Nasihat Perihal Solat Dan Kematian

PERIHAL SOLAT DAN KEMATIAN
Sekarang kita mungkin buat tak kisah dengan segala nasihat agama. Kita sekadar dengar. Kita baca sekadar lalu. Kita tahu hukum agama tapi sekadar ambil tahu tapi tak amalkan dan tak peduli.
Kita tahu SOLAT itu wajib tapi kita tak jaga solat.
Kita tahu MENUTUP AURAT itu wajib tapi kita lawan perintah Allah.
Kita bukan tak suka agama tapi hati kita sedang keras. Hati kita terlalu penuh dengan dunia. Ikut nafsu. Kita berani lawan perintah Allah. Kita tak tahu di akhirat kelak lagi azab kita menanggung seksaan.
Sekarang kita mungkin tak peduli dengan segala nasihat perihal solat dan kematian. Kita baca tentang kematian di media sosial. Kita dengar kuliah tentang sakaratul maut. Kita dengar azan lima kali sehari tapi tak bergerak hati untuk menyahut panggilan Allah itu.
Sekarang kita masih tidak peduli dengan tanggungjawab agama dalam keluarga kita. Anak-anak membesar tanpa didikan agama. Kita tak ajar Tauhid kepada anak-anak dan isteri kita. Apatah lagi tentang solat. Suami tak pernah pimpin isteri ke arah yang Allah redha. Kita fikir kita ini suami, ketua keluarga, semua orang kena ikut cakap ketua keluarga. Apa tanggungjawab suami sebagai ketua keluarga? Suami didik anak isteri dengan ajaran agama? Kita fikir tanggungjawab mengajar agama itu tanggungjawab ustaz dan ustazah. Itu satu kesilapan besar dalam keluarga yang kita pimpin.
Kita terlalu sibuk dengan kerjaya, rumah, kereta, impian dunia sampai agama dalam keluarga jadi sesuatu yang “nanti-nanti”.
Nanti kita belajar ilmu fardhu ain.
Nanti kita ajar anak solat.
Nanti kita mula baca Al-Qur’an.
Nanti kita mula pakai tudung.
Nanti kita mula jaga solat.
Tapi “nanti” itu makin lama makin jauh, sedangkan ajal itu semakin dekat, semakin senyap menghampiri kita dan keluarga kita.
Sekarang kita mungkin masih duduk dalam kejahilan agama, tidak peduli akan hukum Allah, tidak ada persediaan untuk mati, masih hanyut dengan dunia dan masih rasa aman dan selamat dengan meninggalkan solat…
Masih rasa “takpe kot”.
Masih rasa “aku ok lagi ni”.
Masih rasa “aku tak buat jahat pun, cuma belum sempat berubah”.
Masih rasa “esok masih ada”.
Ingat ya...
hidup kita ini bukan macam cerita dalam drama. Tak semestinya kita diberi peluang berubah di akhir cerita. Tak semestinya kita sempat bertaubat.Tak semestinya kita sempat ucap dua kalimah syahadah.
Sampai satu saat…
Allah ambil balik apa yang selama ini kita pinjam: NYAWA dan ketika itu, terpisahlah roh dari jasad. Tubuh yang dulu bernafas, bercakap, berjalan… kini terbaring kaku. Tiada lagi suara. Tiada lagi peluang.
Azab seksanya sakaratul maut.
Tika itu, air mata darah pun tidak akan mampu mengubah takdir.
Tiada lagi ‘next time’.
Tiada lagi ‘aku nak mula balik’.
Tiada lagi ‘aku nak solat, aku nak taubat’.
Semuanya… terlambat.
Ketika itu, barulah kita kesal.
Kesal yang tak mampu ditebus.
Kesal yang buat roh menangis sebab tak mampu kembali untuk betulkan kesilapan lalu.
Waktu itu, kita akan mula ingat semua apa yang kita dah buat selama kita hidup atas dunia ini. Solat yang kita tinggalkan dengan mudah. Zikir yang kita abaikan. Peluang bersedekah yang kita tolak. Waktu lapang yang kita habiskan dengan hal sia-sia. Hidup yang penuh nikmat tapi jarang kita syukuri.
Kita mula sedar… hidup yang Allah beri itu sangat besar maknanya tapi kita bazirkan dengan kelalaian. Dengan maksiat yang menjadi kebiasaan. Dengan hati yang keras dan ego yang tinggi. Kita lupa bahawa setiap detik hidup ini adalah pinjaman yang akan ditanya satu persatu.
Waktu itu kita mula menyesal…
Dengan solat yang banyak kita tinggalkan. Bukan kerana kita tak tahu solat itu wajib tapi sebab kita terlalu anggap ringan. Kita tahu solat itu tiang agama tapi kita runtuhkan sendiri rumah iman kita. Kita tahu solat itu pertemuan dengan Tuhan tapi kita lebih seronok bertemu dunia.
Solat Subuh kita tangguh sampai matahari naik. Solat Asar kita lupa kerana sibuk kerja. Solat Maghrib kita abaikan. Solat Isyak kita tunda sampai akhirnya tertidur.
Bila kita dah jadi jenazah, kita tak boleh kembali hidup ke dunia ini lagi untuk betulkan segala kesilapan kita yang lalu. Kita fikir jika Allah beri kita peluang kembali ke dunia, kita nak jaga solat yang kita dah tinggal. Kita nak menangis sujud atas sejadah. Kita nak peluk anak dan ajar mereka ilmu fardhu ain. Kita nak pilih jalan yang Allah redha. Sekarang semuanya sudah terlambat. Malaikat sudah datang menjemput. Yang tinggal hanya amal atau kosong?
Cukuplah kematian itu sebagai nasihat. Kematian tidak menunggu usia. Kematian tidak menunggu waktu kita “dah bersedia”. Kematian tak pilih siapa yang kaya atau miskin, terkenal atau tidak, sihat atau sakit.
Kematian adalah pemutus segala nikmat dunia. Segala yang kita kejar... jawatan, rumah besar, pujian manusia, semuanya tak bermakna di alam barzakh.
Yang dibawa hanyalah tiga:
👉🏻 amal
👉🏻 doa anak yang soleh
👉🏻 ilmu yang bermanfaat.
Jadi kenapa kita masih terus leka?
Adakah hati kita masih belum rasa apa-apa?
Mulakanlah perlahan-lahan.
Tak perlu tunggu jadi sempurna untuk mula solat. Tak perlu tunggu rasa ‘ikhlas 100%’ baru nak tunduk sujud sebab solat itulah yang akan melembutkan hati. Solat itulah yang akan memanggil air mata keinsafan.
Solat itulah yang akan memimpin tangan kita semula menuju ke jalan Allah.
Didiklah hati untuk ingat mati.
Bukan untuk menakut-nakutkan diri tapi untuk sedarkan jiwa. Orang yang bijak bukan yang paling kaya, bukan yang paling popular tapi orang yang paling banyak ingat mati dan bersedia untuknya.
Tanya diri sendiri…
Jika hari ini hari terakhir aku hidup, adakah aku sudah bersedia? Jika esok aku tak bangun lagi, apa yang aku tinggalkan untuk akhiratku? Jika ini sujudku yang terakhir, adakah aku sujud dengan hati yang kembali bertemu Tuhanku?
Bangkitlah.
Selagi masih ada masa.
Selagi nafas masih ada.
Selagi mata masih mampu menangis.
Selagi tubuh masih mampu berdiri dan sujud.
Mulakan dengan solat.
Mulakan dengan taubat.
Mulakan dengan langkah kembali kepada Tuhan.
Satu hari nanti ajal akan datang. Waktu itu, tiada siapa boleh tangguhkan kematian. Tiada sesiapa boleh undurkan masa. Tiada siapa mampu menyambung nafas yang terhenti.
Solatlah sebelum kamu disolatkan.
Berdoalah sebelum kamu didoakan.
Menangislah kerana Allah sebelum kamu ditangisi. Kembalilah… sebelum kamu benar-benar kembali.
Hidup ini terlalu pendek untuk dibazirkan dan terlalu berharga untuk diabaikan. Kematian bukan pengakhiran tapi permulaan realiti hidup kita di alam sana.
.
seketoi sha🧸
kawan Facebook awak.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://laman-islamiah.blogspot.com/2025/06/nasihat-perihal-solat-dan-kematian.html