Meski Latar Belakang Seakan Sama King The Land Lebih Popular Dari See You In My 19th Life
Peminat drama romantik pastinya seronok memandangkan dua naskhah ‘ringan’ iaitu “See You In My 19th Life” dan “King The Land” sedang bersiaran kini.
ARTIKEL BERKAITAN
Kisah Romantik Klisé Tapi Ada Kelainan, Ini Sebab WAJIB Tonton 'King The Land' Di Netflix Kini
Buat masa ini, kedua-dua drama yang turut ditayangkan di Netflix ini merupakan naskhah yang mendapat perhatian ramai. Dari aktiviti promosi sehingga ke siaran awal, penonton sebenarnya perasan terdapat sedikit persamaan antara dinamik watak dan latar belakang kedua drama ini.
Walaupun bersaing dalam lambakan drama thriller dalam dunia K-Drama, namun kedua-dua drama ini berdiri teguh dengan plot di mana wanita ‘biasa’ namun berdedikasi bertemu lelaki kaya yang memiliki trauma lama. Klise kan? Bahkan kedua-dua pasangan ini menyemai cinta mereka dengan latar belakang ‘perhotelan’.
Walau bagaimanapun, reaksi awal penonton dapat dilihat berbeza buat kedua-dua drama ini. Pada episod pertama, “King The Land” sebenarnya sedikit dikritik kerana menyampaikan ‘kisah Cinderella’ dan lebih kurang sama dengan plot drama dari belasan tahun lalu. Pun begitu, keserasian lakonan antara Lee Jun-ho dan Yoon-a sepertinya berjaya mengubah persepsi ramai dan siri itu menerima respon positif bermula episod keduanya.
Bagi “See You In My 19th Life” pula, mereka menikmati kisah kelahiran semula yang unik di mana watak Shin Hye-sun boleh mengingati masa lalunya. Malah penulis berjaya memaparkan tiga kehidupan berbeza Ban Ji-eum tanpa membuatkan penonton keliru dek plot yang tersusun kemas.
Namun begitu, reaksi dan data analisis menunjukkan respon berbeza buat kedua-dua drama berkenaan. “King The Land” bermula dengan rating 5% namun melonjak ke 7.5% untuk episod keduanya, Manakala rating “See You In My 19th Life” menaik secara sederhana dari 4.2% ke 5.5%. Perbandingan ini agak menarik memandangkan kedua-dua naskhah ini ditayangkan pada hari yang sama cuma berbeza sejam sahaja.
Dalam ranking Netflix di peringkat global pula, “King The Land” menduduki tangga ke-7 kini manakala “See You In My 19th Life” pula duduk selesa di kedudukan ke-9 sekaligus terdapat perbezaan penerimaan dari penonton kini. Bukan itu sahaja, Lee Jun-ho dan Yoon-a dinobat sebagai pelakon paling trending ini mengikut analisis Good Data Corporation manakala Ahn Bo-hyun dan Shin Hye-sun pula hanya mampu merebut kedudukan ke-7 dan ke-8.
Tidak perlu menjatuhkan hukuman awal, ini kerana kedua-dua drama ini masih di peringkat awal tayangan dan pelbagai perkara yang tak dijangka mungkin akan berlaku nanti.
Apa kata korang?
Korang banyak topik ‘hot’ lain tentang dunia hiburan Korea yang nak dibincangkan? Kongsi lah ‘teh’ dengan kami di forum KimchiDaily
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/meski-latar-belakang-seakan-sama-king-the-land-lebih-popular-dari-see-you-in-my-19th-life/