Nasihat Buat Rafizi Dan Nik Nazmi
PANDANGAN
HASRAT Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk melihat Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berada dalam kabinet harus diterima dengan tangan terbuka dan penuh tawaduk oleh kedua mereka.
Rafizi dan Nik Nazmi perlu memikirkan hasrat Anwar itu sedalam dalamnya bukan sahaja untuk kebaikan parti, tetapi kebaikan diri, potensi mereka sendiri dan juga kerajaan.
Semalam Anwar berkata beliau berhasrat untuk melihat bekas timbalan presiden dan naib presiden Keadilan itu berada dalam kabinet. Menurut Anwar beliau hanya meluluskan permohonan cuti kedua mereka, tetapi belum menerima pernyataaan mereka ingin meletak jawatan menteri disandang mereka.
Peluang bercuti Anwar mengharap mereka ambil masa untuk memikirkan tindakan kedua mereka selanjutnya. Saran ini bukan bimbang ketiadaan Rafizi dan gengnya dalam Keadilan melemahkan parti itu. Keadilan yang dibina dengan tiang-tiang utuh dari jiwa reformasi kental dan disokong serambi yang ikhlas dalam perjuangan tidak akan pincang tanpa Rafizi dan genangnya.
Rafizi dan Nik Nazmi bercuti selepas penat berkempen semasa pemilihan. Serentak itu mereka menyampaikan hasrat melepaskan jawatan menteri dipegangnya sebaik selesai percutian, 16 Jun ini. Tindakan mereka itu sebagai mengotakan apa yang terlepas kata semasa berkempen, sekiranya kalah akan meletak jawatan. Walaupun Nik Nazmi tidak menjanjikan demikian, tetapi sebagai orang baik dan kawan rapat dengan Rafizi sewajarnya dia mengambil sikap demikian. Itulah nilai dan tanda erti persahabatan sebenar.
Kita memghormati prinsip mereka berdua. Prinsip tegas dan konsisten begitulah yang kita ingin dipakai oleh para pemimpin. Ketegasan dan integritilah yang meletakkan seseorang itu dipandang tinggi. Namun dalam politik yang penuh seni, tidak semestinya prinsip itu menguntungkan kita dan baik untuk dipertahankan, melainkan ia sekadar memuaskan jiwa sendiri sahaja.
Bagi saya kekalahan Rafizi dan Nik Nazmi dalam pertandingan itu memberi ruang kepada mereka mencari seberapa banyak hikmah dan mesej disebaliknya. Kekalahan itu peluang mereka untuk mempelajari, mengetahui denai laluan politik. Beliau boleh dan mula mengenali erti politik Machiavellisme yang sudah diketahui tetapi belum dirasai kesan sebenarnya.
Kekalahan itu mengajarnya erti tikam belakang dan bahawa politik itu tidak boleh dipercayai. Jika beliau memahami apa yang saya kata dan tulis sebelum ini, beliau tidak perlu merasa kecewa dan geram dengan segala ulah dalam politik itu. Sebaliknya kekalahan itu membakar semangat mereka untuk terus berpolitik.
Saya ulang sekali lagi madah saya, “jangan percaya dengan sumpah dan janji orang politik, tetapi usah rasa mustahil dengan tindakan mereka.” Berdasar kalimah ini maka sesiapa yang memasuki dunia politik hendaklah siap siaga dengan segala kemungkinan yang berlaku. Dalam politik kita tidak boleh tidur dalam perut kawan apa lagi lawan.
Hendak tidak hendak, suka atau tidak, baik Rafizi atau sesiapa perlu berwaspada senantiasa, pantang lali atau ralit mereka akan ditewaskan.
Berbalik kepada hasrat Anwar tadi yang mahu mereka berada dalam kabinet, mungkin ia tidak ikhlas dan sekadar basi basi sahaja. Namun Rafizi dan Nik Nazmi harus cekap mengambil peluang itu, menganggap ia suatu kebenaran. Jangan menghitung dan mencari makna keikhlasan dalam politik. Baik bagi Rafizi untuk menyertai kabinet bukan sahaja setakat meneruskan agenda dan progaram dirancangnya, tetapi baik juga untuk masa depan politiknya sekiranya beliau masih mahu berpolitik.
Sekiranya Rafizi mahu menapak jauh dalam politik hatta menjadi pemimpin utama negara suatu masa nanti, beliau harus berada dalam parti politik. Parti terbaik ialah parti yang beliau diami sekarang Keadilan. Ibarat beliau ingin menuju ke suatu destinasi, beliau kini sudah berada dalam kenderaan, cuma masalahnya timbul sedikit keriuhan dalam kenderaan, itu perkara biasa.
Namun relatif lebih baik daripada untuk turun dan cari kenderaan lain. Rafizi tidak perlu terpesona dengan janji dan sokonagn ramai dalam medsos, itu hanyalah tidak lebih dari bueh bueh dilautan sahaja, kerana bersamanya disertai sama orang dari kumpulan mahu membunuh kariernya. Rafizi kena kenal mana penyokong sejati, mana yang sokong membawah rebah, mana tukang sorak semasa dia di pentas, mana orang yang mengangkatnya ketika panggung roboh.
Menubuhkan parti baru senang diucap, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Parti politik baru seperti sebutir benih (seed) mungkin ia matang, tetapi bila diletak dibumi belum tahu ia bertunas, hidup dan berbuah. Boleh jadi ia akan jadi hampa dan mati beragam. Lagipun Rafizi tidak mempunyai rangkaian global atau sokongan fundmental seperti Anwar miliki dalam soal ini.
Rafizi hanya perlukan sekurang kurang masa tiga tahun sahaja untuk mencapai puncak dalam kerjaya politiknya ini. Justeru beliau perlu sabar menunggu dalam Keadilan dan terus mengukuhkan sokongan akar umbinya disamping banyak mengenali seni dan sepak terajang politik. Beliau harus mengendalikan politik ini yang penuh seni yang punya segala unsur itu, seni bunyi-bunyian, irama gendang dan aksi. Tidak kurang penting juga beliau perlu absord dengan politik Melayu
Jadilah kekalahan itu untuk menyiapkan tesis Phd politik ala Malaysia dan Melayu. Belajar untuk memahamai hipokrasi, senyum politik, gurau politik, janji politik disamping teguh dengan prinsip peribadi.
Pemimpin negara masa depan khasnya daripada Keadilan tidak ada sosok yang dilihat "paten" jadi pengganti Anwar melainkan peribadi dan karaktor berani seperti Rafizi. Satu hal yang Rafizi kena pelajari mengambil iktibar daripada Anwar sendiri, bagaimana beliau seorang yang tidak peduli apa yang orang lakukan kepadanya. Anwar sejak keluar dari rahim ibu memancur tangisan nyaring beliau terus berhadapan dengan tribulasi kehidupan tanpa menitiskan air mata.
Berkali kali Mahathir mengeratnya, menyilangnya, namun Anwar tidak pernah kecewa dan putus asa, bahkan apa dilakukan Mahathir itulah yang menghidupkan bara politiknya. Kalau Rafizi merasakan dia dikerat hanya sekali saja apalah sangat ketimbang Anwar yang sudah berkali kali. Politik ini perlu jadi macam gamat seribu kali dikerat, selagi berada dalam laut ia bisa dan mampu hidup dan berkembang biak. [wm.kl. 10:16 am 13/06/2025]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2025/06/nasihat-buat-rafizi-dan-nik-nazmi.html