Najib Pak Lah Tak Hina Kaum India Cina Seperti Tun M
Kasthuri Jeevendran
Datuk C. Sivarraajh
KUALA LUMPUR – Ketika kempen PRU-14, rata-rata pengundi dalam kalangan Cina dan India begitu teruja apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu kembali menerajui negara sebagai perdana menteri semula.
Malah setiap kesilapan terdahulu pemimpin itu telah dimaafkan dan majoriti kedua-dua komuniti itu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, selepas kemenangan besar PH sehingga menguasai tampuk kuasa – pelbagai kenyataan serta tindak tanduk mereka seperti ‘cakap tidak serupa bikin’.
Terbaharu, Mahathir dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang telah mengguris hati masyarakat India serta Cina di negara ini.
Ketika memberikan pandangan berhubung isu kewarganegaraan di negara India, Mahathir telah memberikan contoh bagaimana komuniti Cina dan India bukan sahaja telah diterima masuk ke negara ini malah telah diberikan kewarganegaraan sekaligus tempat dalam kerajaan.
Mengulas kenyataan itu, Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran dalam laman sosial Facebook melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Perdana Menteri.
“Tun Mahathir seperti dipetik dalam laporan beberapa media berkata; “Saya fikir kita telah menerima orang India datang ke negara ini, masyarakat Cina kita berikan kerakyatan walaupun mereka ini tidak layak, kini mereka juga dalam kerajaan” dan saya terkejut kerana ini adalah satu kenyataan perkauman oleh seseorang yang kini berkuasa kerana sokongan tidak berbelah bahagi daripada masyarakat Cina dan India sebenarnya.
“Sebenarnya, kepimpinan Cina dan India perlu malu dengan kenyataan berbaur rasis seperti ini sebenarnya. Anda semua patut malu kecuali rasa diri itu terlalu kebal dan ini bukanlah apa-apa yang perlu dipertikaikan,” katanya.
Sambil memberikan contoh bagaimana pemimpin bergelar Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak yang tidak akan sesekali mengeluarkan kenyataan mengguris kaum lain.
“Saya lebih daripada bangga untuk mengatakan saya mempunyai dua bekas Perdana Menteri seperti Tun Abdullah dan Najib Razak yang jauh lebih berhati-hati serta sangat memahami sentimen masyarakat India dan Cina.
“Selama bertahun-tahun mereka menerajui negara ini sebagai pemimpin nombor satu negara, tidak pernah mereka menghina seperti ini, tidak MCA mahupun MIC,” tegasnya.
Pada 11 Disember lalu, Parlimen India meluluskan rang undang-undang kontroversi untuk memberi kerakyatan kepada pendatang haram bukan Islam dari negara tertentu, ketika ratusan anggota tentera dikerahkan ke wilayah Timur Laut yang berdepan protes ganas.
RUU itu akan membenarkan kerajaan India memberi kewarganegaraan kepada berjuta pendatang haram yang memasuki negara itu dari tiga negara jirannya sebelum tahun 2015 tetapi ia dikecualikan untuk umat Islam.
Tindakan itu bukan sahaja mendapat kritikan daripada rakyat India sebaliknya juga berdepan dengan rasa tidak puas pelbagai negara luar khasnya negara Islam.
Mahathir berkata, perkara seumpama itu tidak pernah dibuat Malaysia dan jika ia dilaksanakan di sini, ramai akan menderita.
“Kamu tahu apa akan berlaku (jika undang-undang sama dilaksanakan di negara ini), akan berlaku kekacauan, ketidakstabilan dan semua orang akan menderita,” kata Perdana Menteri ketika pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini. –MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/12/najib-pak-lah-tak-hina-kaum-india-cina.html