Menteri Komuikasi Fahmi Fadzil Turun Padang Bantu Isteri Arwah Pak Jabit Di Temerloh
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI sedang berusaha menambah baik skim perlindungan bagi melindungi dan meningkatkan kebajikan golongan seniman serta ahli keluarga mereka.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menerusi laman Facebook berkata, usaha menambah baik skim perlindungan perlu memandangkan seniman banyak berjasa dan menyumbang kepada negara.
Ia susulan kunjungan Fahmi ke rumah pelakon dan pelawak, Allahyarham Man Kadir Samsi atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit dalam filem Hantu Kak Limah dan Zombi Kampung Pisang di Temerloh, Pahang selepas mengetahui nasib balu Allahyarham Pak Jabit iaitu Raja Maharani Raja Jaafar, 70, mengalami masalah kesihatan.
"Watak dimainkan arwah Pak Jabit mencerminkan pengalaman sebenar masyarakat dan sentiasa mencuit hati rakyat Malaysia dengan lawak jenaka yang bersahaja.
"Namun, di sebalik sinaran dan senyuman, terselit juga kisah pilu yang tidak diceritakan. Pak Jabit pulang ke rahmatullah beberapa tahun lalu dan meninggalkan balu, Maharani dan beberapa anak.
"Maharani beritahu, arwah hanya meninggalkan wang tunai sebanyak RM5,000 dan segala-galanya 'bagai bujuk lepas dari bubu' dalam beberapa bulan.
"Dulu masa masih hidup, arwah menjual cendol di depan rumah bila tak berlakon dengan pendapatan hanya RM30 sehari.
"Hakikatnya ramai artis veteran tidak mempunyai simpanan mencukupi di penghujung kerjaya macam arwah Pak Jabit," katanya.
Tambah Fahmi, Maharani sekali lagi diuji apabila bulan lalu dia jatuh sakit dan batuk menjadi semakin teruk dan kini dia perlu bergantung kepada penumpu oksigen selama 15 jam sehari untuk bernafas.
"Maharani perlu ambil susu formula khas dengan harga RM100 sekotak untuknya teruskan kehidupan.
"Dia kini tinggal di Temerloh bersama anak lelaki yang menjaganya dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.
"Anaknya hanya buat kerja kampung yang kadang-kadang ada dan tak ada. Anak-anak lain semua berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur.
"Berkat usaha anak-anak, mereka dapat menyewa penumpu oksigen berharga RM350 sebulan dengan RM500 sebagai deposit," ujarnya.
Beliau berkata, kos tambahan sememangnya sukar untuk mereka tanggung setiap bulan.
"Nak beli mesin kena keluarkan RM4,000, lagilah tak mampu.
"Semasa lawatan rasmi saya di Kuantan tempoh hari, saya terbaca laporan berita RTM mengenai Maharani. Saya sedih kerana ahli keluarga arwah Pak Jabit, antara watak kesukaan saya dalam filem Zombie Kampung Pisang kini berada dalam situasi yang amat sukar.
"Sebagai Menteri Komunikasi adalah tanggungjawab saya untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, terutamanya seniman. Saya menghubungi RTM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keluarga arwah Pak Jabit.
"Sebelum selesai lawatan rasmi di Kuantan, saya melencong sekejap ke Alpro Pharmacy untuk dapatkan penumpu oksigen dan beberapa kotak susu formula khas untuk Maharani," katanya.
Fahmi berkata, dia masih ingat Maharani memandangnya dengan pelik ketika sampai.
"Siapa adik yang melawat saya ni? Saya kata saya kawan Pak Jabit dan juga Menteri Komunikasi. Lepas itu, dia tanya pula kenapa ada menteri di rumahnya.
"Dia terkejut apabila saya beri penumpu oksigen kepadanya dan bertanya berapa banyak wang yang perlu dibayar. Saya jawab tak perlu, ini hadiah untuk makcik.
"Maharani memandang tajam ke arah saya, barangkali kegembiraan tak mampu diluah dengan kata-kata. Tapi, saya dapat melihat kegembiraan di matanya," katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2024/02/menteri-komuikasi-fahmi-fadzil-turun.html