Mira Filzah Mahu Langkah Lebih Jauh
Menyingkap kembali perjalanan seni aktres bernama Mira Filzah, semuanya kelihatan tersusun indah. Manakan tidak. Bermula hanya sebagai watak pembantu dalam drama pertamanya, Eksperimen Cinta empat tahun lalu, kini gadis yang terkenal dengan perwatakan lemah lembut itu boleh dikatakan berada di kemuncak populariti.
Buktinya, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman bukan sekadar menghiasi drama-drama tempatan dengan memegang watak utama malah lebih mengujakan, bakat seninya turut berkembang mekar ke dunia perfileman.
Setelah membintangi filem Rise: Ini Kalilah yang ditayangkan pada September tahun lalu, gadis berusia 26 tahun itu bakal membuat kemunculan kali kedua di layar perak menerusi naskhah Sangkar, arahan Khabir Bhatia.
Bukan calang-calang filem kerana Sangkar merupakan filem Melayu pertama yang mengetengahkan aksi sukan seni bela diri campuran (MMA) itu menampilkan dua aktor hebat, Zul Ariffin dan Remy Ishak.
Bersua dengan Mira pada sesi fotografi khas sempena mempromosikan Sangkar baru-baru ini, Mira rancak berkongsi mengenai filem bergenre aksi yang bakal menemui penonton pada 29 Ogos itu selain bercerita mengenai hala tuju kerjaya seninya yang mekar mewangi.
Bimbang
“Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai seorang jururawat yang bernama Lea. Lea juga merupakan adik kepada Remy. Apa yang saya boleh katakan, Lea adalah satu watak yang ringkas.
“Dari segi cabaran, tidak sukar untuk menggalas watak Lea sebenarnya. Cuma apa yang boleh dikongsikan, semasa menjalani penggambaran Sangkar, saya terlibat dengan satu lagi projek drama dan atas sebab itu saya tidak dapat memberi seratus peratus tenaga untuk Sangkar.
“Biasanya pelakon yang terlibat dengan filem akan memberi fokus terhadap filem itu sahaja, tetapi berbeza pula dengan saya. Saya terpaksa masuk ke set filem dan drama serentak. Saya pernah bekerja dari pagi dan sambung untuk Sangkar sampai keesokan harinya pula,” ceritanya yang turut menzahirkan kerisauan terhadap sambutan filem itu kelak.
Bagaimanapun, ujar Mira, watak Lea mungkin tidak terlalu memberi impak yang besar kepada penonton dan sebagai pelakon, dia juga sedikit ralat kerana tidak dapat kepuasan untuk berkarya.
Percubaan
Mempunyai pengalaman melibatkan diri dalam dua filem iaitu, Rise Ini Kalilah dan Sangkar, ungkap Mira, kedua-duanya memberikan pengalaman bekerja yang berbeza.
“Kalau filem Rise: Ini Kalilah, saya membawa peranan sebagai pelajar Malaysia yang sanggup menjadi sukarelawan kepada rakan-rakan untuk membawa peti undi pulang ke Malaysia, sementera dalam Sangkar pula peranan saya adalah kecil sahaja.
“Bagaimanapun, saya tidak rasa rugi berlakon dalam kedua-dua filem itu kerana ia memberi saya satu pengalaman yang cukup berharga. Cuma dari segi karakter, saya masih belum mendapat watak yang betul-betul mampu mencabar kemampuan saya sebagai pelakon di layar perak. Mungkin rezeki filem lain selepas ini, Insya-Allah,” tuturnya.
Bersedia andai dikritik menerusi watak Lea yang dibawa dalam filem Sangkar, Mira mengakui tidak sesekali akan membuatkan langkahnya terhenti untuk menerima tawaran filem lain kelak.
Ujar pengacara Nona itu lagi, kegagalan berlakon dalam filem tidak bermakna dia harus akur untuk menerima tawaran drama sahaja.
“Saya tidak kisah nama ‘meletup’ atau tidak menerusi lakonan dalam filem. Pada masa sama, saya juga tidak akan berputus asa. Ini kerana tidak semua filem lakonan seseorang pelakon itu berjaya. Seperti sebelum ini, selepas membintangi beberapa drama, barulah saya dikenali.
“Apapun saya harap akan ada rezeki dan sesuatu yang lebih selepas ini kerana saya ada mendapat tawaran filem dan ia agak menarik. Saya harap ia menjadi,” ujarnya.
Anjakan paradigma
Bercakap mengenai lakonan, ada yang mendakwa, lebih selesa melihat anak kedua daripada tiga beradik itu berlakon menerusi drama sahaja.
Membalas kenyataan itu, aktres yang pernah merangkul anugerah Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2016 itu memberitahu, dia juga mahu melangkah ke fasa seterusnya seperti pelakon-pelakon yang lain.
“Kita tidak boleh berada di satu tahap yang sama kerana dalam drama pun, kita ada pelapis baharu. Sebagai seorang selebriti, kita kena sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa.
“Mungkin sekarang, peminat mahu melihat saya berlakon dalam drama tetapi mana tahu apabila ada filem dan watak yang bagus, mereka mahu saya fokus untuk filem pula,” ujarnya.
Lagipun, kata Mira, berlakon dalam drama dan filem. ia sangat berbeza daripada segi karakter dan perasaan.
Jadi, baginya, dia mahu memberikan kepelbagaian kepada penonton.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/08/mira-filzah-mahu-langkah-lebih-jauh.html