Nik Amar Bagi Hint Macam Pn Boleh Berpecah Jer Ni
Kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN) bukan satu ikatan yang konkrit, namun dibentuk melalui keputusan setiap parti demi menyelamatkan negara, kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah
Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, beliau berkata kerjasama yang membolehkan PN menerajui kerajaan persekutuan ini adalah keputusan parti-parti yang terlibat
"Bukan kerjasama ahli-ahli parlimen, kerana ahli Parlimen ini terikat dengan keputusan parti. Macam kami PAS, kita terikat dengan keputusan parti PAS. Orang Umno terikat dengan parti Umno, kalau Umno kata jangan masuk, macam mana dia nak masuk
"Cuma ikatan ini bukan ikatan yang konkrit, sebab pada waktu itu mungkin boleh saya katakan ia bersifat ad-hoc untuk menyelamatan keadaan apabila Dr Mahathir Mohamad letak jawatan (perdana menteri), negara tidak ada kerajaan
"Jadi kita menyelamatkan keadaan pada waktu itu, parti PAS, Umno dan BN terpaksa buat keputusan segera dan itu lahirnya Perikatan Nasional. Tetapi nama Perikatan Nasional pun tak tahu siapa yang bagi. Kita pun hairan dari mana keluar nama (PN) ini
"Tetapi sebenarnya untuk selamatkan negara daripada kelompongan politik. Mungkin akan datang berlaku perubahan politik yang kita tidak tahu," katanya kepada media di Kota Bharu, Kelantan hari ini
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Bung mendakwa PN ditubuhkan atas kerjasama antara anggota parlimen dan bukan atas dasar parti
Bung berkata, ini merupakan antara punca utama PN gagal diselaraskan di peringkat negeri
"Perikatan Nasional ini diwujudkan untuk membentuk sebuah kerajaan antara MP (yang menyokong perdana menteri). Bukan atas dasar (sokongan) parti ke parti," katanya ketika menjawab persoalan mengapa PN tidak ditubuhkan di Sabah dalam program khas bersama Pengerusi Umno Sabah anjuran Penerangan Umno Malaysia, semalam
Sementara itu mengulas lanjut, Mohd Amar berpandangan, jika perkembangan kerjasama ini positif untuk rakyat, ia boleh diperkuatkan lagi pada masa akan datang akan jadikan kerjasama yang lebih konkrit
"Hari ini pun kita nampak positif, mesyuarat kabinet pun berjalan dengan baik, alhamdulillah. Jadi kalau benda ini bagus saya rasa boleh teruskanlah dengan beberapa ubahsuai dan sebagainya," jelasnya yang juga timbalan menteri besar Kelantan
Selesaikan isu utama dulu
Dalam perkembangan lain Mohd Amar turut membidas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang sebelum ini membangkitkan isu usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali sebagai RUU355
Beliau mempersoalkan apakah yang Mohamad lakukan dalam hal berkait kepentingan agama untuk meningkatkan syariat sepanjang 22 bulan dalam kerajaan pusat sebelum ini
"Dia duduk 22 bulan dalam kerajaan satu benda pun dia tak buat, tiba-tiba kita yang baru duduk sebulan dia suruh buat segera. Selama 22 bulan apa yang dia buat untuk kepentingan agama, untuk meningkatkan syariat, yang dia kata PAS bawa dulu tak betul
"Sepatutnya dalam 22 bulan dia sudah ada pelan untuk meningkatkan martabat mahkamah syariah dan sebagainya, itu pun dia tak buat. Tiba-tiba kita baru sebulan dia suruh buat dah, bagilah masa sikit pada kita
"Fokus kita paling utama ialah wabak Covid-19, kedua isu ekonomi dan kestabilan politik negara. Dalam agama pun ada apa yang perlu didahulukan, kita tidak boleh buat sesuatu dengan tidak ikut keutamaan
"Misalnya nak sembahyang kena ambil wuduk dahulu, kemudian tempat bersih, pakaian kena bersih, jadi kena ikut langkah demi langkah," katanya
Mohd Amar turut menyeru supaya semua pihak tidak berpolitik dalam situasi sekarang dan menyelesaikan isu utama dihadapi negara
"Kita selesaikan tiga isu besar ini dahulu, pada pandangan saya jangan berpolitiklah dalam masa dua tiga bulan ni, biar selesai dahulu tiga isu utama ini
"Sebab ini masalah bersama, bukan masalah PAS, Umno atau Bersatu, ini masalah negara," ujarnya
Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bankami.blogspot.com/2020/04/nik-amar-bagi-hint-macam-pn-boleh.html