Menikmati Tendon Pertama Di Tendon Itsuki Ginza
🌸 CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI KELIMA - AHAD, 8 DISEMBER 2024 🌸
Sambungan entri terdahulu —> Beli Oleh-oleh di Ameyoko Street, Ueno
Tendon Itsuki merupakan restoran halal yang menyajikan salah satu makanan Jepun yang popular iaitu tendon (天丼). Dah berada di bumi Jepun, barulah saya tahu tendon merupakan nama makanan Jepun. Mulanya saya sangka tendon tu cuma sekadar sebahagian nama restoran 😄Apa itu tendon? Tendon merupakan hidangan semangkuk nasi bersama tempura di atasnya. Perkataan tendon adalah singkatan daripada dua perkataan Jepun iaitu tempura (ten) dan donburi (don). Tempura ialah makanan laut atau sayuran yang disalut dengan adunan nipis dan digoreng rangup. Donburi ialah hidangan nasi di dalam mangkuk.
Sepanjang berada di Jepun, saya kerap memesan ramen. Ini kerana berbanding nasi, saya lebih suka makan masakan berasaskan mi. Tapi untuk hari terakhir di sini, saya tukar menu - cuba makan nasi di restoran Jepun
Menurut info, terdapat dua cawangan restoran Tendon Itsuki di Ginza. Kami pergi cawangan kedua yang terletak di Level B2, Tokyu Plaza. Sesat jugalah nak ke aras bawah tanah ni - tak terlalu mudah mencari tapi tidaklah terlalu sukar.

Alhamdulillah lega bila dah jumpa tempatnya. Masa ni pukul 12.30 tengah hari, pelanggan memenuhi ruang makan yang terhad. Kami diminta beratur menunggu di luar kedai. Kedainya di sebelah kanan dalam foto di atas

Sementara menunggu, kami membelek menu dan membuat pilihan set hidangan. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas ya
Kurang 10 minit beratur, kami di panggil masuk. Syukurlah tak perlu beratur lama. Tapi kalau datang dengan kumpulan besar, mungkin perlu menunggu lama bagi mendapatkan meja kosong

Beginilah rupa bahagian hadapan kedai. Tertera logo halal - Tendon Itsuki mempunyai pengiktirafan halal oleh Japan Halal Foundation (JHF). Boleh makan tanpa ragu
Sebaik melangkah masuk, seorang pelayan kedai meminta kami buat sendiri pesanan di mesin. Terasa susah jugalah nak membaca tulisan pada skrin. Biasanya main tunjuk gambar pada menu je, lebih mudah. Pelayan kedai datang bantu kami buat pesanan dan buat bayaran - di sini cuma terima bayaran tunai

Kami duduk di kaunter bar sebab meja semuanya penuh dan lebih sesuai untuk kumpulan lebih ramai. Baru je duduk, terus dihidangkan dengan minuman (air kosong) dan chawanmushi (steamed egg custard)

Beginilah kedudukan saya di kaunter bar - duduk berhadapan dengan para pekerja yang sedang menyiapkan hidangan. Saya duduk di tengah - kiri saya Encik Suami dan kanan pula seorang lelaki Jepun. Kedudukan agak rapat, jadi saya kurang selesa nak makan dan tak dapat memotret foto makanan dengan baik

Chawanmushi (steamed egg custard). Rasanya oklah, boleh makan habis.

Tak lama kemudian, hidangan utama sampai. Kami pilih dua set hidangan yang berbeza. Dalam foto di atas - Set Tendon dengan tempura udang, ayam, telur rebus dan sayuran.

Ini pula Set Gold Premium Tendon dengan tempura udang, sotong, salmon, crab claw, snow crab, ayam dan sayuran. Setiap set tendon dihidangkan bersama chawanmushi, sup miso dan jeruk sayuran.
Tendon dimakan bersama sos tendon - cair macam kicap. Kalau nak sos pedas (spicy tendon sauce) perlu tambah 200 yen setiap set
Berkenaan rasa - tempuranya tidak berminyak, rangup di luar dan berjus di dalam. Makan banyak pun tak terasa muak. Memang sedap! Cuma menurut selera saya, tempura lebih sedap kalau dimakan bersama sos yang lebih pedas (bukan sos kicap tendon)
Nasinya pula tak sama seperti nasi yang biasa kita makan, agak melekit tapi sedap je. Saiz hidangan nasi agak besar, saya tak mampu nak habiskan makan nasi. Sayang jugalah, tapi saya pun tak boleh nak duduk lama - perlu segera selesaikan makan dan beri peluang kepada pelanggan lain yang dah beratur menunggu di luar
Kalau kalian berkunjung ke Tokyo, bolehlah mencuba sendiri hidangan tendon halal ni. Carian Google Maps - Tendon Ginza Itsuki (Tokŷu Plaza). Harga set tendon bermula dari 1,350 yen
*
Selesai mengisi perut, kami menaiki tren ke As-Salaam Masjid Okachimachi untuk menunaikan solat jamak. Selagi ada masjid berhampiran, kami akan usahakan solat di masjid supaya dapat solat dengan lebih selesa

Sebaik keluar dari Naka-Okachimachi Station yang terletak di bawah tanah (underground), kami singgah di vending machine membeli minuman panas bagi menghangatkan badan. Dari hari ke hari, udara di Tokyo semakin bertambah sejuk. Kalau dapat minuman panas tu memang sangat melegakan

Kopi Georgia berharga 110 yen (lebih kurang RM3.20). Macam biasa, sebelum beli saya semak status halal di aplikasi Halal Japan. Tak boleh beli sebarangan ya
Kami habiskan minum, lepas tu barulah sambung jalan kaki ke masjid. Budaya Jepun mereka tak makan atau minum sambil berjalan kerana dianggap tidak sopan, tidak menghormati makanan dan untuk mengelakkan kekotoran (disebabkan makanan/minuman tumpah). Nampaknya budaya Jepun tak lari jauh daripada adab di dalam Islam iaitu makan dan minum perlu dalam keadaan duduk tertib

Sebelum sampai masjid, ternampak pula tiang tinggi berwarna merah tertera tulisan ‘fire hydrant’. Bagus ada tiang tinggi begini, mudah dilihat apabila diperlukan. Sebenarnya, banyak lagi hal-hal kecil yang bagus di Jepun, tapi cuma sedikit yang mampu saya catatkan di blog
Selesai menunaikan solat, kami kembali meneruskan aktiviti. Masih lagi dengan aktiviti shopping, tetapi kali ini kami pergi ke tempat yang kurang sibuk. Kami naik tren ke Kita City - sebuah bandar yang terletak di bahagian utara Tokyo
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2025/07/menikmati-tendon-pertama-di-tendon.html