Mukhriz Cadang Hutang 1mdb Dijenamakan Hutang Ntr Kerana Najib Puncanya
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencadangkan hutang 1MDB dijenamakan semula sebagai 'Hutang NTR'.
															 																					 									 							 					 						Hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dijenamakan  menjadi Hutang NTR kerana ia berpunca akibat perbuatan bekas Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ahli Parlimen Jerlun (MP) Datuk  Seri Mukhriz Mahathir hari ini.
Anak Tun Dr Mahathir Mohamad memberi cadangan tersebut kerana beban  hutang yang besar itu terpaksa ditanggung rakyat ekoran perbuatan salah  guna kuasa melibatkan Najib semasa era pentadbirannya sebelum ini dan ia  sepatutnya dijenamakan menjadi Hutang NTR singkatan kepada nama MP  Pekan itu.
“1MDB ini, saya ingin cadangkan hutang 1MDB yang sangat membebankan  rakyat ini dijenamakan semula dan dinamakan Hutang NTR kerana Pekan  (Najib) yang bertanggungjawab sepenuhnya di atas skandal antarabangsa  ini,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Mukhriz juga senada dengan bapanya yang mempertikaikan mengapa Najib  masih belum menjalani hukuman walaupun sudah disabitkan, malah diberikan  pula pelepasan pasport antarabangsanya untuk ke Singapura.
“Keputusan yang masih tertangguh walaupun sudah enam bulan berlalu  dalam kes SRC dan pendakwaan yang tidak membantah pelepasan pasport  pihak kayangan yang disabit kesalahan sangat tidak masuk akal.
“Kalau inilah sikap mahkamah dan peguam negara, negara akan hancur  akibat penyelewengan pihak yang rakus, menyalahgunakan kuasa,” katanya  lagi.
Beliau juga menyifatkan hutang 1MDB yang terpaksa dijelaskan kerajaan  bernilai RM32.2 bilion menerusi pinjaman pendahuluan daripada kerajaan  atau Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Akaun Amanah adalah sangat  merugikan kerana tiada manfaat yang diperoleh rakyat.
“Tiada apa-apa manfaat pun yang dinikmati oleh rakyat dari 1MDB ini.
“Malah sebaliknya generasi demi generasi akan datang terpaksa  tanggung biawak hidup ini. Walhal banyak lagi perkara yang lebih  bermanfaat patut diusahakan dengan sumber yang terhad yang ada pada  kita,” katanya lagi.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan  Persekutuan 2022, hutang terkumpul 1MDB adalah berjumlah RM32 bilion  setakat akhir Jun 2021.
Sejumlah RM12.8 bilion komitmen kewangan dan pembayaran hutang 1MDB  telah dilunaskan oleh kerajaan atau Menteri Kewangan (Diperbadankan)  (MKD) menerusi pinjaman dan pendahuluan setakat September lepas yang  mencecah hampir RM10 bilion selain penggunaan Akaun Amanah.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, baki  terkumpul Akaun Amanah selepas mengambil kira pendapatan simpanan  (hibah) adalah berjumlah RM15.3 bilion dan mampu membiayai obligasi 1MDB  sehingga 2022.
Obligasi keseluruhan 1MDB berjumlah RM39.3 bilion merangkumi  prinsipal sebanyak RM32.2 bilion dan faedah atau bayaran keuntungan atas  pembiayaan (RM7.1 bilion).
Terdahulu semalam, Dr Mahathir mempertikai keistimewaan diberikan  kepada Najib yang masih bebas tidak disumbat ke penjara walaupun sudah  didapati bersalah, sebaliknya kerajaan membenarkannya ke luar negara.
“Mahkamah mendapati Perdana Menteri Keenam bersalah. Itu keputusan mahkamah.
“Selagi ia tidak didapati tidak bersalah, ia bersalah. Ia patut jalan  hukuman. Ada rakyat Malaysia yang belum pun dicaj telah dimasuk dalam  tahanan, kenapa tidak orang yang sudah pun dihukum salah menjalani  hukuman. Dibenar keluar negara pula,” katanya.
Untuk rekod, Najib sudah dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan denda  sebanyak RM210 juta bagi beberapa pertuduhan berkaitan RM42 juta dana  SRC International.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/mukhriz-cadang-hutang-1mdb-dijenamakan.html