.
Harus tidak keterlaluan untuk mengandaikan bagaimana Terengganu FC berkesudahan dalam liga pada penghujung April nanti di samping aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang JDT akan menjadi penilaian lanjut terhadap masa depan Badrul Afzan bersama pasukan.
Sebagai seorang yang sudah memenuhi kelayakan asas ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), tiada sebab untuk pengurusan Terengganu FC terus tercari-cari ketika calon tepat sudah ada di depan mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
Source link
The post Pada Badrul Afzan hadir susuk berbeza mahu gemilangkan skuad Hitam Putih appeared first on Edisi Viral Plus.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://plus.edisiviral.com/pada-badrul-afzan-hadir-susuk-berbeza-mahu-gemilangkan-skuad-hitam-putih/