Nizam Laksamana Nekad Jual Muruku Jika Tak Boleh Menyanyi
Ridzuan Abdul Rahman
PENYANYI Nizam Laksamana memperoleh pelbagai pengalaman baru ketika memasarkan produk makanan muruku ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.
Nizam, 54, berkata, dia pernah tersentuh hati sehingga menitiskan air mata ketika melakukan penghantaran kepada segelintir pelanggan berikutan sikap mereka yang seolah-olah acuh tak acuh.
"Saya memang hantar sendiri pesanan yang dibuat pembeli. Kadang-kadang saya berhadapan dengan kejadian yang agak menyayat hati.
"Bayangkan apabila tiba di lokasi, panggilan saya tak dijawab, manakala mesej pun tak berbalas. Kemudian selepas 15 minit saya cuba hubungi dan hantar mesej lagi, namun keadaannya tetap sama.
"Saya seterusnya mesej beritahu nak beredar ke tempat lain. Selepas bergerak kira-kira 30 minit, barulah dia hubungi semula dan tanya pula kenapa saya tak hubungi dia?" katanya.
Nizam berkata, dia komited komited setiap kali dapat pesanan pelanggan. Jadi, dia tak kisah jika terpaksa meredah kesesakan jalan raya serta hujan lebat kerana mereka menunggu," katanya.
Menurutnya, sepanjang melakukan kerja-kerja ini, dia dapat merasai keperitan pekerja-pekerja penghantaran yang lain.
"Dugaan mereka lebih hebat kerana buat penghantaran dengan menunggang motosikal berbanding saya yang memandu kereta. Ini mengajar saya erti kehidupan," katanya.
Nizam berkata, dia amat bersyukur kerana produk muruku menjadi penyambung hayatnya mencari rezeki ketika tawaran menyanyi dibatalkan dan tertutup buat sementara waktu.
"Tak dinafikan saya amat susah hati kerana hilang pendapatan. Kebetulan saya dan keluarga kena jalani saringan Covid-19 kerana ada kontak rapat dengan bapa mentua yang disahkan positif.
"Wang simpanan pula makin lama makin menyusut dengan drastik. Keputusan jual muruku sangat tepat. Daripada mula merangkak, ia dapat memberangsangkan dan saya berjaya jual sebanyak 1,000 bekas sebelum Aidilfitri.
"Syukur saya tiada bebanan hutang berkat menyimpan dan beringat ketika ada pendapatan. PKP mengajar bersyukur. Perit tapi banyak pengajaran yang diambil. Jika sekiranya tak boleh menyanyi dalam tempoh lama, saya akan terus jual muruku dan terbaru Pes Tempoyak Lejen," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/nizam-laksamana-nekad-jual-muruku-jika.html