Menjawab Salah Faham Mengenai Umrah Diy Dan Kononnya Lim Guan Eng Membunuh Perniagaan Melayu
Oleh : MOHD FIKRI ABDUL RAHMAN
Terbaca satu posting yang ditulis menamakan dirinya SD Salleh, mendakwa Menteri Kewangan mengeluarkan satu kenyataan bahawa pakej umrah hanya boleh dilakukan melalui Tabung Haji (TH).
Tidak tahu sumber dipetik dari mana kerana tidak diberikan link sumber asalnya, saya mencari sumber asal yang boleh dipercayai tentang kenyataan ini namun belum ditemui.
Namun saya berhasrat menjawab beberapa dakwaan dibangkitkan posting tersebut :
1. Lesen pengendali Umrah di bawah bidangkuasa Kementerian Pelancongan bukan di bawah bidangkuasa Kementerian Kewangan atau Tabung Haji (TH).
Lesen Khas Umrah (LKU) hanya boleh dikeluarkan MOTAC, Kementerian Pelancongan, bukan dikeluarkan Kementerian Kewangan atau Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang bertanggungjawab terhadap TH.
Lesen dikeluarkan kepada 2 kategori syarikat pengendali umrah iaitu jenis Muassasah dan Bukan Muassasah.
Antara syarat lain lesen hanya dikeluarkan kepada syarikat pengendali Muslim sahaja.
Timbul persoalan bagaimana polisi kerajaan melalui Kementerian Pelancongan tidak membenarkan Umrah DIY, tiba-tiba ada posting mengaitkan bahawa LKU hanya akan dikbenarkan melalui Tabung Haji, bukankah ini suatu yang tidak benar dan bercanggah.
Apabila Umrah DIY tidak dibenarkan, bagaimana mungkin polisi menetapkan hanya satu pengendali TH sahaja dibenarkan beroperasi sedangkan LKU dikeluarkan MOTAC kepada syarikat-syarikat pengendali umrah berdaftar dan sah.
Kerajaan juga menasihatkan rakyat Malaysia tidak mengatur sendiri urusan mengerjakan umrah, sebaliknya perlu melalui agensi pelancongan berdaftar atau mudahnya syarikat pengendali umrah yang berdaftar sedia ada yang sah demi menjaga kepentingan pengguna dari kejadian penipuan syarikat pengendali umrah dan umrah DIY (secara sendiri) boleh ditangkap oleh pihak berkuasa Arab Saudi kerana pihak berkuasa negara berkenaan tidak membenarkan berbuat demikian.
Antara syarat lain ditetapkan mendapatkan LKU mesti mempunyai Perjanjian Muassasah atau Perjanjian Kerjasama dengan syarikat berstatus Muassasah.
Syarat-syarat lain dikuatkuasakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992, iaitu perlindungan Insurans Indemniti ke atas syarikat-syarikat pelancongan yang menjalankan aktiviti Outbound ini.
2. Tabung Haji bukan di bawah bidangkuasa Kementerian Kewangan untuk menentukan hala tuju pengurusan dan pentadbirannya.
Tabung Haji (TH) mempunyai Pengerusi dan Lembaga Pengarah yang menentukan dasar dan polisi agensi berkenaan serta pasukan pengurusan tertinggi diketuai seorang Ketua Pegawai Eksekutif..
Sejarahnya Tabung Haji lahir dari cadangan tokoh ekonomi Melayu terkenal iaitu Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pada Disember 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.
Langkah pertama ke arah itu diambil dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) di bawah Undang-undang No. 34, 1962, pada tahun 1963. Perbadanan itu adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Perbadanan Wang Simpanan ini kemudiannya dikenali sebagai Lembaga Urusan Tabung Haji pada tahun 1969 sebelum dikenali sebagai Tabung Haji, dan kemudiannya suatu Akta khusus mengawal perjalanannya di bawah Akta Tabung Haji 1995 diperkenalkan.
Bagaimana sebuah agensi diletakkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) boleh dikawal Kementerian Kewangan, sedangkan Menteri menjaganya sendiri tidak mempunyai maklumat dan membuat apa-apa kenyataan mengenainya, ataupun Menteri yang menjaga LKU iaitu Menteri Pelancongan juga tidak memberikan apa-apa kenyataan mengenainya kerana LKU ini melibatkan bidangkuasa kementeriannya.
3. Masih memutar belit fakta tentang SPV, bahawa orang bukan Islam hendak menguasai TH dan mengambil alih TH serta mendapatkan laba dan keuntungan dari penubuhan SPV.
Saya mengulas berkenaan keperluan memindah aset tidak untung Tabung Haji kepada SPV bagi tindakan jangka pendek dengan bahasa mudah dan difahami orang awam.
Menurut standard laporan kewangan (FRS), sebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan.
Bagaimanapun, Tabung Haji menetapkan had ambang (threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.
Jikka had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon. Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.
Penyembunyian kerugian ini bertujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012.
Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi.
Jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.
Bagi mengadapi masalah peninggalan pentadbiran lama tersebut, Tabung Haji dilihat berusaha mengemaskini aset tidak menguntungkan dimiliki ketika ini bernilai lebih RM 19.9 billion (berbanding aset yang bagus bernilai RM 57.1 bil).
Ertinya aset ini semuanya rugi di atas kertas dan jika tidak memberikan hasil kepada Tabung Haji bagi tahun kewangan terkini dan kewujudannya di dalam buku Tabung Haji hanya merosakkan kesihatan laporan kewangan Tabung Haji dan akhirnya akan menyekat pemberian dividen kepada pendeposit.
Bagi merawat hal terbabit dengan segera, pihak Tabung Haji memilih memindahkan atau menukarkan aset tidak untung masa ini (termasuk Tanah TRX sebagaimana klasifikasi yang ditetapkan oleh Tabung Haji sendiri dan kaedah perakaunan) itu semuanya kepada SPV, ia perlu dilaksanakan kerana tiada entiti perniagaan yang ingin membeli aset kurang bagus itu pada waktu ini.
Kerajaan memperkenalkan pegangan Sukuk bertempoh matang 7 tahun terbabit memberikan jangkaan pulangan sebanyak 5 % setahun kepada Tabung Haji berbanding aset tidak bagus sedia ada yang tidak memberikan apa-apa.
Bagaimanapun Redeemable Convertible Preferences Share (Islamic) yang bernilai RM 9.9 bil tiada tarikh matang dan tiada dividen tetapi sentiasa terbuka untuk ditebus kembali oleh TH.
Jika digabungkan kedua-duanya beerti untuk aset bernilai RM 19.9b, TH bakal mendapat pulangan 2.5 % setahun.
4. Tabung Haji hak mutlak pendeposit dan Kerajaan tidak boleh campurtangan, dengan pemindahan aset ini pendeposit menjadi mangsa dan keuntungan kembali kepada syatikat SPV.
Semua wang pendeposit dijamin kerajaan dan pandangan ia adalah hak mutlak pendeposit adalah tidak tepat, kerana segala deposit yang berada dalamnya dijamin Kerajaan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995.
Apabila Kerajaan menjadi penjamin, sudah tentu Kerajaan wajib memastikan urustadbir kewangan TH berjalan dengan baik tanpa penyelewengan dan penipuan melibatkan institusi deposit terbesar umat Islam di Malaysia.
Sebenarnya kerajaan Malaysia sedang ‘bail out’ Tabung haji melalui dua instrumen ini.
Orang yang tidak biasa isu kewangan mungkin menganggapnya sebagai pelik.
Aset tidak bagus atau tidak menguntungkan TH dikenal pasti menerusi dua kriteria. Bagi hartanah, ia membabitkan aset dengan hasil kurang dua peratus dan bagi ekuiti, nilai rosot nilai melebihi 20 peratus dengan jumlah nilai aset tersebut mencecah RM19.9 billion.
Semoga penjelasan ini dapat memberi gambaran dan fakta sebenar menjawab tentang penulisan tersebut.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://laiyeker.blogspot.com/2019/02/menjawab-salah-faham-mengenai-umrah-diy.html