Naga Emas Terkejut Harimau Mengaum
‘Naga Emas terkejut Harimau mengaum’ . Meskipun memiliki kelebihan bagi aksi final kedua Piala AFF 2018, namun Vietnam jelas kecewa selepas membenarkan Malaysia mengikat kedudukan 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, jurulatih skuad Naga Emas itu, Park Hang Seo mengakui berpuas hati dengan keputusan 2-2 yang dilakar anak buahnya sebagai bekalan untuk aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.
“Pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan semangat juang tinggi apabila dapat menjaringkan dua gol pada aksi malam ini.
“Memang saya kecewa dengan dua gol yang dibolosi namun secara keseluruhannya, kami tidak tewas pada perlawanan di tempat lawan.
“Kini saya perlu mempersiapkan pasukan bagi aksi kedua di tempat sendiri,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, sebentar tadi.
Pada aksi terbabit, Vietnam memperoleh dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy pada minit ke-25.
Namun, anak buah Tan Cheng Hoe bangkit mengikat kedudukan menerusi tandukan Shahrul Saad (m-36) dan sepakan percuma Safawi Rasid (m-60) sekali gus memberikan peluang kepada Malaysia bagi aksi kedua, Sabtu ini.
Harimau tagih magis 2014 berulang
Pemburuan kejuaraan kedua Piala AFF tampak sukar buat skuad Harimau Malaya selepas hanya seri 2-2 dengan Vietnam pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Meskipun tanpa bekalan selesa sebelum bertandang ke Hanoi bagi aksi kedua Sabtu ini, kebangkitan skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk mengikat skuad juara 2008 itu selepas ketinggalan dua gol harus dipuji.
Malaysia kini memerlukan keajaiban di Hanoi seperti yang dilakukan ketika menang 4-2 pada separuh akhir 2014 untuk mara ke final menerusi agregat 5-4.
Kecederaan dialami Aidil Zafuan Abd Radzak dan penggantungan Syahmi Safari menyebabkan Cheng Hoe merombak bahagian pertahanan dengan menurunkan Irfan Zakaria dan Amirul Azhan Aznan buat kali pertama dalam kesebelasan utama.
Sorakan lebih 80,000 penyokong tuan rumah jelas tidak menggentarkan Vietnam yang tenang menyerap asakan skuad negara.
Skuad Naga Emas yang menduduki ranking ke-100 dunia itu menyentap semangat Harimau Malaya dengan menghasilkan dua gol dalam tempoh tiga minit.
Bermula dengan serangan pantas pada minit ke-22, bola hantaran lintang Phan Van Duc gagal dikeluarkan pertahanan negara untuk Nguyen Huy Hung menjaringkan gol pertama.
Belum sempat anak buah Cheng Hoe menyusun langkah, mereka dikejutkan dengan jaringan Pham Duc Huy menerusi rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Farizal Marlias di gawang.
Malaysia, juara 2010 yang tewas kepada Vietnam 0-2 di Hanoi dalam aksi peringkat kumpulan bangkit merapatkan kedudukan menerusi tandukan pertahanan tengah Shahrul Saad yang menyambar bola sepakan percuma Syamer Kutty Abba pada minit ke-36.
Semangat anak buah Cheng Hoe kembali membara apabila berjaya mengikat kedudukan pada minit-60 selepas pemain Pemain Paling Bernilai Kebangsaan, Safawi Rasid menghasilkan gol pertama peribadinya dalam kempen AFF menerusi sepakan percuma melencong menerjah jaring.
Malaysia hampir memperoleh gol kemenangan pada minit akhir permainan namun sepakan percuma Syafiq Ahmad diselamatkan penjaga gol Dang Van Lam.
Baca Juga!
Meriah macam final Piala Dunia!
Itu kesimpulan yang dapat dibuat jika melihat kepada kehadiran penyokong yang menghangatkan suasana final pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Susulan jualan tiket perlawanan yang ‘laku keras’, kita boleh membuat congakan mudah mengenai jumlah kehadiran penyokong membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus membuktikan betapa final edisi kali ini bakal mencipta sejarah tersendiri dalam penganjuran kejohanan berprestij dwitahunan itu.
Sebagai perbandingan, aksi final Piala Dunia 2018 antara Perancis dan Croatia di Stadium Luzhniki, Moscow membabitkan kehadiran 78,011 penonton yang berkesudahan dengan Les Bleus merangkul kejuaraan buat kali kedua selepas menundukkan Croatia 4-2.
Penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. -Foto ASYRAF HAMZAH
Namun aksi final pertama Piala AFF 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil pula membabitkan kehadiran lebih 85,000 penonton!
Jadi tidak keterlaluan jika dianggap aura final Piala AFF 2018 setara dengan perlawanan akhir Piala Dunia 2018 dari segi kehangatan sambutan dan kehadiran penyokong yang menyaksikan perlawanan secara langsung.
Setakat jam 6 petang, penyokong mula memenuhkan ruangan dalam stadium dan beberapa kain rentang seperti ‘Siap Sedia Berkorban Demi Ibu Pertiwi’, ‘Tanah Tumpahnya Darahku’ dan ‘Demi Lencana Di Dada’ turut mewarnai lagi aksi final malam ini.
Kehadiran penyokong tegar, Ultras Malaya turut menggamatkan suasana dalam stadium dengan pukulan gendang dan laungan kata-kata semangat penuh bertenaga daripada mereka yang memenuhi ruangan di belakang pintu gol.
Sumber/Foto: Harian Metro
The post ‘Naga Emas Terkejut Harimau Mengaum’ appeared first on .
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.apakes.com/naga-emas-terkejut-harimau-mengaum/