Mereka Bertubuh Kecil Tapi Ganas Terjun Dalam Gaung Terus Hilangkan Diri Lanun Hutan Semakin Brutal
Rata-rata mereka bertubuh kurus, comot dengan ketinggian kurang 160 sentimeter
Namun, kumpulan pemburu haram Vietnam terbabit dikatakan memiliki kekuatan luar biasa, yang memerlukan tiga anggota bagi ‘menumbangkan’ setiap daripada mereka
Itu antara faktor geng pembunuh harimau warga Vietnam sukar ditewaskan pihak berkuasa Malaysia dengan mudah ketika mereka berada di dalam hutan belantara
Ia diakui sendiri Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang berkata, perkara itu bukan mitos, tetapi cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha menumpaskan kegiatan jenayah pemburuan haram didalangi warga Vietnam
“Mereka ini semakin kerap menceroboh hutan simpan negara kita secara berkumpulan
“Pemburu haram warga Vietnam ini mempunyai susuk tubuh kecil, namun amat ganas dan memiliki kekuatan fizikal yang sukar diterima akal
“Bukan mudah untuk menangkap mereka kerana pemburu haram ini mampu terjun ke dalam gaung dan menghilangkan diri sekelip mata,” katanya
Menurutnya, penjenayah rimba ini cukup lincah dan cekap bergerak di dalam hutan
“Malah, mereka tidak teragak-agak menyerang anggota Perhilitan menggunakan senjata tajam dibawa,” katanya
Kadir berkata, pernah berlaku seorang anggota Perhilitan terpaksa dikejarkan ke hospital akibat kepalanya ditetak kapak oleh pemburu haram yang cuba diberkas di Taman Negara tahun lalu
“Anggota Perhilitan pernah diserang menggunakan parang oleh empat pemburu warga Vietnam di Sungai Kemuai, Taman Negara Pahang pada Oktober tahun lalu
“Paling menyedihkan apabila seorang anggota Perhilitan cedera parah di muka selepas diserang pemburu haram ini di Sungai Remis, Taman Negara, Pahang pada Ogos 2016,” katanya
Beliau tidak menolak kemungkinan pemburu haram Vietnam mengamalkan kepercayaan mistik, memakai tangkal selain meminum air ‘kuat’ untuk berada lama di dalam hutan
“Ini terbukti apabila dalam operasi 15 April lalu di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara Terengganu, anggota Perhilitan terpaksa berhempas pulas untuk menumpaskan dua suspek warga Vietnam
“Suspek yang memburu secara haram di hutan itu terpaksa diserang hendap ketika tidur bagi mengelak mereka bertindak balas menggunakan senjata tajam dibawa,” katanya
Menurutnya, berlaku pergelutan berikutan suspek enggan menyerah diri memaksa anggota Perhilitan menggunakan segala kudrat untuk menumpaskan suspek
“Mereka ini amat ganas dan akan melawan jika mahu diberkas. Malah, agak tidak masuk akal apabila mereka mampu terjun ke dalam gaung sedalam berpuluh meter ketika melarikan diri
“Memang sukar dipercayai, namun keupayaan mereka hidup berbulan di dalam hutan membuktikan mereka bukan calang-calang penjenayah,” katanya
Hasil pemeriksaan pada sarang sulit didiami pemburu haram itu, Perhilitan menemui bahagian harimau (kuku dan taring harimau belang), barangan disyaki bahagian beruang (hempedu, taring dan kuku), bahagian disyaki babi hutan selain hidupan liar lain serta peralatan memburu
Penjenayah dipercayai berjaya menjerat hidupan liar menggunakan jerat dawai yang dipasang dan sekurang-kurangnya dua harimau belang, dua harimau kumbang, tiga beruang dan 12 babi hutan berjaya dijerat
“Semua barang kes berkenaan disita dan dibawa ke Pejabat Perhilitan untuk tindakan lanjut, manakala sitaan turut membabitkan pasport serta telefon bimbit milik suspek
“Siasatan mendapati penjenayah rimba ini akan melapah dan menyembunyikan bahagian haiwan liar di lokasi rahsia sebelum diseludup keluar,” katanya
Setakat ini, 68 pemburu haram Vietnam berjaya diberkas dan diambil tindakan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)
Pada 6 Julai tahun lalu, empat lelaki dan dua wanita Vietnam ditahan pegawai Perhilitan selepas didapati menyimpan beberapa bahagian hidupan liar termasuk kulit, taring dan kuku harimau tanpa dokumen sah
Suspek yang diberkas di kilang papan di Kuala Lipis Pahang adalah pemburu haram hidupan liar yang aktif membunuh harimau dan hidupan lain menggunakan jerat kabel
Hasil penahanan itu, Perhilitan menemui dua kulit harimau, 20 unit kuku beruang, empat unit tanduk kambing gurun, 12 unit taring babi hutan dan 39 kilogram daging hidupan liar dianggarkan bernilai lebih RM500,000. - Harian Metro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2019/05/mereka-bertubuh-kecil-tapi-ganas-terjun.html