Mistik Di Hutan Lipur Lenggeng Wanita Tanpa Kepala
Hutan Lipur Lenggeng merupakan salah satu tempat riadah yang dikenali di Negeri Sembilan. Terletak di Daerah Seremban, kawasan istirehat dengan sungai dan air terjun ini boleh diakses dari Jalanraya Seremban – Kg. Pantai.
Bagi penduduk tempatan, hutan lipur ini bukanlah tempat liburan semata-mata. Banyak kisah dan insiden menyeramkan berlaku di kawasan riadah yang agak terpencil ini.
Menurut seorang peminat paranormal, Rynn, dia pernah datang ke Hutan Lipur Lenggeng pada waktu malam untuk melihat sendiri keunikan kawasan itu dari sudut mistik. Ketika kedatangannya, dia terlihat makhluk seakan pocong tergantung pada sebatang pokok yang agak rendah.
Dia juga mendapati satu daripada tandas yang disediakan untuk orang awam berkunci tanpa sebab dan tiada sesiapa pula di dalamnya. Bau yang sangat busuk seakan bangkai juga dapat dihidu dengan jelas di ruangan sekitar sedangkan setelah diperiksa, Rynn tidak pula terjumpa sebarang haiwan mati di kawasan berhampiran.
Menurut seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Putri, Hutan Lipur Lenggeng dan kawasan sekitarnya memang terkenal sebagai sebuah kawasan yang berpuaka. Pernah suatu ketika, semasa sekumpulan askar berkhemah di tapak perkhemahan di situ, mereka telah diganggu oleh sosok lembaga wanita tanpa kepala.
"Lembaga wanita tanpa kepala tu sebenarnya dikaitkan dengan kejadian rogol dan bunuh yang pernah berlaku di situ," ujar Putri, yang turut mengakui kawasan itu memberikan perasan seram dan meremang walaupun dikunjungi pada waktu siang.
Merujuk kepada seorang YouTuber Paranormal, Faizal Rozi, kehadirannya pada waktu malam untuk membuat rakaman video selama tiga jam memperdengarkan suara wanita mendayu-dayu telah direkodkan di kawasan hadapan sekitar tandas awam.
Menurut seorang blogger, Idan melalui laman blognya, dia pernah tersesat ke Hutan Lipur Lenggeng selepas menghantar anaknya ke Sek. Men. Tuanku Jaafar. Dia sekeluarga pada asalnya berhajat melihat Empangan Hulu Jelebu, namun akhirnya tiba di Hutan Lipur Lenggeng setelah melalui jalan yang agak sunyi dan berliku-liku.
Menurut Idan, walaupun keluarganya tiba di situ pada jam 6 petang, keadaan begitu lengang kerana ketiadaan pengunjung dan suasana begitu menyeramkan. Firasatnya memberi gambaran yang tidak baik mengenai tempat itu dan setelah memandu satu pusingan untuk melihat-lihat kawasan, dia terus keluar kerana anak lelakinya sudah berasa 'tidak sedap hati'.
Melalui pembacaan di internet, barulah Idan mengetahui bahawa di sekitar jalanraya di situ sering berlaku kemalangan, dan tidak kurang juga gangguan-gangguan mistik berlaku kepada pemandu serta pengunjung.
Walaupun Jabatan Hutan Negeri Sembilan telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk surau, tapak perkhemahan, tandas, tempat rehat dan sebagainya, Hutan Lipur Lenggeng terus ditinggal sepi tanpa pengunjung seakan terbiar. Mungkin kerana lokasinya yang agak terpencil, atau mungkin juga auranya begitu kuat membuatkan pengunjung tidak mahu mendekati.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://informasisantaiku.blogspot.com/2019/12/mistik-di-hutan-lipur-lenggeng.html