Minda Anak Jadi Lebih Cergas Fokus Lepas Buat Aktiviti Ini Rugi Tak Cuba
Anak yang aktif melakukan aktiviti akan merangsang mindanya menjadi cerdas dan fokus. Dengan aktiviti ini ia mendidik anak-anak ini berfikir dan menyelesaikan masalah. Tidak dinafikan, kanak-kanak pada usia lima dan enam tahun telah sedia aktif.
Namun dengan teknologi dan gajet yang ada pada hari ini, mereka mungkin tidak seaktif yang disangka. Jadi, apa yang perlu anda lakukan untuk memberi motivasi kepada anak-anak?
Untuk memastikan masa aktif si kecil menyeronokkan, kenal pasti apa aktiviti terbaik untuk kumpulan umur anak anda dan beri keutamaan untuk sesuatu yang menggembirakan.
Sebagai contoh, kanak-kanak prasekolah mungkin mengeluh jika anda mengheretnya berjalan kaki sekitar trek senaman. Tetapi jika anda berjalan melalui hutan, berhenti untuk mengagumi alam semula jadi dan membaling batu ke dalam sungai, ia pasti lebih menarik.
Fahami kemahiran yang ada pada anak anda juga boleh menjadi kunci untuk mengekalkan keseronokan sesuatu aktiviti. Melambung bola bersama atau bermain sepak bola mungkin menjadi kemahiran yang terpendam dalam diri si kecil. Biarkan dia mengasah bakatnya itu dengan bermain bersama-sama. Bukan mereka sahaja yang mengeluarkan peluh, malah anda juga boleh kekal sihat dengan aktiviti sebegini.
Aktiviti luar
Jangan biarkan anak anda terperap di rumah dengan gajet di tangan atau menonton televisyen seharian di rumah sahaja. Permainan dan peralatan tidak perlu mewah. Kanak-kanak menikmati permainan yang mudah seperti menangkap dan membaling; bermain dengan raket plastik dan bola; menari dan jatuh serta bangun sendiri.
Kanak-kanak prasekolah melatih kemahiran seperti melompat, mengimbangi pada satu kaki, membaling dan menangkap bola; mengayuh basikal roda tiga dan bermain tali skipping yang mana kebaikan itu akan dimanfaatkan untuk kegunaan pada masa kini dan juga masa hadapan.
Apabila kanak-kanak belajar kemahiran asas tersebut, ia membina keyakinan dan besar kemungkinan mereka akan terus aktif secara fizikal sehingga dewasa. Sebuah organisasi sukan dan pendidikan fizikal menyarankan kanak-kanak prasekolah mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal berstruktur (dibimbing oleh orang dewasa) sehari.
Masa lapang
Berikan sedikit kebebasan untuk anak anda juga boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak prasekolah menjadi aktif. Walaupun beberapa aktiviti fizikal hendaklah distrukturkan dan dipimpin oleh ibu bapa atau penjaga, mereka juga perlu mendapat sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal bebas setiap hari.
Menggalakkan bermain aktif yang bebas, bermaksud membiarkan anak-anak memilih aktiviti dan membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan. Sudah tentu semuanya dalam persekitaran yang selamat dan diselia. Ini termasuk meneroka laman belakang rumah, berkebun, berjalan di sekitar taman permainan atau bermain dengan anak patung di dalam rumah.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik. Kanak-kanak sentiasa memerhatikan gerak geri anda, maka jadilah contoh yang baik dengan bersenam secara teratur. Anak akan jadikan anda sebagai panduan dan akan mengikut apa yang anda buat secara semula jadi.
Cara lain galak aktiviti fizikal
Hadkan masa menonton televisyen dan bermain dengan gajet. Dengan cara ini, anak-anak akan mencari satu aktiviti lain yang lebih bermanfaat. Tidak salah untuk dedahkan kepada mereka dengan teknologi masa kini, namun anda perlu pastikan aplikasi dan permainan atau tontonan sesuai dengan usia.
Pastikan ia menyeronokkan. Membantu mencari aktiviti anak anda suka dan kemudian menawarkan banyak peluang untuk dinikmati oleh mereka tentu mengujakan. Bermain sorok-sorok atau mengejar mereka di sekitar rumah pastinya menimbulkan keterujaan. Atau anda juga boleh menunggang basikal bersama di taman pasti eratkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Menyelia rapat kebolehan fizikal anak-anak seperti memanjat ke puncak gelongsor di taman permainan atau bergayut di palang yang ada mungkin melebihi keupayaan mereka untuk menilai apa yang selamat dan apa yang berbahaya. Begitu juga, mereka tidak tahu bila masanya untuk berehat pada hari yang panas. Cara ini sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak berseronok di luar sambil memastikan mereka dalam keadaan selamat. Jangan lupa minuman, snek berkhasiat dan pelindung matahari juga ya!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
The post Minda Anak Jadi Lebih Cergas & Fokus Lepas Buat Aktiviti Ini, Rugi Tak Cuba! appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/minda-anak-jadi-lebih-cergas-fokus-lepas-buat-aktiviti-ini-rugi-tak-cuba/