Orang Kelantan Bosan Undi Pas Tukar Kepada Ph Pru15
Kelemahan pemimpin Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional yang tidak membawa banyak penyelesaian terhadap masalah rakyat Kelantan membuka minda pengundi di negeri itu untuk berubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor berkata, rakyat bukan sahaja bosan menanti bantuan dari kerajaan pusat yang tidak kunjung tiba tetapi Kerajaaan Negeri yang dipimpin Pas juga tidak menunjukkan kebolehannya memimpin dan memperbaiki ekonomi setempat.
Menurut Supardi, kemenangan besar Pas dalam PRU lalu seharusnya tidak melekakan mereka kerana pengundi Atas Pagar Kelantan yang mahu menumbangkan BN waktu itu tidak ada pilihan. Mereka mengundi Pas menewaskan BN. Namun apabila Pas bergabung dengan BN, kata Supardi, maka kedua-duanya akan ditolak rakyat.
“Senario PRU 14 di Kelantan, PH ketika itu terlalu lemah. Kemenangan Pas adalah kerana pengundi Atas Pagar mahu menghukum BN. Mereka tak undi PH sebab tak mahu Umno menang (akibat pecah undi).
“Jadi Pas janganlah mendabik dada kononnya mereka menang besar. Sebenarnya pengundi Atas Pagar ini tidak mahu Kelantan dipimpin oleh BN. Namun selepas kita memerintah sekejap (Kerajaan Persekutuan), kita ada sedikit kekuatan. Sejak itu KEADILAN di Kelantan lebih tersusun strateginya dan banyak buat gerak kerja yang lebih baik,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Supardi turut optimis menjelang PRU 15 akan berlaku pergolakan dalam hubungan Umno dan Pas di Kelantan, terutama soal pembahagian kerusi dalam Muafakat Nasional. Apatah lagi sekiranya Bersatu mahu mencuba nasib.
Mengulas kekuatan KEADILAN, Supardi menegaskan, biar pun parti itu sejak PRU 1999 dibayangi kekuatan Pas namun selepas PRU 14 lalu KEADILAN mula menyiapkan jentera untuk bergerak tanpa bantuan sesiapa.
“KEADILAN mula berkembang di Kelantan dan kita juga sudah mulakan gerak kerja yang memberi tumpuan pada kerusi-kerusi berpotensi yang kita boleh menang,” katanya lagi.
Selain itu, Supardi yakin perjuangan KEADILAN di negeri Cik Siti Wan Kembang itu semakin diterima pengundi kerana parti itu menumpukan agenda membangunkan ekonomi rakyat.
“Kita jangka boleh menang beberapa kerusi yang akan dipertandingkan. Pendekatan kita ialah yakinkan pengundi Atas Pagar dengan manifesto yang berbeza daripada KEADILAN pusat, kita akan mencuba kelainan tetapi tidak bercanggah dengan pusat.
“Kita akan buat keseimbangan pembangunan, di mana ada pencari kerja dan ada yang cipta pekerjaan. Di Kelantan, banyak orang kita pandai berniaga, jadi kita akan bantu mereka untuk cari hasil di negeri sendiri tanpa perlu berjirah. Soal pembangunan akan datang dengan sendiri, soal ekonomi itu keutamaan kita,” katanya.
Rakyat Kelantan kebelakangan ini mula mempersoalkan prestasi Pas apabila 3 menteri dan timbalan menteri Persekutuan dilantik daripada pimpinan Pas Kelantan seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Takiyuddin Hassan dan Siti Zailah Yusof. Namun mereka gagal meluluskan peruntukan segera ke negeri itu selepas dianaktirikan oleh BN sejak 1990.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/29237