Musafir Wajib Qada Puasa Jika Ramadan Kurang 29 Hari
PUTRAJAYA: Umat Islam bermusafir di negara yang berpuasa lewat sehari tetapi kemudian tiba di negara yang sudah pun tamat Ramadan diwajibkan ganti lagi bagi mencukupkan 29 hari.
Demikian pandangan tokoh agamawan terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai menjawab kemusykilan ramai pihak berhubung senario tempoh puasa Ramadan bagi musafir.
“Jika berada di negara yang memulakan Ramadan lambat sehari namun bermusafir di negara yang sudah berpuasa awal, maka wajib dia menyambut Aidilfitri bersama-sama penduduknya.
DR. ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI“Kemudian dia perlulah qada selama sehari setelah tamatnya Ramadan dan Hari Raya Puasa kerana bulan Islam tidak akan kurang 29 hari,” jelas beliau menerusi laman sosial rasminya.
Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu seperti merujuk hantaran tular mengenai sambutan Aidilfitri di negara tertentu yang awal sehari.
Antaranya tangkap layar memo Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang memaklumkan tarikh 1 Syawal di Britain sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa di negara tersebut pada 2 Mei.
Umat Islam di Britain bagaimanapun mula berpuasa awal pada 2 April lalu dan hari ini mereka sudah pun menyempurnakan genap 30 hari Ramadan untuk perayaan Aidilfitri keesokannya.
Ada beberapa lagi negara yang telah bermula 1 Ramadan pada 1 April lepas dan menyambut Hari Raya Puasa pada hari ini kerana perbezaan situasi penampakan hilal atau anak bulan.
Mengulas lebih lanjut, Zulkifli berkata, musafir berada di negara lewat berpuasa sehari tetapi selepas itu pergi ke negara yang tamat Ramadan, akan menyebabkan dia berpuasa 28 hari.
“Justeru, dia hendaklah qada atau ganti baki sehari puasa jika sudah berpuasa Ramadan 28 hari kerana dalam takwim Hijrah, setiap bulan tidak akan kurang daripada 29 hari,” jelasnya.
Bagaimanapun hukum keadaan itu ujarnya berdasarkan pandangan ulama terkenal al-Khatib al-Syarbini adalah berbeza sekiranya musafir tersebut sudah pun berpuasa sebanyak 29 hari.
Sehubungan itu tambah beliau, individu berkenaan tidak wajib ke atasnya untuk qada kerana dia telah lengkap menepati bilangan minimum hari dalam bulan Islam iaitu 29 hari sahaja.
Hujah tersebut turut disokong seorang lagi ulama, Syeikh Abdul Aziz Baz apabila ditanya isu berkenaan bahawa musafir itu perlu berpuasa atau berhari raya mengikut negara dia berada.
Malahan, jika puasanya belum cukup 29 hari namun tempat tersebut sudah meraikan Aidilfitri, dia tetapi boleh menyambut hari raya dan kemudian diganti sehari lagi selepas perayaan itu.
“Kaedah ini menurut qaul (pendapat) muktamad ulama mazhab Syafie berdasarkan antaranya Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syihabuddin al-Ramli,” kata Zulkifli. – UTUSAN
Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.mindarakyat.net/2022/05/musafir-wajib-qada-puasa-jika-ramadan.html