Mudahkah Sangat Ke Nak Tembusi Bilik Kebal Sprm Tu
Seorang bekas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan walaupun terdapat kemungkinan berlaku pencerobohan terhadap bahan bukti disimpan SPRM, namun realitinya ia bukanlah semudah yang disangka.
Bekas pegawai yang pernah bertugas di pelbagai unit di SPRM itu berkata, ini kerana bahan kes terutamanya barangan berharga akan disimpan di dalam bilik kebal yang tidak mudah dipecah masuk.
Beliau yang enggan mendedahkan namanya memberitahu, banyak halangan keselamatan menyukarkan cubaan menceroboh bilik kebal tersebut, sekali gus boleh mematahkan hasrat pihak yang cuba menguji kekebalan bilik keselamatan menyimpan pelbagai barangan kes.
“Usah beranganlah untuk cuba menembusi bilik kebal yang menyimpan pelbagai barangan kes SPRM.
“Apa yang boleh saya kata -kan, ia bukan semudah difikirkan kerana banyak perkara yang dilibatkan jika mahu mengambil atau mencuri barangan kes,” katanya kepada Kru Rasuah Busters.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tahap keselamatan barangan kes disimpan SPRM. Sejak Isnin, negara dikejutkan dengan laporan mengenai tiga pegawai kanan SPRM terlibat dengan kehilangan wang tunai yang juga barang kes bernilai RM25 juta.
Bekas pegawai itu yang berpengalaman luas dalam bidang risikan menjelaskan, pelbagai proses jaringan keselamatan perlu ditempuhi oleh seseorang yang cuba memasuki bilik kebal SPRM.
Sebagai contoh, katanya, password atau kata kunci (kod rahsia) sentiasa bertukar-tukar dari semasa ke semasa, selain kawalan ketat dilaksanakan termasuk pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
“Bukan sahaja password sering ditukar dari semasa ke semasa, malah pemegang kunci bilik kebal juga melibatkan individu-individu tertentu sahaja,” tambahnya.
Namun begitu, menurutnya, tidak dinafikan tindakan pencerobohan bilik kebal SPRM kemungkinan boleh berlaku jika berlaku kebocoran maklumat atau didalangi orang dalam.
“Bukan saya hendak menafikan sepenuhnya bahawa bilik kebal itu tidak boleh langsung diceroboh, tetapi mungkin satu kerja sukar terpaksa ditempuhi oleh mereka yang berniat jahat,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.anaksungaiderhaka.com/2021/09/mudahkah-sangat-ke-nak-tembusi-bilik.html