Meski Banyak Kelemahan Memoir Tommy Tidak Wajar Diharamkan
Meskipun mempunyai banyak kelemahan dan pandangan sepihak berasaskan perkauman memoir bekas Peguam Negara, Tommy Thomas ‘Justice in the Wilderness’ tidak sewajarnya diharamkan.
Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengulas secara panjang lebar buku terbaharu Tommy tersebut menyatakan rasa tidak senang dengan ancaman Kementerian Dalam Negeri untuk mengharamkan buku berkenaan.
“Saya berfikiran Tommy mesti dibenarkan untuk mempraktik kebebasan bersuara selaras dengan Perlembagaan serta tertakluk pada undang-undang yang memantau fitnah serta yang berbaur hasutan. Dalam semangat yang sama juga saya menyatakan ketidaksetujuan dengan pandangan serta kenyataan Tommy.
“Mendiamkan mana-mana suara adalah langkah ke belakang. Harus saya nyatakan di sini bahawa suara Tommy juga sama penting dalam usaha kita menghidup dan meraikan kemajmukan di negara ini, di mana suara dari kaum lain juga mesti diangkat dan diraikan,” katanya di penghujung ulasan berkenaan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyimpulkan karya Tommy tersebut bersifat stereotaip dan tidak mengkaji secara mendalam sebarang latar peristiwa yang mendasari komennya.
“‘Justice in the Wilderness’ adalah buku yang sarat dengan stereotaip dan kita harus menelaahnya dengan prinsip skeptisisme yang tinggi.
“Kita juga tidak boleh mengesampingkan fakta bahawa buku ‘The Justice in the Wilderness’ adalah kisahnya (kehidupan Tommy Thomas), dan meski kita akan terus berdebat dan membantah kandungan buku tersebut tetapi ia adalah haknya untuk menceritakan seperti mana yang dia mahukan,” katanya.
Sebelum itu, Anwar mengkritik beberapa sisi buku berkenaan yang disifatkannya cenderung ke arah perkauman dan tidak seimbang dengan situasi yang menuntut sesuatu tindakan diambil secara tegas.
Termasuk kritikan Tommmy kepada bekas Perdana Menteri Tun Razak yang digambarkan perkauman, dalam sebab akibat tercetusnya rusuhan berdarah 13 Mei 1969 dan langkah-langkah politik yang dilaksanakan selepas itu.
Bagi Anwar, Tun Razak melakukan sesuatu yang perlu pada zamannya untuk membaiki ekonomi rakyat dan membasmi kemiskinan serta memodenkan negara.
“Saya merasakan Tommy cuba untuk menggunapakai lensa Tun Razak dan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai upaya untuk menganalisa dalam konteks penggunaan Darurat hari ini. Meski kajian terkait boleh mencerahkan, namun penting juga untuk diingatkan bahawa kesimpulan yang akan dibuat kelak tidak bersifat spekulatif dan separuh masak.
“Ini bukan cara kita menegakkan undang-undang, dan saya harap para pengamal undang-undang akan membantah metode semacam ini. Beliau (Razak) adalah seorang yang gigih dan taat pada tanggungjawabnya dan meninggalkan dunia saat menjawat jawatan penting negara.
“Tommy menyatakan bahawa terdapat bukti untuk tanggapannya itu tetapi yang disajikan kepada kita sebaliknya adalah sangkaan dan teori konspirasi,” katanya.
Mengenai kritikan Tommy terhadap mantan Peguam Cara III Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang dianggap tidak cekap untuk memimpin dan mengawasi pendakwaan kes salahlaku 1MDB pada tahun 2018, Anwar mengkritik kembali Tommy kerana memperlecehkan Jabatan Peguam Negara dengan tanggapan ‘pekerja di sektor awam kurang bertanggungjawab dan mengharapkan gaji serta pencen sahaja’.
“Tanggapan bahawa para penjawat awam bekerja di sektor awam untuk mendapat gaji tetap dengan harapan akan menerima pencen sesudah bersara adalah tanggapan menjijikkan dan langsung tidak berasaskan kritikan yang rasional.
“Di sinilah tumit Achilles buku tersebut. Di sini juga berlakunya pertembungan antara pengalaman Tommy dan saya dengan sistem ini yang amat memerlukan reformasi yang menyeluruh. Ia adalah sikap prasangka terhadap kaum Melayu kesan hari sikap perkauman yang bertahun-tahun lamanya,” ujar Anwar.
Sejujurnya, Anwar menegur Tommy yang menulis buku berkenaan berdasarkan prasangka perkauman yang dipromosi oleh rejim BN sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
Beliau juga menegur satu bab daripada memoir berkenaan yang mengupas mengenai perkauman dan mengingatkan tidak ada sesiapa pun harus menjulang perkauman. Rakyat harus mengecam dan melawan perkauman.
Beliau berkata, sebaliknya seorang penulis yang baik mesti menganalisa secara kritikal isu-isu terkait perkauman dan menonjolkan sikap yang benar-benar mahu memadamkan luka lama serta membina semula sebuah Malaysia yang bersatu padu dan saksama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/31464