Musim Haji Tiba Lagi Apa Yang Boleh Dilakukan Buat Ahli Keluarga Yang Akan Berangkat Pergi
Musim haji tiba lagi. Dijadualkan bahawa penerbangan pertama jemaah Haji dari Malaysia akan berangkat pada 4 Julai ini. Pasti sekarang mereka yang terlibat termasuklah petugas haji sedang melakukan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan haji pada tahun ini berjalan lancar.
Biasanya budaya di Malaysia, kaum keluarga akan mengadakan bacaan doa selamat sebelum ahli keluarga berangkat menunaikan haji dan umrah. Ahli keluarga akan berkumpul untuk menunaikan solat hajat terlebih dahulu, kemudian diadakan bacaan Yasin serta tahlil diakhiri dengan doa memohon keselamatan buat ahli keluarga yang akan berangkat.
Ada pula ahli keluarga yang akan berkumpul bersama-sama di perkarangan rumah atau balai perlepasan lapangan terbang pada hari ahli keluarga akan bertolak menunaikan haji lalu membaca doa selamat bersama-sama.
Untuk pengetahuan pembaca Tzkrh.com, Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah menyediakan panduan yang lengkap berkenaan doa yang boleh dibaca dalam majlis-majlis khusus termasuklah bacaan doa selamat bagi mereka yang akan bermusafir.
Amalan membaca doa sebelum memulakan perjalanan ini bukanlah perkara baru kerana ia juga menjadi amalan para sahabat Nabi SAW.
عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan:
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Bermaksud: “Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” (HR Tirmizi, No. 3443 – Status Hadis Sahih)
Ada juga hadis lain yang menyebutkan doa berikut,
زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ
“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Kitab Jami’ Al-Saghir, no. 4554, Hadis sahih)
Perjalanan yang panjang akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan rutin harian dan juga beribadah. Oleh sebab itu Islam mempunyai rukhsah iaitu keringanan buat mereka yang bermusafir. Bersempena musim haji dan jemaah mula berangkat menunaikan rukun Islam yang kelima ini, doakanlah mereka agar diberi kesihatan, kekuatan, perjalanan yang selamat dan memperoleh haji yang mabrur.
Sumber: tzkrh.com
The post Musim Haji Tiba Lagi – Apa Yang Boleh Dilakukan Buat Ahli Keluarga Yang Akan Berangkat Pergi appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/musim-haji-tiba-lagi-apa-yang-boleh-dilakukan-buat-ahli-keluarga-yang-akan-berangkat-pergi/