Niat Ingin Menolong Rupanya Kena Tipu
Selalu kita dengar dan baca, ramai yang mengajak untuk membuat kebaikan. Ya betul, bagus sangat kalau kita sama-sama berbuat kebaikan ini. Cuma satu pesanan saya, berhati-hatilah dalam membuat kebaikan kerana ada yang cuba mengambil kesempatan. Ini benar-benar terjadi kepada saya hari ini.
Petang tadi kira-kira jam 5.30 petang datang seorang pemuda berjubah hijau dengan motosikal merah. Dengan memberi salam, selamba saja naik ke beranda rumah saya. Kalau ya pun tunggulah di tangga saja. Nasib baik pada masa ini gril rumah saya berkunci. Saya bertanyakan tujuan dia datang.
Dia meminta wang sebanyak RM30 untuk mengisi minyak kereta kerana menurutnya kereta dia kehabisan minyak dalam kawasan kampung saya ini. Dia mencari kawannya dalam kampung ini tapi tak jumpa. Malas pula nak tanya siapa kawannya itu, Saya bertanyakan lokasi keretanya, dan tempat yang dimaklumkan itu memang ada dalam kampung ini.
Hairan, macamana boleh naik motosikal pula. Katanya motosikal itu dipinjam daripada seseorang untuk pergi membeli minyak. Dalam fikiran saya mungkin dia ni tak bawa dompet kot. Kalau nak difikirkan banyak juga kekeliruan dalam mempercayainya, Tapi apa boleh buat, niat di hati memang nak menolong. Manalah tahu dia benar-benar berada dalam kesulitan.
Kalau dilihat dari raut wajah, pemakaian dan tutur kata, memang saya tidak mengesyaki yang dia ingin menipu. Jadi saya pun memberi RM30 kepadanya, dan dia berjanji akan membayar balik wang tersebut sebelum waktu Isyak malam ini. Sebelum dia berlalu pergi tadi, sempat lagi beramah mesra tanya pasal kucing-kucing saya yang kebetulan ada di situ. Dia juga sempat menghulurkan tangan bersalam. Amboi bersopan-santunnya.
Semasa entri ini ditulis, jam 10 malam, dia tak muncul-muncul lagi. Kalau lembu kita pegang pada talinya, orang pula kita pegang pada janjinya. Ternyata janji tinggal janji.
Dengar khabar, ada orang kampung ini juga yang dikunjungi oleh pemuda yang sama, meminta wang RM20 dengan cara yang sama. Oh...rupa-rupanya bukan saya seorang sahaja yang terkena. Mungkin dia sudah biasa buat kerja macam ni. Sungguh bijak permainanmu anak muda.
Terlupa pula tadi nak mengambil gambarnya sebelum memberikan wang tersebut. Atau boleh juga dijadikan pengajaran nanti, selfie dulu dengan sesiapa saja yang ingin meminjam wang daripada kita. Kalau dia menipu atau tidak membayar balik, boleh kita sebarkan dalam media sosial. Tujuannya supaya orang lain juga tidak tertipu,
Inilah masalahnya kalau kita nak menolong orang yang cuba mengambil kesempatan atas kebaikan yang ingin kita lakukan. Mungkin ada yang berkata RM30 jer pun. Ya, mungkin jumlah itu taklah banyak sangat tapi niat dan caranya menipu itu memang menyakitkan hati. Orang macam ini memang tidak akan selamat. Lambat laun dia kan kena juga.
Saya doakan semoga dia insaf dan diberikan petunjuk oleh Allah. Kepada semua yang membaca catatan ini, berhatilah-hatilah kalau ingin menolong orang. Berbuatlah kebaikan dan pertolongan kepada yang benar-benar layak mendapat pertolongan. Sekian, semoga bermanfaat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.kembaraminda7.com/2021/04/niat-ingin-menolong-rupanya-kena-tipu.html