Menjelang Keputusan Rayuan Najib Mohon Kemuka Bukti Baru
(Malaysiakini) – Beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan terhadap rayuan Najib Razak terhadap sabitan terhadapnya dalam kes rasuah RM42 juta SRC International, bekas perdana menteri itu mengemukakan bukti baru untuk menyokong pembelaannya.
Menerusi Notis Usul yang difailkan di Mahkamah Rayuan, Najib memohon untuk mengemukakan keterangan viva voce Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan beberapa lagi saksi lain.
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember ini untuk menyampaikan keputusan terhadap rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya, serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan.
Menurut salinan afidavit sokongan Najib terhadap permohonan hari ini, dia menjelaskan langkah untuk mengemukakan bukti baru itu susulan pendedahan SPRM bahawa Singapura telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta dana berkaitan 1MDB yang melibatkan syarikat milik bersama Tawfiq Ayman – suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.
Najib mendakwa bukti tersebut tidak ada ketika perbicaran dan ia “relevan secara material” bagi isu yang berkaitan dengan kes itu.
“Saya sesungguhnya percaya keterangan yang kini telah ditemui dan disahkan boleh dipercayai mendedahkan penglibatan Zeti dalam skim-skim Jho Low.
“Saya sesungguhnya percaya peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada tanda merah atau amaran penyelewengan dibangkitkan mengenai perkara yang berkaitan dengan urus niaga dalam akaun saya dari 2011 hingga 2015, walaupun perkara tersebut telah dilaporkan secara peribadi kepada Bank Negara dan Zeti telah menyediakan ruangan untuk Jho Low untuk menjalankan manipulasinya.
“Saya sesungguhnya percaya sekiranya keterangan sedemikian telah dikemukakan semasa perbicaraan, mahkamah akan mencapai pendapat berbeza yang memihak kepada saya dan mengakibatkan wujudnya keraguan munasabah telah ditimbulkan terhadap kes pendakwaan ke atas semua pertuduhan di mahkamah perbicaraan dan mahkamah yang mulia ini (Mahkamah Rayuan),” kata Najib.
Dalam afidavit itu, Najib juga memohon maaf ke atas Mahkamah Rayuan terhadap sebarang kesulitan berhubung waktu permohonan dibuat, dan menjelaskan ia dibuat tanpa berlengah, setelah dia mendapat tahu tentang bukti baru.
“Walaupun tarikh untuk keputusan rayuan telah ditetapkan, dengan mengambil kira perkara-perkara ini, saya dengan rendah hati menyatakan keterangan itu akan mempunyai kesan material ke atas subjek perkara rayuan ini, dan oleh itu perlu diterima dan dikemukakan dalam rayuan-rayuan untuk semua perkara penting tersebut di bawa ke mahkamah yang mulia ini bagi membolehkan keputusan yang adil dicapai.
“Oleh itu, saya dengan penuh rasa hormat menyatakan bahawa memandangkan kebebasan dan mata pencarian saya terancam, dengan mengambil kira perkara yang digariskan di sini, ia perlu untuk keterangan/bukti ini dibenarkan untuk diterima dan dikemukakan dalam rayuan demi kepentingan keadilan,” katanya lagi.
Pada 27 November lalu, Najib membuat laporan polis dengan mendakwa ada pihak menyembunyikan bahan bukti membabitkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.
Dia berkata tidak dapat mendedahkan nama individu terbabit namun mendapat tahu mereka yang terlibat merupakan individu yang dilantik ke Jabatan Peguam Negara dan SPRM semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Dua hari sebelum itu, Tommy Thomas berkata siasatan SPRM terhadap Zeti dan suaminya tidak sempat diselesaikan sepanjang dia menjadi peguam negara, bermula Jun 2018 hingga Februari 2020.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2021/12/02/menjelang-keputusan-rayuan-najib-mohon-kemuka-bukti-baru/